Sunday 2 June 2013

JALAN TRANSFORMASI KKLW DI KUALA BIAH






TRANSFORMASI.....Inilah rupa jalan Transformasi NKEA Kampung Kuala Biah ke SK Kampung Biah yang dibanggakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Gambar sisipan, Johny Alfred Angin.

Oleh : SYED KAMAL

SOOK : Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah (PRIBUMIS) daerah Sook, merayu agar laluan penduduk Kampung Kuala Biah menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Biah diturap segera demi keselesaan pengguna terutama pelajar dan guru guru di sini.

Laluan sepanjang kira-kira dua kilometer itu sekadar diletakkan batu kerikil menyebabkan keadaannya berdebu ketika panas dan becak selepas hujan.

Tinjauan Johny Alfred Angin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PRIBUMIS semalam, mendapati laluan itu menjadi laluan utama penduduk yang kebanyakannya menaiki motosikal untuk menghantar anak ke sekolah dan ke pekan berdekatan untuk membeli keperluan harian.

“Mereka sudah lama menetap di sini sejak tahun 70an lagi, tetapi masih belum mendapat kemudahan yang sempurna,” katanya.

Menurutnya, sekitar tahun 2006 penduduk menyangka jalan tersebut akan diturap kerana batu kerikil diletakkan sepanjang jalan ketika itu, namun sangkaan penduduk meleset.

PRIBUMIS akan bertemu dengan pihak yang berkenaan agar dapat membantu penduduk mendapatkan jalan berturap dengan segera.

Sementara itu, Penghulu Kampung Ulu Biah, William Nuar Kairar berkata, permohonan penduduk untuk mendapatkan jalan berturap sudah pun diusulkan pihaknya kepada pihak yang berkaitan dan perkara ini sudah dibawa ke mesyuarat bersama penghulu dengan pegawai daerah sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment