Tuesday 18 June 2013

PENCEROBOHAN TIADA KAITAN TUNTUTAN SULU







KOTA KINABALU : Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan 'Sultan Sulu' tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia.

Sambil merujuk buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu', beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama.

"Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, 'Sultan Sulu' pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.

"Kedua, sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963," katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang pencerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, di sini Selasa.

Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Tentera Di Raja Kesultanan Sulu' yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Feb lepas.

"Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.

"Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac," katanya.

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka.

Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.

Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu.

Penubuhan ESSCOM yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggung jawabkan kepada ESSCOM ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Katanya ESSCOM kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan.

Justeru, visi ESSCOM adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya.

Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh.

Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya.

Selain itu, Musa berkata ESSCOM juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat.

Penubuhan ESSCOM turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan.

Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, ESSCOM mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017.

Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh ESSCOM, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan ESSCOM di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya pihak ESSCOM berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang.

Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah ESSCOM.

Sehubungan itu, katanya, lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat ESSCOM dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara.

"Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini," katanya.

Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu.

"Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013," katanya.

Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu.

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya.

Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd.

Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu.

Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan ESSCOM adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan.

Bagaimanapun, Musa berkata ESSCOM sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baharu ke atas keselamatan Sabah. (Bernama)

44 comments:

  1. Penyertaan Sabah dalam gagasan atau pembentukan Malaysia pada 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas negeri ini yang dahulunya dikenali sebagai North Borneo, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pensyarah Sekolah Sains Sosial (Program Sejarah) itu berkata berdasarkan perkara itu sebarang tuntutan hak ke atas negeri Sabah ketika ini adalah terbatal.

    ReplyDelete
  2. Tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas Sabah dan pada tahun 1888, Sabah di bawah naungan kolonial British dan pada tahun 1903 protokol telah menetapkan jajahan Amerika Syarikat di Filipina tanpa Sabah. Pada tahun 1946, Sabah diserah kepada British dan jelas pada tahun 1963 Sabah berada dalam Malaysia.

    ReplyDelete
  3. Justeru Dr Bilcher berkata, tindakan Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu adalah satu jenayah yang boleh disifatkan sebagai serangan pengganas.

    ReplyDelete
  4. Mengenai bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap waris Kesultanan Sulu, beliau berkata ia cuma pampasan atau saguhati perjanjian "sewa mati 1787" yang tertulis pajakan kekal. Maka pampasan itu dibayar sampai mati (istilah dalam perjanjian ‘selagi ada bulan dan bintang’)..

    ReplyDelete
  5. Mengupas kembali sejarah Sabah, Dr Bilcher berkata penduduk Sabah telah memilih Malaysia (pada tahun 1963) seperti yang terkandung dalam Laporan Cobbold. “Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya. Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).

    ReplyDelete
  6. Justeru itu, tuntutan yang mendakwa dirinya sebagai pewaris Kesultanan sulu, jika ada sultan pun, ke atas Sabah adalah terbatal melalui beberapa peringkat perjanjian sebelum ini.

    ReplyDelete
  7. Hakikatnya, Sulu tidak ada sebuah kerajaan atau negara yang membolehkan "ada hak" untuk membuat tuntutan. Tuntutan ini cuma tuntutan individu semata-mata, yang tidak melibatkan orang ramai, tetapi individu itu telah memperalatkan orang ramai untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri.

    ReplyDelete
  8. Oleh itu, Dr Bilcher berkata tindakan menyerang negara luar adalah jenayah dalaman negara Filipina dan jenayah antarabangsa di Malaysia. Melainkan jika individu itu memiliki kerakyatan Malaysia, maka ini adalah jenayah yang berat, setara ancaman Komunis dahulu atau pengganas.

    ReplyDelete
  9. Di KUALA LUMPUR, semasa menjelaskan isu sama, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bayaran AS$5,000 (RM15,500) setahun oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini bukanlah wang sewaan atau pajakan tetapi merupakan satu bentuk wang penghargaan yang dikenali sebagai "cession".

    ReplyDelete
  10. Katanya beliau sendiri pernah melihat cek dengan jumlah tersebut dibayar kepada waris Kesultanan Sulu ketika menjadi Menteri Luar dari 1999 hingga 2008. Wang penghargaan atau cession berkenaan sama seperti duit penghargaan yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah apabila pulau itu diserahkan kepada British..

    ReplyDelete
  11. Kesultanan Sulu yang ada hari ini bukan kerajaan yang diiktiraf, Syed Hamid berkata, waris keluarga itu tidak layak membawa tuntutan Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ). Ini kerana ICJ hanya menguruskan kes-kes yang melibatkan kerajaan yang sah. sedangkan Kesultanan Sulu bukan satu kerajaan.

    ReplyDelete
  12. Syed Hamid berkata, kuasa pentadbiran dan politik yang ada pada Kesultanan Sulu dianggap berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada tahun 1915 dengan penjajah Filipina ketika itu iaitu Amerika.

    ReplyDelete
  13. Syed Hamid berkata cubaan menuntut Sabah pernah dibuat oleh Filipina ketika Malaysia dan Indonesia membawa masalah tuntutan pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ pada tahun 2001. "Filipina cuba untuk turut serta dalam tuntutan itu. Bagaimanapun ICJ terus menolak campur tangan Filipina dalam tuntutan Sipadan dan Ligitan yang terletak dalam perairan Sabah dengan alasan tuntutan itu tidak ada asas. Ini jelas menunjukkan, Filipina sama sekali tidak mempunyai hak ke atas negeri di bawah bayu itu," katanya.

    ReplyDelete
  14. Syed Hamid menegaskan Sabah merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat kerana Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan sebelum pembentukan Malaysia melaporkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam Malaysia.

    ReplyDelete
  15. Sementara itu, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam menyatakan keyakinannya bahawa pihak kerajaan mempunyai dokumen perjanjian wang penghargaan tersebut. "Kerajaan Malaysia memang menyimpan dokumen itu sebab selepas kita (kerajaan) ambil alih dari British kita ambil alih juga segala perjanjian itu sebab soal 'cession money' itu sangat penting," katanya.

    ReplyDelete
  16. Tambahnya, perjanjian itu menyatakan wang penghargaan akan diserahkan kepada waris bukannya kesultanan Sulu selagi 'ada bulan dan bintang'. "Perjanjiannya adalah selagi ada bulan dan bintang, bukan ada tarikh, itu cara orang dulu buat perjanjian, saya tidak tengok perjanjian itu tetapi saya tahu ada perjanjian.

    ReplyDelete
  17. "Ia (wang penghargaan) diberi kepada waris bukan kesultanan. Kesultanan Sulu telah tiada. Itu yang diperkatakan dalam sejarah Sulu. Semasa kita membuat sejarah Malaysia kita tidak pernah menyentuh tentang kerajaan Sulu ia termasuk dalam sejarah Filipina. Kita (Malaysia) tidak termasuk, kita hanya anggap ia sebagai kaum Suluk sahaja," katanya.

    ReplyDelete
  18. KEPUTUSAN Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pertikaian wilayah yang melibatkan Ligitan dan Sipadan pada 17 Disember 2002 sebenarnya telah mengiktiraf hak Malaysia dan kedaulatan ke atas Sabah serta pulau di sekitarnya. Ia secara tidak langsung telah menyebabkan permohonan Kesultanan Sulu terhadap Sabah tidak lagi relevan.

    ReplyDelete
  19. Menurut laporan kehakiman ICJ berhubung pertikaian tuntutan terhadap Pulau Ligitan dan Sipadan mengatakan, di bawah undang-undang antarabangsa yang lama, hak wilayah itu merupakan hak eksklusif pemerintah Negeri.

    Tanah adalah harta berdaulat untuk dipertahankan selaras dengan undang-undang yang relevan.

    ReplyDelete
  20. Namun di bawah undang-undang antarabangsa yang baru, siasatan itu semestinya mencakupi maksud yang lebih luas, khususnya dalam konteks dekolonisasi. Khususnya, konsep hak “rakyat”, untuk menentukan pilihan sendiri.

    ReplyDelete
  21. Sebagai contoh, dalam kes mengenai Timor Timur (Portugal v Australia), ICJ telah mengiktiraf prinsip penentuan sendiri yang menjadi “salah satu prinsip penting dalam undang-undang antarabangsa kontemporari” (ICJ Laporan tahun 1995, p.102, perenggan 29).

    Malah menurut “Deklarasi Pemberian Kemerdekaan kepada Rakyat dan Negara Penjajah”, resolusi Perhimpunan Agung 1514 (XV), yang digunapakai pada 14 Disember 1960, adalah merupakan asas kepada proses dekolonisasi.

    ReplyDelete
  22. Ia adalah terpakai kepada semua “wilayah yang belum mencapai kemerdekaan” dan membuktikan bahawa rakyat mempunyai hak untuk memilih”.

    Mengikut sejarah, Sabah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Borneo Utara telah diserahkan oleh Kesultanan Sulu kepada Syarikat Overback pada tahun 1880.

    ReplyDelete
  23. Seterusnya syarikat terbabit telah memberikan hak milik tersebut kepada kerajaan Britian yang akhirnya diserahkan kepada Malaysia segala hak Kesultanan Sulu telah terlupus mengikut perundangan antarabangsa.

    ReplyDelete
  24. Sejarah juga turut membuktikan bahawa Kesultanan Sulu ketika insiden antara 19 April 1851 dan 26 Jun 1946 telah melepaskan dan menyerahkan semua hak-haknya ke negeri terkenal dengan jolokan Di Bawah Bayu itu.

    ReplyDelete
  25. Malah pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya itu dibentuk hasil rundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Britain pada November 1961.

    ReplyDelete
  26. Selari dengan kehendak kerajaan Filipina pada masa itu apabila permohonan mereka ke atas Sabah tidak mendapat persetujuan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Tujuan penubuhan suruhanjaya itu untuk meninjau pandangan penduduk di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia.

    ReplyDelete
  27. Hasil laporan suruhanjaya yang disahkan perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan, 80% penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang kemudian telah diisytiharkan pada 16 September 1963.

    ReplyDelete
  28. Kesimpulannya, apa juga alasan yang cuba dibangkitkan oleh waris Kesultanan Sulu dan kerajaan Filipina dalam menuntut hak kedaulatan Sabah adalah merupakan satu nostalgia silam yang tidak mungkin dapat berubah.

    ReplyDelete
  29. Kerajaan Sabah berpuas hati dengan tindakan pantas kerajaan Persekutuan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di lokasi strategik untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan negeri itu.

    ReplyDelete
  30. keikhlasan adalah penting dalam melakukan sesuatu kebajikan atau menjanjikan sesuatu dan rakyat melihat keiklasan tersebut adalah berpihak kepada Bn jika hendak dibandingkan dengan pihak pembangkang.

    ReplyDelete
  31. Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus melakukan provokasi mengajak rakyat turun berdemonstrasi di jalanan dilihat seperti mempunyai muslihat dan agenda tersirat.

    ReplyDelete
  32. Presiden Pertubuhan Penyokong Barisan Nasional (PPBN), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, ini kerana demonstrasi jalanan bagi menggulingkan kerajaan itu juga tidak dipersetujui oleh Pas dan DAP, jadi jelas politik jalanan tersebut hanya agenda peribadi Anwar.

    ReplyDelete
  33. Umno menyifatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memperkatakan ketirisan berlaku dalam PRU13 lalu hanya tindakan memalukan diri sendiri.

    ReplyDelete
  34. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong penuh cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti November ini.

    ReplyDelete
  35. beliau bimbang pertandingan bagi dua jawatan tertinggi yang masing-masing disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan menyebabkan perpecahan dalam Umno dan juga orang Melayu.

    ReplyDelete
  36. Semakin ramai anggota dan penyokong pembangkang meninggalkan parti itu dan menyertai Barisan Nasional(BN) selepas kecewa dengan kepimpinan serta kegagalan pemimpin pakatan pembangkang menunaikan janji, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

    ReplyDelete
  37. Mengikut amalan demokrasi, kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar.

    ReplyDelete
  38. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, petanda itu memberi keyakinan kepada BN untuk memenangi dua pertiga kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 nanti, sekaligus merampas negeri-negeri yang tewas pada pilihan raya umum pada 2008.

    ReplyDelete
  39. Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno yakin, lebih ramai anggota parti pakatan pembangkang akan meninggalkan parti itu dan menyertai BN kerana mereka menyedari hanya BN sahaja mampu mengubah kehidupan, menjamin kepentingan serta mencorakkan masa depan yang cerah bagi rakyat di negara ini

    ReplyDelete
  40. beliau berkata lebih 400 penyokong Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dari Bangi dan Serdang telah menyertai kelab penyokong BN dalam masa beberapa bulan ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pas dan parti pembangkang yang lain.

    ReplyDelete
  41. Ahmad Maslan berkata walaupun berpuas hati dengan persiapan, namun beliau mahukan ia terus berada pada tahap yang tertinggi.

    ReplyDelete
  42. Jelas la bahawa kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu hingga
    membunuh nyawa anggota keselamatan negara bukan berpunca dari tuntutan
    Sulu keatas Sabah. Kerajaan perlu segera menyiasat punca kejadian
    tersebut.

    ReplyDelete
  43. Kejadian ganas lagi zalim pengganas tajaan itu apakah mempunyai
    kaitan dengan perjumpaan Anwar dan Nur Misuari? apa kaitan dengan
    perginya 2 ekor beruk Anwar iaitu Penghina anggota dan keluarga Polis
    dan tentera yag dibunuh kejam si Tian Chua dan Sivarasa?

    ReplyDelete
  44. Rakyat menuntut jawapan...rakyat mahukan pengganas, pengkhianat dan
    dalang pencerobohan tersebut dibawa ke muka pengadilan..! Beri hukuman
    setimpal atas dosa yang telah mereka lakukan..!!!

    ReplyDelete