Sunday 9 June 2013

PERKENAL SEMULA SISTEM KUOTA UMNO





           
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyarankan supaya diperkenalkan semula sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, yang pernah dipraktikkan sebelum ini.
   
Beliau berkata langkah itu difikirkan relevan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak kebelakangan ini yang mahukan supaya kedua-dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.
   
"Lebih penting, pengenalan semula sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah untuk menentukan mereka yang bertanding jawatan tersebut mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kota Belud hari ini.
   
Salleh yang juga ketua Umno bahagian Kota Belud berkata sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah mekanisme terbaik memastikan keutuhan parti sebagai tunjang pemerintahan negara ini.
   
Jika tidak, katanya, sembarangan orang termasuk mereka yang tidak mempunyai kredibiliti boleh menawarkan diri bertanding jawatan tersebut, dan ia tidak baik untuk parti.
   
"Sementara bagi jawatan-jawatan lain, termasuk naib presiden, Ahli Majlis Tertinggi (AMT), ketua bahagian dan semua sayap parti boleh dikekalkan sistem pencalonan dan pertandingan yang sedia ada," katanya.
   
Ini, katanya, selaras dengan semangat pindaan perlembagaan Umno yang dibuat sebelum ini, yang memberi peluang kepada lebih ramai ahli menentukan hala tuju kepemimpinan parti.
   
Bekas ketua menteri itu berkata semangat pindaan perlembagaan tersebut perlu dipertahankan demi kelangsungan perjuangan Umno.
   
Sebelum ini, calon yang ingin bertanding jawatan presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian, timbalan presiden (20 peratus), naib presiden (10 peratus) dan kerusi Majlis Tertinggi (5 peratus).
   
Pada 24 April 2009, Majlis Tertinggi Umno bersetuju perlembagaan parti dipinda yang menyentuh kaedah dan proses pemilihan supaya ia lebih telus, terbuka dan demokratik.
   
Pindaan perlembagaan Umno kemudian dibuat pada perhimpunan agung tahunan Umno pada Oktober tahun yang sama.
   
Dalam pada itu, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan mengajak ahli parti semua peringkat supaya memperkukuh semangat perpaduan, demi menjadikan Umno kekal sebagai parti inklusif.
   
"Kekuatan ahli Umno di peringkat akar-umbi memainkan peranan besar dalam mengupayakan perjuangan dalam usaha menjadikan Umno lebih inklusif," katanya. (Bernama)

19 comments:

  1. Badan Perhubungan UMNO Selangor menyokong cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini.

    ReplyDelete
  2. Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya dicabar kerana ia akan melemahkan perjuangan UMNO.

    ReplyDelete
  3. “Walaupun jumlah kerusi parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berkurangan berbanding PRU 2008, namun bilangan kerusi yang dimenangi UMNO bertambah daripada 79 kepada 88.

    ReplyDelete
  4. “Justeru, UMNO Selangor akan menyokong perdana menteri dan timbalan perdana menteri sebagai presiden dan timbalan presiden UMNO untuk terus menerajui parti dalam menghadapi PRU14,” kata Noh kepada pemberita selepas majlis kesyukuran BN kawasan Tanjong Karang di sini semalam.

    ReplyDelete
  5. Sementara itu, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjung Karang, secara peribadi berpendapat cadangan menjadikan BN sebuah parti tunggal adalah tidak sesuai dan ia perlu mengekalkan status quonya.


    ReplyDelete
  6. Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan turut menyokong jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan.


    ReplyDelete
  7. Bercakap kepada pemberita di Kota Baharu hari ini, Ketua Pemuda UMNO Kelantan Anuar Safian berkata, kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dikekalkan bagi memperkukuh dan menarik sokongan orang Melayu kepada parti itu.

    ReplyDelete
  8. Pergerakan itu juga mencadangkan supaya jawatan ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang disandang Khairy Jamaluddin tidak dipertandingkan.

    ReplyDelete
  9. Anuar berkata ini kerana Khairy telah dilantik menganggotai kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan, dan perlu diberi peluang meneruskan agenda transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    ReplyDelete
  10. anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa semua anggota Umno supaya terus menyokong kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak jika jawatan tertinggi Umno itu dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

    ReplyDelete
  11. Menurutnya, ini kerana di bawah kepimpinan Najib, Umno terbukti terus menjadi pilihan rakyat apabila parti itu memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan menjadi parti yang mendapat sokongan tertinggi berbanding parti lain.

    ReplyDelete
  12. Ahmad Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata prestasi Umno dalam PRU13 amat membanggakan yang mana kemenangan 88 kerusi itu begitu hampir dengan gabungan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang dengan 89 kerusi.

    ReplyDelete
  13. Datuk Seri Najib juga mendapat sokongan ramai pengundi Melayu di bandar walaupun ramai yang mendakwa Melayu bandar tidak lagi menyokong Umno seperti digembar-gemburkan,

    ReplyDelete
  14. Najib sendiri telah melakukan pelbagai transformasi dalam sistem pemilihan Umno yang menjadikan demokrasi terus subur dalam parti itu.

    ReplyDelete
  15. Generasi muda perlu diberi peluang seluas-luasnya untuk bertanding di peringkat pemilihan cawangan dan bahagian demi kelangsungan perjuangan parti Umno, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    ReplyDelete
  16. Beliau berkata Umno perlu melalui satu proses transformasi untuk menjadikan ia sebuah parti yang lebih inklusif.

    ReplyDelete
  17. harap dalam pemilihan kali ini ada kesedaran dalam kalangan pemimpin Umno untuk memberi peluang kepada anak-anak muda dan anggotah baharu untuk bertanding

    ReplyDelete
  18. Mengenai cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada perhimpunan agung parti itu Oktober ini, Hishammuddin menyokong seratus peratus apa jua pendekatan yang dilakukan bagi memastikan Umno terus kuat.

    ReplyDelete
  19. Sekiranya itu merupakan asas kepada usaha bahawa jawatan tertentu tak ditandingi dan itu menyebabkan parti (Umno) terus kuat, saya menyokong apa jua bagi melihat parti Umno terus berada di hadapan," katanya

    ReplyDelete