Tuesday 11 June 2013

80 % RUMAH ROSAK SUDAH DIBAIK PULIH






LAHAD DATU: Kira-kira 80 peratus daripada lebih seratus rumah yang rosak di Zon Tanjung Labian ekoran insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lalu sudah dibaik pulih,  kata Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek.

Beliau berkata kerja membaik pulih rumah penduduk yang rosak berikutan pertempuran antara anggota keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh berkenaan dilaksanakan oleh agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Berhubung dengan rumah-rumah yang musnah (sama sekali) akibat kejadian (pencerobohan) itu, kita dapati terdapat 77 buah rumah yang musnah. Saya difahamkan rumah ini sedang digantikan  secara berperingkat dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Mohammad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan lima ketua kampung dan wakil masyarakat daripada tujuh buah kampung yang terdapat dalam Zon Tanjung Labian.

Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan ialah Pengarah Perisikan I ESSCOM Datuk Ahmad  Nadzer Nordin, Pengarah Perisikan II ESSCOM Datuk Mohd Noor Osman dan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM Datuk Abdul Rashid Harun.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Lok Buani, Kampung Tanjung Labian, Kampung  Sungai Merah,Kampung Tanagian, Kampung Tegupi, Kampung Sungai Bilis dan Kampung Tanjung Batu yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk.

Mengulas mengenai perjumpaan itu yang bertujuan meninjau dan mendapatkan maklum balas berhubung kawalan keselamatan dan sosial masyarakat Zon Tanjung Labian, Mohammad berkata ia  berjalan dalam suasana cukup harmoni.

Katanya antara perkara dibangkitkan penduduk dalam perjumpaan itu termasuk kebimbangan mereka mengenai aspek kawalan keselamatan oleh pasukan keselamatan dan rumah-rumah mereka yang  rosak serta musnah berikutan insiden pencerobohan.

“Berdasarkan tinjauan yang kami buat, keadaan keselamatan di sini memang terjamin dan keadaan hidup penduduk Zon Tanjung Labian sudah kembali seperti biasa…mereka menaruh kepercayaan yang amat tinggi terhadap kemampuan kawalan keselamatan kita,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan kawalan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah tidak pernah berkurangan malah terus dipertingkatkan namun ia dilakukan dalam bentuk yang  berlainan. — Bernama

No comments:

Post a Comment