Saturday 1 June 2013

AGONG MAHU RAKYAT AKUR PRU13





         
YANG DI-PERTUAN Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu rakyat di negara ini akur dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 yang telah ditentukan oleh mereka sendiri.
   
Sambil merakamkan tahniah kepada anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih, Seri Paduka berharap semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.
   
"Jika ada perbezaan pendapat, gunakanlah kaedah penyelesaian sepertimana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," titah baginda sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan secara langsung menerusi RTM semalam.
   
Baginda bertitah: "Tindakan menanam kesangsian kepada institusi yang telah diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelolakan pilihan raya di negara ini ialah perbuatan yang amat berbahaya dan hanya bakal menuai badai pertelingkahan yang tidak berkesudahan."
   
"Janganlah kita sekali-kali melemah dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan Falsafah Persekutuan yang selama ini mendasari ramuan kejayaan Malaysia," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim bertitah sebarang perubahan politik di negara ini perlulah dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
   
"Apakah kita sanggup melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan oleh perbuatan kita sendiri. Merosakkan sebuah kejayaan amat mudah, namun untuk membinanya kembali amatlah sukar.
   
"Oleh itu, janganlah benarkan ia terjadi, wariskanlah Malaysia yang bersatu dan berjaya, kepada generasi Malaysia yang mendatang. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna," titah Seri Paduka.
   
Baginda mengingatkan anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih supaya berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan terbaik untuk rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
   
Tuanku Abdul Halim turut mengajak rakyat bersama-sama meneruskan usaha mencapai matlamat nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Baginda mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati saat ini bukannya datang bergolek, sebaliknya hasil daripada pelaksanaan yang teliti dan rapi oleh para pemimpin terdahulu.
   
"Menjelang tanggal 31 Ogos ini genaplah 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, manakala pada 16 Sept pula kita akan meraikan 50 tahun pembentukan Malaysia.
   
"Hakikatnya, walaupun secara relatifnya Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda, namun kita telah berjaya meletakkan kedudukan negara pada tempat yang membanggakan seperti yang ada pada hari ini.
   
"Namun, walau sempurna mana pun strategi yang telah dirangka oleh kerajaan, walau secekap mana pun pelaksanaannya, jika tidak wujud keamanan dalam negara, mana mungkin semua hasrat yang diimpikan mampu dizahirkan," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan anutan agama dipersatukan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. (Bernama)

9 comments:

  1. Setiap warga negara Malaysia perlu bersyukur kerana berada dalam sebuah negara yang mementingkan perpaduan kaum dan keamanan. Keamanan dan perpaduan kaum serta sikap toleransi pelbagai kaum dan agama dalam negara ini merupakan satu keunikan yang tidak wujud dalam kebanyakan negara dunia ketiga masa kini.

    ReplyDelete
  2. Perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Malaysia sukar untuk diamalkan oleh negara-negara dunia ketiga sama ada negara tersebut terdiri dari negara Islam atau bukan Islam. Peristiwa peperangan saudara dan pembunuhan sesama kaum merupakan fenomena yang lumrah dalam kebanyakan negara di dunia masa kini.

    ReplyDelete
  3. Keamanan dan perpaduan kaum merupakan asas penting kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Perpaduan kaum perlu dipertingkatkan supaya setiap individu yang lahir dalam negara ini dapat memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang memberi hak dan kedudukan kepada pelbagai kaum setanding dengan umat Islam tanpa mengorbankan kedaulatan dan hak warisan yang diwartakan untuk umat Islam yang dipersetujui oleh kesemua para pemimpin kaum semasa Tanah Melayu diserahkan oleh British kepada kepimpinan tempatan.

    ReplyDelete
  4. Perkara seperti ini perlu disemat dalam dada setiap generasi baru yang lahir dalam negara ini supaya mereka mengenali sejarah dan keturunan mereka. Kejahilan dalam perkara ini menyebabkan masyarakat pelbagai kaum tidak menyedari sejauh manakah mereka perlu bersuara dan bertindak demi memenuhi hasrat dan bisikan hati mereka. Malaysia ialah sebuah negara yang bebas di mana masyarakat bukan Islam bebas untuk mengamalkan tradisi budaya dan amalan keagamaan mereka.


    ReplyDelete
  5. Konsep persahabatan pelbagai kaum yang dijalin sejak Melaka menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara merupakan satu corak kehidupan masyarakat majmuk yang paling unik jika dibandingkan dengan negara dunia ketiga yang lain.


    ReplyDelete
  6. Perpaduan dan keamanan yang wujud dalam negara ini hasil daripada sikap toleransi dan memahami di antara satu sama lain (mutual understanding) perlu diperkukuhkan, bukan diperkotak katikkan demi kepentingan diri dan perjuangan politik berunsurkan perjuangan perkauman atau bercirikan konsep komunisme yang membelakangkan tradisi masyarakat beragama.


    ReplyDelete
  7. Perjuangan berunsurkan perkauman tidak mungkin dapat membentuk satu masyarakat majmuk yang boleh menegakkan keadilan dan keamanan. Kegagalan dunia Arab menyatu padukan bangsa yang menganut agama yang sama adalah hasil daripada perjuangan ideologi yang bercirikan kepada kabilah, ideologi atau mazhab.


    ReplyDelete
  8. Sukar bagi sesebuah negara mengawal keamanan dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk jika para pemimpin parti politik dalam negara tersebut sering membangkitkan isu-isu yang berbau perkauman.

    ReplyDelete
  9. keputusan PRU 13 harus diterima semua pihak

    ReplyDelete