Monday 6 May 2013

UMNO KEKAL TONGGAK KEKUATAN BN SABAH






KOTA KINABALU : Umno Sabah, di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, di sini hari ini, kekal sebagai tonggak kepada Barisan Nasional (BN) setelah meraih kemenangan kukuh bagi parti gabungan itu yang akan menentukan masa depan Sabah untuk tempoh lima tahun lagi.

Diterajui Musa, yang juga Pengerusi BN negeri, BN Sabah yang dianggap sebagai 'simpanan tetap bagi BN", memenangi lebih daripada dua pertiga majoriti, dengan UMNO menyumbang 31 kerusi negeri pada pilihan raya umum ke-13, semalam.

BN Sabah kembali berkuasa selepas memenangi 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta mengekalkan 22 daripada 25 kerusi parlimen bagi membantu membentuk Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah 133 kerusi.

Pada pilihan raya umum 2008, BN Sabah memenangi 59 daripada 60 kerusi negeri dan 24 daripada 25 kerusi Parlimen, terlepas kerusi DUN Sri Tanjung dan kerusi Parlimen Kota Kinabalu kepada pembangkang.

Pada pilihan raya umum pada Ahad, BN telah meletakkan calon di semua kerusi parlimen, dengan Star bertanding di 21 kerusi, PKR (19), Bebas (15), SAPP (8), DAP (4) PAS (dua) dan Kita (1).

STAR dan sekutu bebasnya yang mempunyai 49 calon bagi kerusi DUN, PKR 43, SAPP 41, PAS sembilan, DAP tujuh, Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP) tiga dan Kita satu.

DAP memenangi kesemua tiga kerusi yang dipertandingkan di kawasan Parlimen Kota Kinabalu manakala PKR memenangi kerusi negeri Api-Api.

"Saya dan rakan-rakan saya terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakyat. Kami sedar ini bukan satu keistimewaan tetapi mandat yang diamanahkan kepada kita oleh rakyat.

"Apa yang penting, kita terus bekerja dan saya percaya Sabah di bawah BN akan terus maju," katanya.





Korban pilihan raya BN terbesar ialah Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk V.K Liew serta Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai, yang tewas dalam perebutan kerusi parlimen Penampang dan kerusi DUN Sandakan serta Api-Api.

Dompok terlepas kerusi Parlimen Penampang kepada pendatang baharu Darrel Leiking daripada PKR, yang mendapat 22,598 undi untuk menang dengan 10,216 undi majoriti, manakala Liew kalah kepada DAP di Sandakan.

Kekalahan Presiden Upko agak mengejutkan kerana beliau dilihat sebagai pelindung kepentingan kaum Kadazan, Dusun dan Murut

PKR memenangi tujuh kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, DAP memenangi empat kerusi DUN dan dua kerusi parlimen, manakala Star memenangi satu kerusi negeri di kawasan Bingkor.

SAPP kalah teruk setelah semua calonnya tewas dalam perebutan kerusi Parlimen dan DUN.

BN sebaliknya, mempunyai banyak sebab untuk berpuas hati kerana prestasi yang kukuh dari segi bilangan undi majoriti yang diterima di sekurang-kurangnya 32 kawasan DUN.

Musa memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga dengan majoriti yang lebih besar (11,569 undi), manakala calon-calon BN di 12 kerusi Parlimen juga mencatatkan peningkatan ketara dalam undi majoriti.

Kawasan persekutuan termasuk Kudat, Kota Belud, Putatan, Papar, Kimanis, Sipitang, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Tawau.

BN mencatatkan prestasi cemerlang di DUN Sulaman, Karambunai, Kawang, PantaiManis, Sindumin, Sekong, Kuamut, Sukau, Tungku, Kunak, Balung, Apas, Tanjong Batu dan Sebatik.

Kerusi DUN yang dimenangi pembangkang dengan undi majoriti tipis adalah Matunggong (320) dan Tamparuli (383), manakala calon Bebas di Api-Api mendapat hanya 14 undi. (Bernama)

No comments:

Post a Comment