Thursday 6 June 2013

KESELAMATAN MINDANAO TERANCAM







KUALA LUMPUR : Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memberi amaran bahawa sebarang kelewatan dalam menyelesaikan rundingan tentang lampiran Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro (FAB) akan mengancam keamanan di Mindanao.

Pengerusinya Al-Haj Murad Ebrahim berkata kelewatan dalam memuktamadkan rundingan damai itu akan menghakis keyakinan yang wujud daripada FAB yang ditandatangani MILF dan kerajaan Filipina pada Oktober tahun lepas.

"Bagi rakyat Bangsamoro, setiap minit yang tertangguh dalam memuktamadkan lampiran kepada FAB akan mengancam keamanan," katanya pada sidang pleno bertajuk 'Adakah Keamanan Akan Wujud Di Mindanao?' pada Rundingan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-27 di sini hari ini.

Sidang itu turut disertai penasihat presiden Filipina mengenai proses damai Mindanao, Setiausaha Teresita Quintos Deles dan pemudahcara dari Malaysia Tengku Datuk Abdul Ghaffar Tengku Mohamed. Murad berkata keamanan akan terus merupakan hanya suatu impian sekiranya Undang-undang Asas Bangsamoro ditolak Kongres Filipina atau dengan sengaja "dicampuradukkan" untuk memberi faedah kepada kumpulan berkepentingan di republik itu.

Undang-undang Asas Bangsamoro, perlembagaan bagi negeri Bangsamoro yang dicadangkan penubuhannya, sedang dirangka Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro (BTC).

Pengerusi MILF itu berkata: "Keamanan, lebih-lebih lagi keamanan berkekalan, akan sekali lagi merupakan suatu impian, yang mungkin sukar dicapai dalam hayat kita atau pada masa akan datang".

Beliau menegaskan bahawa keamanan di Mindanao hanya boleh dicapai sekiranya rakyat Bangsamoro mencapai keamanan secara adil dan wujudnya penyelesaian terhadap Persoalan Bangsamoro tentang usaha mewujudkan suatu sistem kehidupan dan tadbir urus yang sesuai dan boleh diterima rakyat Bangsamoro.

Mengulas kelewatan dalam memuktamadkan rundingan mengenai lampiran kepada FAB seperti yang dinyatakan Murad, Deles berkata Manila memerlukan masa untuk meneliti perkara itu dan memastikan ia dapat melaksanakan perjanjian yang telah ditandatanganinya dengan MILF.

Katanya kerajaan pimpinan Presiden Benigno Aquino ingin mengelak berulangnya masalah yang dihadapi pentadbiran sebelum ini kerana kegagalannya melaksanakan perjanjian yang dicapai, walaupun ia bersetuju mengenainya sebelum itu. Lampiran berkenaan, katanya mengandungi beberapa isu rumit seperti perkara berkaitan kewangan dan wilayah milik turun-temurun.

Sementara itu, Abdul Ghaffar tetap yakin perjanjian muktamad antara Manila dan MILF "berada dalam jangkauan", walaupun dibayangi sengketa yang berpanjangan antara kedua-dua pihak.

"Saya dapat melihat cahaya keamanan di Mindanao serta perjanjian menyeluruh yang akan ditandatangani antara MILF dan kerajaan Filipina," katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak mempunyai pasukan yang komited untuk mencapai keamanan.

Pada sesi soal jawab kemudiannya, pengerusi MILF itu juga ditanya tentang ketidakyakinan yang disuarakan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari tentang FAB.

Murad menolak ketidakyakinan Misuari tentang perkara itu dengan berkata majoriti pemimpin MNLF menyokong perjanjian yang ditandatangani antara MILF dan kerajaan Filipina.

MNLF yang ada sekarang, katanya, berpecah kepada empat kumpulan, tetapi tiga daripadanya dengan jelas menyokong FAB.

Beliau bagaimanapun yakin Misuari akan menerima FAB yang ditandatangani antara MILF dan Manila kerana ia akan mewujudkan wilayah autonomi Mindanao yang lebih baik, berbanding daripada perjanjian yang ditandatangani antara MNLF dan pentadbiran Filipina sebelum ini. (Bernama)

No comments:

Post a Comment