Friday 7 June 2013

INSTITUSI RAJA MESTI DIKEKALKAN






PENUTUP....Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penutup Seminar Institusi Raja di Lanai Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut berangkat, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama, Prof. Dr. Kamarudin Hussin (kanan) dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man (kiri).

KUALA LUMPUR : Institusi raja di negara ini mesti dikekalkan bukan sahaja untuk memenuhi nilai sejarah serta sentimental bangsa tetapi raja itu sendiri berperanan memastikan keberkesanan 'semak dan imbang' dalam sebuah sistem demokrasi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, institusi raja cukup istimewa serta mampu menghidupkan minda kerana selaku ketua negara atau negeri, raja merupakan tonggak penting kepada kestabilan dan perpaduan.
"Institusi raja adalah satu penerusan bagi mengekalkan identiti kerajaan Melayu kerana raja mempunyai kuasa serta tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang sama ada secara mutlak mahu pun secara berperlembagaan.
"Raja juga berperanan memberi pandangan dalam aspek ekonomi, pembangunan serta pendidikan selain menjadi ketua agama Islam dan pelindung adat istiadat Melayu," titahnya semasa merasmikan majlis penutup Seminar Institusi Raja (SIRaj) di sini, kelmarin.
Yang turut hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, wakil semua raja-raja Melayu serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Menyentuh mengenai Perlembagaan Persekutuan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, terdapat tiga semangat utama di sebalik penggubalan undang-undang tertinggi negara iaitu pertama membangunkan Malaysia aman, stabil, bersatu serta makmur.
Seterusnya, baginda bertitah, Perlembagaan Persekutuan juga digubal bagi menjamin keadilan agar dapat memberi perlindungan kepada seluruh rakyat, baik yang kuat mahu pun lemah atau kumpulan majoriti mahu pun kelompok minoriti.
"Perlembagaan juga digubal bagi melindungi orang yang memerintah dan mereka yang diperintah kerana telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil serta saksama," titah baginda. (UM)

No comments:

Post a Comment