Friday 7 June 2013

3 CEDERA DALAM TRAGEDI JAMBATAN KE-2.





TIGA orang disahkan cedera akibat runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town malam semalam.

Dua daripada mereka adalah pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39. Mereka menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar memaklumkan pemberita kedua-dua mangsa dikatakan sedang bekerja di tapak binaan ketika kejadian pada kira-kira 7.15 malam.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan.

Ketika kejadian, Thilasheni sedang memandu dan beliau sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira dua meter dari lokasi kejadian.

Rakannya, Gajashaantini Gajanujan, 24, yang turut berada dalam kereta sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Rahim berkata lebih 300 anggota bomba dan polis sedang mengesan mangsa dalam sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan itu.

Beliau berkata polis juga kesal dengan laporan berita portal yang mendakwa kononnya empat disahkan maut.

"Setakat ini, cuma tiga yang cedera, media diminta membuat laporan yang betul dan sah.

"Pasukan penyelamat sedang berusaha mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu, dan keadaan mangsa masih belum diketahui," katanya.

Beliau berkata pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan perkhidmatan kren yang lebih berat apabila kren syarikat pembinaan itu gagal mengangkat tanjakan konkrit yang runtuh.

Abdul Rahim berkata kerja-kerja pembinaan akan dihentikan buat sementara bagi membolehkan siasatan punca kejadian manakala jalan masuk-keluar ke kawasan itu juga ditutup untuk semua kenderaan.

Sementara itu, jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata runtuhan berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung dan puncanya masih disiasat.

Projek pembinaan jalan susur keluar jambatan itu diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd dan JKSB akan mengeluarkan kenyataan rasminya esok. (Bernama)

No comments:

Post a Comment