Saturday 1 June 2013

EMBARGO, KUASA MUTLAK KERAJAAN NEGERI






Saudari Nurul Izzah,

EMBARGO terhadap saudari memasuki Sabah tidaklah memberi sebarang makna jika dibandingkan dengan tempoh 23 tahun yang terpaksa saya lalui untuk berulang alik ke Jabatan Imigresen bagi mendapatkan pas keluar setiap kali mahu berurusan ke Semenanjung Malaysia dan kembali ke Sabah; sekalipun saya sekeluarga mendapat Permit Masuk (PR) Sabah pada 1974, dua tahun setelah tempoh yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Sabah tamat.

Walaupun kami sekeluarga mendapat PR Sabah, namun agak malang kerana Jabatan Pendaftaran masih cuai memasukkan huruf 'H' di kad pengenalan saya, sedangkan semua adik beradik, ibu dan bapa saya mempunyai huruf keramat 'H' di kad pengenalan mereka.

Akhirnya setelah 23 tahun berjuang, barulah JPN bersetuju memasukkan huruf 'H' ke dalam Mykad saya dan bebas keluar masuk dari Sabah ke Semenanjung dengan hanya menunjukkan Mykad.

Kejutan yang saudari alami pada 30 Mei 2013, adalah lonjakan paradigma yang perlu saudari lakukan sebagai permulaan iaitu mengkaji kerangka Perlembagaan Sabah yang telah diabaikan oleh 222 Ahli Parlimen Malaysia yang selama ini telah 'bersubahat' menurunkan taraf Sabah daripada sebuah negara yang merdeka dan berdaulat kepada negara Jajahan Tanah Melayu.

Memang tidak ramai rakyat Malaysia, terutama Ahli Parlimen Malaysia termasuk saudari yang mengenali Sabah dari segi konsep dan landskap politik; apatah lagi seolah lupa bahawa bapa saudari pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri yang menjadi 'Mahakarya Politik' di Sabah.

Saudari mungkin lupa bahawa Perkara 7 daripada 20 Perkara Fokus/Janji Pakatan Rakyat Dalam Buku Jingga Sabah memaktubkan bahawa;

"7. Mengukuhkan autonomi Sabah dengan menyemak kembali perkara-perkara yang termaktub di dalam Perkara 20 untuk memastikan sebarang tindakan yang melanggar Perkara 20 dihentikan serta merta."

Maka, sukalah saya menarik perhatian berhubung janji ini yang sepatutnya saudari laksanakan kerana Autonomi ialah perkara pokok yang diabaikan sejak Sabah merdeka pada 16 September 1963.

Mengikut Perkara 6: Imigresen (20 Perkara)

"Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

"Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja.

"Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara."

Sehubungan itu, walaupun dilayan sebagai 'Pendatang Asing' namun saya akur kerana dari segi undang-undang bahawa saya adalah 'Milik Negeri Sabah' dan berhak masuk dan tinggal tetap di Sabah, namun oleh kerana kad pengenalan saya belum mempunyai huruf 'H' maka saya mematuhi kehendak Jabatan Imigresen agar saya mengambil pas khas jika ingin ke Semenanjung Malaysia.

Ada ketikanya saya tidak dapat masuk ke Sabah atau tidak dapat keluar dari Sabah kerana ketika itu pas khas perlu dipohon lebih awal; namun saya menghormati kuasa Autonomi yang ada pada Ketua Menteri Sabah.

Oleh kerana hampir semua Ketua Menteri Sabah menggunakan kuasa autonomi mereka untuk menghalang Persona Non Grata; maka tidak ada hebat atau bezanya saudari jika dibandingkan dengan Peguam Kanan Sugumar Balakrishnan yang pernah dihalang daripada memasuki Sabah, sedangkan beliau mempunyai PR Sabah seperti saya dan puluhan ribu pemegang PR di Sabah yang tidak boleh membantah jika PR mereka dibatalkan kerana kuasa mutlak Ketua Menteri.

Tidak ada dinyatakan dalam mana-mana peraturan Ketua Menteri Sabah perlu memberi penjelasan atau mewartakan sebab musabah menahan 'Persona Non Grata' daripada memasuki Sabah kerana terletak di bawah bidang kuasa istimewa beliau; Pengarah Imigresen hanya melaksanakan tugas mengikut undang-undang.

Isu kuasa istimewa Ketua Menteri ini telah berlarutan sejak 1963 namun jarang dipedulikan oleh Ahli Politik Pembangkang, melainkan setelah mengalami 'gangguan emosi' dan merasa malu kerana dikategorikan sebagai 'Persona Non Grata'.

Tindakan menyaman Ketua Menteri Sabah atau Kerajaan Negeri Sabah tidak memberikan sebarang makna kerana hak-hak khas Perlembagaan dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Saudari berkata disekat masuk ke Sabah di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 dan akan mencabar keputusan menghalang itu di mahkamah; dan sepasukan peguam yang diketuai oleh Ahli Parlimen PKR Penampang, Darell Leiking sedang meneliti perkara itu dan kes itu akan difailkan di Kota Kinabalu, sebaik sahaja pasukan peguam itu sudah bersedia.

Namun saudari mungkin tidak sedar bahawa di dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada Kerajaan Negeri Sabah oleh Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut, Kerajaan Negeri Sabah tidak perlu memberikan sebarang alasan.

Sebaliknya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengambil tindakan bijak kerana enggan mengulas tindakan halangan masuk terhadap saudari ke Sabah bagi membuktikan bahawa hak Imigresen adalah hak mutlak Sabah yang tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Walaupun ramai pihak menyifatkan tindakan menghalang saudari memasuki Sabah sebagai “Penahanan Anti Demokratik”, namun dalam masa yang sama sewajarnya saudari bertolak ansur dengan 'sekatan' berkenaan dan menyokong 'Autonomi' sebagaimana yang diperjuangkan dalam 20 perkara dan Buku Jingga yang dijadikan manifesto Pakatan Rakyat di Sabah semasa PRU-13 lalu.

Apa Locus Standi saudari untuk menuntut kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengemukakan sebab-sebab kukuh mengapa larangan yang dikenakan terhadap saudari?; sekalipun secara fizikalnya beliau tidak mengancam keselamatan warga Sabah.

Oleh kerana saudari bukan individu milik negeri Sabah (bukan rakyat Sabah), maka saudari tidak diberikan hak mencari nafkah di negeri Sabah atau masuk secara bebas 'menebeng' kepada paksi politik; termasuk mengembangkan pengaruh politik di Sabah.

Jika Kerajaan Negeri Sabah mahu menghalang saudari, tidak ada siapa mampu menghalang Kerajaan Sabah memberikan status 'Persona Non Grata' kepada saudari; terutama ketika hebat berkempen PRU-13 lalu, namun insiden berkenaan tidak berlaku.

Persoalannya, kenapa Musa Aman mesti melayan pertanyaan politik yang dibangkitkan saudari sedangkan kuasa Imigresen adalah kuasa mutlak Ketua Menteri Sabah yang terhad hanya untuk orang 'Malaya' atau 'Sarawak' yang ingin masuk ke Sabah; tetapi tidak mempunyai autonomi terhadap warga asing.

Oleh itu, kutukan bahawa Kerajaan Negeri gagal mengekang kemasukan 'Bala Tentera Syaitan Kiram' dan PATI tidak seharusnya dilontarkan terhadap kerajaan negeri; melainkan jika saudari dan 221 orang Ahli Parlimen Malaysia membawa usul untuk memberi kuasa autonomi kepada Sabah melalui Akta Imigresen berhubung warga asing, sejajar dengan statusnya sebagai sebagai sebuah 'Negara' pada 16 September 1963.

Mungkin agak keterlaluan jika saya katakan saudari hanya salah satu watak 'Wayang Kulit' kerana Pakatan Rakyat tidak ikhlas menyelesaikan isu PATI di Sabah dan saya terpaksa berjuang bersendirian membongkar segala kejalangan yang dilakukan dan direstui kesemua Ahli Parlimen Malaysia demi kejayaan perselingkuhan politik dan merancang 'kudita' setelah pilihanraya umum tidak menjadi medan tempur yang bermaruah.

Sejak 1999 saya tidak pernah gentar atau undur untuk memperjuangkan kedaulatan Sabah; termasuk bertegas untuk menghalang kemasukan 'Warga Malaya' secara tidak sah ke Sabah dan Warga Asing secara berkomplot oleh pihak berkuasa politik di Malaysia sehinggalah tertubuhnya RCI di Sabah.

Adalah mustahil, sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia dan warganegara Malaysia, saudari tidak menyedari wujudnya 'Kuasa Mutlak' Ketua Menteri Sabah yang WAJIB dilaksanakan oleh Pengarah Imigresen Sabah untuk menyekat kemasukan sebarang pergerakan rakyat Malaysia ke Sabah.

Anggapan saudari bahawa adalah tidak rasional dan menganggap tindakan sekatan ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik; hanyalah 'Gurauan Nakal' seorang Ahli Parlimen Muda yang tidak tahu menghormati 'Tuan Rumah'.

Sebagai 'Tuan Rumah' atau Ketua Menteri, Musa Aman tidak perlu memberikan sebarang penjelasan kerana Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 sudah cukup jelas; malah tidak menghalang saudari menggunakan hak Perlembagaannya untuk memfailkan saman mencabar keputusan Kerajaan Negeri Sabah.

Sewajarnya mulai sekarang, saudari patut belajar menghormati Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan sebelum berbahas di dalam Dewan Parlimen kerana orang bijaksana berbahas dengan minda dan bertingkah dengan tinta; bukannya demonstrasi atau membuat publisiti murahan seperti sekarang.

Tindakan spontan 'macho' Bung Moktar Radin membela saudari hanyalah untuk melahirkan keluhan 'Desperado' yang 'menggatal' di dalam Twitter setelah gagal mendapat kepercayaan Perdana Menteri untuk dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri sejak sekian lama menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan.

Kata Bung, “Jika tiada alasan kukuh untuk sekatan ke atas Nurul, dan menjadi yang benar-benar adil dan memberikan keadilan, keputusan itu harus diubah segera.”

Persoalannya siapa Bung mahu mempertikaikan keputusan Ketua Menteri menghalang saudari memasuki Sabah? Akhirnya Bung akur juga bahawa beliau 'Bukan Ketua Menteri' malah sempat mengesahkan bahawa akaun Twitter berkenaan adalah akaun palsu?

Malah saudari akhirnya 'terminum kencing sendiri' dengan mengatakan, "Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan - termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah."






“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan Umno mahupun BN.”

Saudari mungkin terlupa bahawa bapa saudari salah seorang 'Jurutera' di belakang tabir dalam 'Ops Durian Buruk' terutama usaha merampas kuasa daripada Kerajaan PBS pada 1994.

Kebolosan sempadan bukan sahaja berlaku di Sabah, malah sehingga ke Lembah Kelang (Chow Kit dibanjiri PATI); bukan kerana Sabah gagal menjaga sempadan dan kedaulatan negara tetapi kerana kekangan Akta Imigresen yang bolos; termasuk 'tidak ada undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menangkap PATI ketika berada di Perairan Negara, melainkan setelah PATI berkenaan mendarat'.

PATI ramai di Sabah kerana terlalu dekat dengan Sempadan Indonesia dan Filipina, serta banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di Sabah sehingga 'Orang Malaya' juga berpusu datang ke Sabah, sekalipun dihalang melalui kuasa Imigresen.

Persoalan yang terlupa kita fikir ialah siapa yang beri kebenaran kepada 'Orang Malaya' termasuk saudari masuk sesuka hati ke Sabah dan seenaknya memaki Anak Negeri Sabah dan pemimpinnya dengan pelbagai gelaran dan panggilan?

Isu Hak Istimewa Sabah terhadap Sekatan Imigresen bukanlah alat politik untuk menindas rakyat, sebaliknya adalah Hak Autonomi yang dimiliki Sabah sejak merdeka dan inilah yang cuba dihakis oleh Pakatan Rakyat.

Sebagai 'Rakyat Sabah' saya juga menentang saudari masuk ke Sabah tanpa urusan 'RASMI' dan jika tidak ingin dihalau secara 'tidak berperlembagaan' masuklah secara bermaruah dengan membuat permohonan kerana Sabah bukan salah satu 'negeri' di Malaysia; sebaliknya 'Negara' dalam Negara.

Bagi membincangkan isu yang dihadapi saudari dan mungkin ramai pemimpin Pembangkang yang dikeluarkan perintah sekatan masuk ke Sabah, ada eloknya kita rujuk keputusan kes Rayuan Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur antara Pihak Berkuasa Negeri Sabah (Perayu) Vs Sugumar Balakrishnan (Responden) [Civil Appeal NOS: 01-1-99(S) & 01-2-99(S) bertarikh 23 Mei 2002 sebagai panduan agar tidak digelar Ahli Parlimen 'Pak Pandir dan Mak Andih' atau Buta Undang-Undang'.

RESPONDEN seorang rakyat Malaysia kelahiran Negeri Sembilan pergi ke Sabah pada 1975 untuk bekerja sebagai guru. Kemudiannya, beliau layak sebagai seorang peguam dan mengamalkan undang-undang di sana semenjak 1985 di bawah permit kerja yang diberikan kepadanya berdasarkan per. 16(1) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Memandangkan beliau bukan kelahiran Sabah di bawah Seksyen 71(1) Akta Imigresen 1959/63 ('Akta tersebut'), beliau diperlu kan untuk mendapatkan pas untuk memasuki dan tinggal di Sabah di bawah Seksyen 66(1) Akta tersebut.







Pada tahun 1995, responden memohon permit masuk selama dua tahun dan tidak dipertikaikan pada penghujung dua tahun tersebut, beliau akan dilayan sebagai seorang milik Sabah di bawah Seksyen 71(1) Akta tersebut.

Bagaimanapun, enam minggu sebelum berakhirnya tempoh dua tahun, responden diberikan notis oleh Pengarah Imigresen Sabah ('Pengarah') membatalkan permit masuknya di bawah Seksyen 65 (1)(c) Akta tersebut. Notis tersebut dikeluarkan atas arahan Pihak Berkuasa Negeri berdasarkan Seksyen 65(1) Akta yang sama.

Responden memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah 'Certiorari' untuk membatalkan keputusan Pengarah tetapi ditolak oleh hakim yang bijaksana. Setelah merayu, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah hakim yang bijaksana dan membenarkan permohonan responden. Ianya membawa kepada rayuan-rayuan di mahkamah ini.

Isu-isunya adalah:

(1) sama ada pembatalan permit masuk responden di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut dikecualikan daripada semakan kehakiman jika dilihat daripada kesan bersama Seksyen 59 dan 59A Akta yang sama;

(2) sama ada Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut yang jatuh di bawah Bahagian VII Akta tersebut mengatasi peruntukan-peruntukan umum Bahagian I hingga Bahagian VI Akta tersebut yang tidak konsisten bila terpakai kepada Sabah dan Sarawak;

(3) sama ada Pihak Berkuasa Negeri mesti menyatakan sebab-sebab untuk pembatalan dan sama ada mahkamah berkuasa untuk memeriksa sebab-sebab pembatalan yang dinyatakan kemudian di dalam prosiding mahkamah;

(4) sama ada penafian hak untuk didengar di bawah Seksyen 59 Akta tersebut melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ('Perlembagaan'); dan

(5) sama ada pindaan kepada Seksyen 65(1) (c) Akta tersebut mempunyai kesan terkebelakang dan melanggar Agreement Relating to Malaysia 1963 dan Report of the Inter-Governmental Committee 1962

Berikut adalah keputusan yang dibuat sebulat oleh Corum Hakim Mohamed Dzaiddin HMP, Wan Adnan Ismail CJ (MALAYA) dan Abdul Malek Ahmad FCJ;

Seksyen 59A Akta tersebut telah diganti dengan seksyen baru oleh Akta (Pindaan) Imigresen 1997. Kenyataan penjelasannya, yang mana membantu terjemahannya, menyatakan bahawa Seksyen 59A yang baru memperuntukkan penafian semakan kehakiman di dalam mana-mana mahkamah ke atas mana-mana tindakan atau keputusan Menteri atau Ketua Pengarah, atau di dalam kes negeri Malaysia Timur, Pihak Berkuasa Negeri di bawah Akta tersebut, kecuali persoalan-persoalan ketaatan prosedur.

Juga, nota catitan tepi kepada seksyen berbunyi: "Exclusion of judicial review". Biarpun, nota tepi tidak menguasai bahasa seksyen tersebut, sekurang-kurangnya dibenarkan untuk mendapat satu pertimbangan terhadap tujuan umum dan elak mudarat yang ditujukan.

Juga, bahasa di dalam Seksyen 59A adalah jelas berkenaan penafian semakan kehakiman. Dengan secara sengaja menyatakan bahawa tiada semakan kehakiman, Parlimen tentu bertujuan bahawa seksyen tersebut adalah muktamad tentang penafian semakan kehakiman di bawah Akta tersebut.

Doktrin keadilan substantif tidak boleh dirayu sebagai berasingan atau tambahan asas semakan kehakiman di bawah Akta tersebut. Adalah tidak dibenarkan untuk mahkamah masuk campur dan mengganggu satu keputusan yang secara statut tidak boleh disemak atas sebab konsep baru tiada keadilan substantif yang tidak jelas dan terlalu umum di mana mahkamah-mahkamah common law Inggeris sendiri tidak kenal pasti.

Bahagian VII Akta tersebut mengatasi peruntukan-peruntukan Bahagian I hingga Bahagian VI yang tidak konsisten jika dipakai kepada Sabah dan Sarawak sebagai undang-undang khas. Ini adalah salah satu terma-terma penglibatan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia yang baru berdasarkan kepada laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan. Bila berhubung dengan Bahagian VII, kl. (3) Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan mesti diambilkira berdasarkan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak di mana Parlimen boleh mengenakansekatan.

Sementara kl. 2 Perkara 9 memberikan setiap warganegara kebebasan untuk bergerak dan tinggal di mana-mana bahagian Persekutuan, ianya tertakluk, inter alia kepada kl. 3 berdasarkan Seksyen 60 (2) Akta Malaysia 1963.

Seksyen 64(1) Akta tersebut menggunakan bahasa yang jelas melalui perkataan "subject to and in accordance with this chapter" yang bermakna pemakaian Bahagian I hingga Bahagian VI bergantung kepada Bahagian VII.

Memandangkan Bahagian VII telah ditentukan sebagai undang-undang khas, peruntukan umum Bahagian I hingga Bahagian VI mesti memberi laluan kepada peruntukan khas Bahagian VII bersamaan dengan prinsip 'generalibus specialia derogant'.

Seksyen 65 (1)(c) Akta tersebut tidak mengenakan tanggungjawab statutory yang jelas kepada perayu untuk memberikan alasan-alasan kepada responden.

Setakat berkaitan dengan common law, undang-undang semasa menuju kepada pemberian alasan-alasan mengikut alasan tetapi mengikut kes-kes.

Ikutan semasa undang-undang tidak lari daripada kedudukan undang-undang yang jelas bahawa tiada tanggungjawab umum yang dikenakan kepada pembuat keputusan.

Lagi, Pengarah tidak diharapkan untuk memberikan alasan-alasan kepada responden memandangkan Pengarah hanya menjalankan arahan-arahan perayu.

Seterusnya di dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada perayu oleh Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut, perayu tidak perlu memberikan alasan-alasan.

Seterusnya apa-apa alasan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri di prosiding mahkamah kemudiannya tidak boleh diperiksa dan dipertimbangkan.

Mahkamah ini tidak bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa perkataan "personal liberty" di dalam  Perkara 5(1) Perlembagaan sepatutnya diterjemahkan untuk dimasukkan semua pandangan yang merangkumi sebahagian kehidupan dan perkara-perkara yang membentuk kualiti kehidupan.

Perkara-perkara lain yang membentuk kualiti kehidupan telah dimaktubkan di dalam Bahagian II Perlembagaan di bawah "Fundamental Liberties".

Permit masuk hanya membenarkan responden masuk dan tinggal di Sabah, tetapi 'ipso facto' tidak memberikan hak mencari nafkah kepada responden.

Oleh kerana responden bukan individu milik negeri Sabah, beliau tidak diberikan hak mencari nafkah di negeri tersebut.

Ada anggapan yang kuat tentang kesahihan perlembagaan sesuatu enakmen atau seksyen yang meragukan dengan beban pembuktian ke atas sesiapa yang mendakwa sebaliknya.

Perkara 8 (1) Perlembagaan menyebut semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan sama rata di bawah undang-undang dan Perkara 9 (1) Perlembagaan yang memberi hak kepada warganegara untuk bergerak bebas di seluruh Malaysia dan tinggal di mana-mana bahagian, adalah tertakluk kepada kl. (3) Perkara 9 Perlembagaan yang, menurut Andrew Harding's Law, Government and the Constitution in Malaysia, merujuk secara jelas kepada Sabah dan Sarawak, kedua-duanya mendapat kedudukan istimewa.

Tujuan pengkelasan ialah untuk menentukan pertikaian perlembagaan tidak boleh dibawa terhadap negeri-negeri ini berdasarkan kuasa istimewa imigresen mereka yang boleh digunakan untuk mengawal kemasukkan dari Semenanjung Malaysia.

Seterusnya, adalah jelas daripada autoriti-autoriti bahawa hak-hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan boleh diambil keluar berdasarkan undang-undang.






Oleh itu, Seksyen 59 Akta tersebut yang menidakkan kuasa audi alteram partem, yang telah digubal oleh Parlimen adalah sah dan berperlembagaan.

Disebabkan Akta (Pindaan) Imigresen 1997 yang berkuatkuasa pada 1 Februari 1997, perkataan-perkataan "exercise any discretion vested in him to" telah dibuang.

Pindaan kepada Seksyen 65 (1)(c) tidak berkuatkuasa terkebelakang dengan mengambil kira fakta bahawa pindaan tersebut berkuatkuasa pada 1 Februari 1997 dan permit masuk responden telah dibatalkan pada 12 November 1997.

Adalah tidak sah untuk Pengarah mengambil kesempatan peruntukan s. 65(1)(c) sebelum pindaan. Beliau mesti bertindak di bawah seksyen yang dipinda.

Responden tidak mempunyai hak tambahan di bawah permit masuk. Permit masuk hanya membenarkan responden memasuki dan tinggal di Sabah secara sah selama dua tahun dan tidak memberikan hak mencari nafkah kepada responden.

Urusan peribadinya mahupun amalan guamannya bukan hak-hak tambahan yang diberikan oleh permit masuk tersebut.

Responden tidak boleh dikatakan mempunyai harapan sahih bahawa permit masuk beliau tidak akan dibatalkan memandangkan peruntukkan bertulis di bawah Akta bahawa permit masuk tersebut boleh dibatalkan pada bila-bila masa.

Tambahan pula, tiada janji atau pernyataan dibuat oleh perayu bahawa permit masuk beliau tidak akan dibatalkan.

Pindaan kepada Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut hanya mengambil kuasa budi bicara yang diberikan kepada Pengarah di dalam mematuhi arahan Pihak Berkuasa Negeri.

Pindaan tersebut tidak di dalam apa-apa cara mengganggu kuasa dan hak negeri berkenaan perkara-perkara imigresen.

Oleh itu, tiada keperluan untuk mematuhi Perkara 161 (E)(2) dan Perkara 159(3) Perlembagaan. Tujuan dan semangat Agreement Relating to Malaysia 1963 dan Report of the Inter-Governmental Committee 1962 tidak pada apa cara dimungkiri.

Responden tidak menunjukkan bahawa pindaan tersebut tidak mengikut Perlembagaan dan memandangkan adalah kelaziman bahawa sesuatu statut dianggap mengikut Perlembagaan sehingga dibuktikan sebaliknya, pindaan Seksyen 65 (1) (c) Akta tersebut adalah sah.

Rayuan perayu dibenarkan; rayuan responden ditolak.

Akhir kata, "Piring tak retak, nasi tak dingin. Engkau tak hendak, aku tak ingin."

Salam Hormat,

MUTALIB M.D
Penulis Buku IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir.

14 comments:

  1. Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman dalaman dan luaran yang boleh menggugat ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini.

    ReplyDelete
  2. Salleh mengingatkan anggota Rela agar berhati-hati terhadap ancaman keselamatan yang dimainkan ahli politik yang tidak bertangungjawab yang mencetuskan kebencian terhadap kerajaan.

    ReplyDelete
  3. "Ini adalah hasil daripada kumpulan yang lebih berminat untuk berkuasa melalui perjuangan mereka demi kepentingan individu tertentu dan bukannya untuk rakyat.


    ReplyDelete
  4. "Kelompok ini sanggup berganding bahu dengan kuasa luar demi untuk memburuk-burukkan kepimpinan negara dan pada masa sama memberi imej negatif terhadap negara. Mereka ini sanggup mengamalkan budaya asing seperti menganjurkan demonstrasi dengan harapan untuk menggulingkan kerajaan," katanya.

    ReplyDelete
  5. Mengambil contoh pemberontakan di Mesir, Salleh mengingatkan anggota Rela agar sentiasa berwaspada dan tidak memberi peluang kepada sebarang elemen yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan Malaysia.

    ReplyDelete
  6. "Mesir pernah menjadi sebuah negara stabil dan aman. Ia pernah menjadi negara berpengaruh dan pemangkin terhadap kestabilan negara-negara Asia Barat terutamanya dalam pembentukan negara Palestin.

    "Hari ini, ia adalah sebuah negara yang keadaan politik dan ekonominya tidak stabil dan akan mengambil masa lama untuk pulih kepada keadaan yang asal," katanya.


    ReplyDelete
  7. AUTONOMI Sabah adalah antara retorik kebencian yang sering dimainkan oleh pemimpin PR dalam agenda anti-Federalisme mereka.

    ReplyDelete
  8. Namun bila pemimpin Sabah melaksanakan autonomi dalam aspek imigresen, mereka pula yang gagal untuk menghormati keputusan pemimpin Sabah.

    ReplyDelete
  9. Autonomi dalam aspek imigrasi dan kemasukan ke dalam negeri Sabah merupakan salah satu perkara di dalam Memorandum 20 Perkara Borneo Utara ketika bersetuju menyertai Malaysia pada tahun 1963.

    ReplyDelete
  10. Perkara 6 dalam Memorandum 20 Perkara adalah mengenai aspek Imigresen, yang menyatakan bahawa - Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

    ReplyDelete
  11. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja.

    ReplyDelete
  12. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

    ReplyDelete
  13. Nampaknya pemimpin PR bercakap hanya macam burung kakak tua ketika berceramah tentang autonomi Sabah dan sewaktu memainkan sentimen anti-Federalism - mereka tak faham pun apa yang mereka kata.

    ReplyDelete