Monday 20 May 2013

ZAHID WAJIB MOHON MAAF SECARA TERBUKA





Oleh: CHARLES P ANDIANG

SANDAKAN : Ahli Parlimen (DAP) Sandakan, Stephen Wong (gambar) menyifatkan gesaan  Menteri Dalam  Negeri,  Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi  agar  rakyat  yang tidak gembira dengan sistem pilihanraya baru-baru ini supaya meninggalkan negara sebagai kenyataan kebudak-budakan dan  tidak boleh diterima akal.

Katanya, rakyat mempunyai hak mutlak terhadap pilihanraya, sama ada mereka puas hati atau  sebaliknya; oleh itu Zahid tidak berhak menggesa rakyat supaya meninggalkan negara ini jika tidak senang dengan sistem pilihanraya.

“Sebagai seorang menteri yang berpendidikan tinggi, sepatutnya tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana jelas akan menyakiti hati seluruh rakyat jelata  di negara ini. Siapa beri dia kuasa menghalau rakyat?” kata Wong.

Wong mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersiar di Portal Online Sabahkini.Net pada 18 Mei 2013 bertajuk: “Kamu Ingat Negara Ini Bapa Kamu Yang Punya.”

Wong menambah,  sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, rakyat di negara ini mempunyai kuasa mutlak masing-masing  untuk memilih sesiapa  sahaja pemimpin atau parti yang mereka suka.

"Jika mereka rasa tidak puas hati dengan perjalanan sistem pilihanraya yang diguna pakai di negara ini, mereka berhak membuat bantahan.  Kenapa  rakyat disuruh  supaya meninggalkan negara ini? Di mana letaknya sistem demokrasi yang selama ini dilaung-laungkan," tanya Wong.

Kata Wong lagi, sepatutnya Zahid berfikir panjang sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan yang boleh mengguris hati rakyat jelata di negara ini kerana implikasinya amat besar.

“Dengan ini,  saya menggesa agar Zahid memohon maaf secara terbuka daripada rakyat jelata atas perbuatannya yang melampau batas  sehingga mengguris hati rakyat di negara ini, termasuk saya,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment