Sunday 16 June 2013

PERUNDANGAN LEBIH KUAT DARI IPCMC







KUAT.....Timbalan Ketua Polis Negara berkata perundangan yang sedia ada lebih baik dari apa yang disyorkan dalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.

PUTRAJAYA: Undang-undang sedia ada sudah cukup kuat untuk menangani aduan berkaitan salah laku anggota penguatkuasaan di negara ini, daripada apa yang disyorkan dalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah melaksanakan undang-undang sedia ada itu daripada terus membincangkan penubuhan IPCMC.

“Kita mempunyai undang-undang sedia ada dan telah diluluskan di Parlimen, perlu dilaksanakan undang-undang tersebut dan ia lebih kuat daripada apa yang ada dalam IPCMC,” katanya kepada pemberita pada majlis Konvokesyen Kolej Intelek Putra di sini hari ini.

Pada 25 Mac 2008, perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa draf rang undang-undang IPCMC siap untuk dikemukakan kepada Kabinet sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, perkara itu ditangguh apabila Dewan Rakyat dibubar pada tahun berkenaan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-12.

IPCMC adalah bahagian terakhir dalam cadangan pembaharuan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, yang mencadangkan agar badan itu menggunakan model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) United Kingdom dan badan pemantau polis yang terdapat di New South Wales dan Queensland, Australia, serta Hong Kong.

Berhubung insiden kematian dalam lokap, beliau meminta semua pihak supaya tidak melihat insiden itu disebabkan kesilapan dan kecuaian anggota polis semata-mata dan hanya membabitkan kaum tertentu sahaja.

Mohd Bakri berkata, apa pun pihak polis sedang merangka strategimenguatkuasakan peraturan-peraturan sedia ada dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta memperbaiki kelemahan untuk mempastikan insiden seperti itu dapat dikurangkan.

“Adakalanya mereka yang ditahan pasti akan beremosi dan tidak boleh menolak kemungkinan mereka cuba membunuh diri seperti menghantuk kepala ke dinding, kita tidak boleh menahan perkara sedemikian rupa tapi polis tetap cuba sedaya upaya untuk memastikan lokap selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga akan melihat keperluan untuk bekerjasama dalam perkara-perkara tertentu dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan polis dapat melaksanakan tugas dengan baik serta teratur.

Mengulas mengenai rancangan mengadakan perhimpunan ‘Black 505′ di Padang Merbok, beliau berkata peraturan menetapkan penganjur perlu mendapatkan permit, dan terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian atau sebaliknya.

“Jika perhimpunan diadakan tanpa mengikut peraturan tindakan kita sama seperti apa tindakan yang dilaksanakan dulu, jadi kita tengok keadaan daripada semasa ke semasa, undang-undang berikan kita kuasa tertentu untuk melaksanakannya,” katanya. (Bernama)

15 comments:

  1. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mempertimbangkan membuka penyiasatan terhadap kematian dalam tahanan atau tembakan maut polis atas inisiatif sendiri, selepas lapan orang mati dalam tahanan polis tahun ini.

    ReplyDelete
  2. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar mengatakan suruhanjaya itu sedang melihat kepada mekanisme untuk menyiasat kematian dalam tahanan N. Dharmendran berumur 32 tahun, yang mati pada 21 Mei disebabkan dipukul berkali-kali semasa berada dalam tahanan reman di ibu pejabat polis kontigen di Kuala Lumpur termasuk kematian R. Jamesh Ramesh di ibu pejabat polis kontigen Pulau Pinang pada 26 Mei.

    ReplyDelete
  3. “Kami sedang melihat bagaimana kami boleh menyiasat kematian dalam tahanan polis, seperti Dharmendran dan seorang lagi di Pulau Pinang, walaupun tiada sesiapa buat aduan,” kata Nor Afizah Hanum

    ReplyDelete
  4. “Kami mahu menyiasat kes yang mempunyai kepentingan awam, walaupun kami tidak menerima sebarang aduan,” tambah beliau.

    ReplyDelete
  5. Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan mengatakan EAIC boleh memulakan siasatan dengan inisiatif sendiri mengenai perkara melibatkan kepentingan awam.

    ReplyDelete
  6. Nor Afizah Hanum mengatakan EAIC – yang menyiasat aduan salah laku terhadap 19 agensi penguatkuasaan, termasuk polis – terjejas disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk menyiasat kematian dalam tahanan sebelum ini, menyatakan suruhanjaya itu masih belum menerima aduan bersifat jenayah.

    ReplyDelete
  7. Bekas hakim Mahkamah Sesyen itu juga mengatakan EAIC, yang ditubuhkan dua tahun lalu pada April 2011, hanya mempunyai seorang pegawai penyiasat dan bajet tahunan sebanyak hanya RM7 juta.

    ReplyDelete
  8. “Kami juga tidak mahu menyiasat dua kali terhadap kematian dalam tahanan. Ketika kami memulakan siasatan, mereka harus hentikan siasatan, jadi kita perlu mulakan dengan berhati-hati,” kata Nor Afizah Hanum, merujuk kepada polis.

    ReplyDelete
  9. Menurut kumpulan hak asasi Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan lagi kes setakat ini berlaku dalam masa lima bulan pada tahun ini.

    ReplyDelete
  10. Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”.

    ReplyDelete
  11. Nor Afizah Hanum menegaskan EAIC yang bertanggungjawab kepada Parlimen, mempunyai kuasa luas dalam menyiasat kes-kes salah laku, walaupun ia tidak mempunyai kuasa tatatertib.

    ReplyDelete
  12. tindakan tegas akan dikenakan pada mereka yang salah guna kuasa.

    ReplyDelete
  13. PELIK SUNGGUH POLITIK DI MALAYSIA..

    KENAPA BANDUAN YANG MATI DALAM PENJARA DIBELA NASIB MEREKA OLEH PUAK2 PEMBANGKANG?? KENAPA MANGSA KEPADA BANDUAN2 TIDAK LANGSUNG DIBELA OLEH MEREKA?? ADAKAH SEBAB PUBLISITI UNTUK KEPENTINGAN POLITIK??

    ReplyDelete
  14. BUKANKAH LEBIH BAIK JIKA PUAK2 PEMBANGKANG DAN PENYOKONG2 MEREKA TAMPIL MEMBELA NASIB MANGSA ROGOL, ROMPAK DAN BUNUH.. KENAPA NASIB BANTUAN PULA YANG MENJADI PERHATIAN MEREKA??

    ReplyDelete
  15. SAYA JUGA TIDAK BERSETUJU JIKA BENAR PIHAK POLIS MELAKUKAN KEGANASAN MELAMPAU TERHADAP BANDUAN SEHINGGA MENYEBABKAN KEMATIAN.. NAMUN KITA JUGA PERLU TAHU BAHAWA PIHAK POLIS MELAKUKAN PELBAGAI CARA SUPAYA SI PENJENAYAH BEKERJASAMA SEPANJANG PROSES SOAL SIASAT.. BUKAN MUDAH BERHADAPAN DENGAN PENJENAYAH BERAT..

    ReplyDelete