Thursday 9 May 2013

WAJAR BERI LEBIH KUOTA KEPADA SABAH






 Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang baru dipilih selepas pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) wajar memberi kelebihan kuota pemimpin negeri ini dilantik ke dalam kabinet Persekutuan kelak.

Beliau berkata, ini disebabkan sokongan padu rakyat Sabah mengukuhkan kekuatan BN semasa PRU13 untuk mempertahankan Putrajaya daripada beralih ke tangan pembangkang.

Beliau berkata demikian pada rabu sebagai menyokong gesaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad seperti yang dilaporkan baru-baru ini, dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan pusat harus memberi perhatian lebih penyertaan pemimpin Sabah dan Sarawak ke dalam kabinet Persekutuan.

Tegas Mahathir, Sabah dan Sarawak telah menyumbang banyak kerusi ketika PRU13 untuk memantapkan kemenangan BN dan sudah pastilah suara mereka di dalam kerajaan (kabinet) perlu diberi perhatian serius.

Rubin yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Kemabong bagi penggal ke-5 pada PRU13 itu berkata, beliau berharap agar kerajaan pusat yang bakal dibentuk beberapa hari lagi akan terus mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan beberapa masalah kedaifan prasarana di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan Pedalaman.

“Sebagai contohnya, beberapa batang jalanraya belum dinaiktaraf, bekalan air bersih, bekalan elektrik luar bandar termasuklah prasarana pendidikan dan bahan pembelajaran masih belum terlaksana walaupun permintaan sudah dikemukakan sebelum ini.

“Kita juga kekurangan tenaga pengajar dan berharap dalam mandat baru ini, kerajaan kotakan janji serta memberi peluang kepada tenaga pengajar dihantar untuk berkursus bagi mendalami ilmu pengetahuan mereka dibeberapa Institusi pengajian tinggi di negara ini,” tegas beliau lagi.

Selain itu, Rubin turut meminta kerajaan BN mempastikan pengwujudan beberapa blok ekonomi di kawasan luar bandar dengan mengaktifkan agensi kerajaan secara proaktif melaksanakan tanggung jawab tersebut demi menggerakkan ekonomi setempat.

“Kita juga ingin melihat penduduk yang dikenalpasti bergelut dalam masalah kemiskinan supaya dapat dikeluarkan daripada kepompong masalah itu sebelum menjelangnya wawasan 2020 yang semakin menghampiri kita.

“Tidak ada cara lain lagi untuk membalas budi baik mereka. Hanya dengan cara sebegini kerajaan BN dapat membalas budi rakyat terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar; kerana kesetiaan golongan ini kepada BN tidak dapat dipersoalkan.

“Kita tidak dapat memberi seseorang ikan sebagai lauk santapannya setiap hari, sebaliknya adalah lebih baik kita beri sahaja kail agar dia dapat mengail ikan setiap hari,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment