Thursday 27 June 2013

KERETA MELETUP DILEMPAR BOM






PERIKSA.....Sepasukan anggota forensik polis sedang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

PENAMPANG : Dua lelaki berdepan detik cemas setelah kenderaan yang dinaiki mereka meletup dipercayai dilempar sejenis bahan letupan dalam satu kejadian berhampiran tokong dan premis Public Bank di Pekan Donggongon, di sini malam Selasa lalu.

Insiden berlaku sekitar jam 9.30 malam itu telah menggemparkan penduduk setempat setelah mendengar bunyi letupan yang dapat didengari sejauh dua kilometer dan menghancurkan sebahagian besar bahagian belakang Proton Waja dinaiki oleh kedua mangsa.

Difahamkan terjadi apabila kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lau,19, dan Wong, 26, tahun baru memasuki kereta mereka yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran tokong berkenaan.

Sejurus kemudian, kedua mangsa dihampiri oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah Perodua Kancil sebelum salah seorang daripada mereka bertindak melemparkan sesuatu dipercayai bahan letupan ke arah kenderaan mangsa.

Tidak lama selepas itu, Proton Waja dinaiki mangsa terus meletup dan menyebabkan suspek bertindak melarikan diri daripada kawasan terbabit.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa bernasib baik sempat menyelamatkan diri dengan berjaya keluar daripada kereta mereka dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

“Pasukan forensik dan skuad bom masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit.

“Kita juga masih mengenalpasti motif kejadian itu sama ada membabitkan perbuatan khianat ataupun dendam,” katanya sambil menegaskan tiada tangkapan dilakukan setakat kelmarin. (UB)

No comments:

Post a Comment