Monday 3 June 2013

PRU 13 BELUM SELESAI?






Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengingatkan anggota partinya agar meneruskan perjuangan mereka walaupun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah berlalu, serta tidak termakan dengan 'helah' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wan Azizah menegaskan, tindakan Najib mengumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diletakkan di bawah jawatankuasa khas pilihan Parlimen (PSC) adalah cubaan mengalih perhatian sebenar dalam isu penipuan pilihan raya dan menjadikan beliau seolah-olah sedaya upaya memperbaiki imej pengendali pilihan raya tersebut sebagaimana tuntutan aktivis Bersih dan Pakatan Rakyat (PR).

"PRU13 belum selesai, kemenangan kita dirampas, kita kena teruskan lagi ... sebab ini kalau kita biarkan PRU13 berlalu begitu sahaja, rakyat akan lupa.

"Kita juga jangan terpedaya dengan helah Najib ... dulu semasa Bersih, kita lari bertempiaran, pedih mata, kemudian selepas berhimpun, masuk Parlimen dengan wakil rakyat, wujudkan jawatankuasa khas, tapi tak banyak perubahan pun," kata Wan Azizah dihadapan pemimpin akar umbi PKR ketika majlis minum petang di Taman Tasik Perdana di sini, petang kelmarin.

Dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan pengendali pilihan raya itu, Najib semalam mengumumkan SPR akan dikawal selia oleh panel PSC yang merangkumi pemimpin daripada kedua-dua parti politik kerajaan dan pembangkang bagi meningkatkan kredibiliti mereka.

Isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga mendakwa, isu persempadanan pilihan raya juga menyebabkan PR tewas apabila SPR terlibat untuk menewaskan pembangkang.

"Saya percaya rakyat dah beri kita mandat dalam pilihan raya lalu ... Namun persempadanan semula menjadi masalah, dia pusing-pusing nak kalahkan kita.

"Undi-undi ini SPR memang terlibat nak kalahkan calon PR," katanya lagi, dan mengingatkan kepada wakil rakyat PKR agar meneruskan khidmat mereka di kawasan yang telah dimenangi.

"Kita dah menang, di tempat kita menang, kita kena beri khidmat kepada rakyat," katanya.

Pengumuman Najib itu dilihat cubaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap SPR, namun pemimpin pembangkang juga turut menggesa agar Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar digantikan dengan muka baru bagi merealisasikan cadangan tersebut.

Malahan, pembangkang turut menuntut agar PSC yang diwujudkan bagi mengawal selia SPR harus diketuai oleh PR bagi mengelakkan konflik kepentingan kata pemimpin daripada gabungan pembangkang.

Pengarah pemerhati pilihan raya Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP), Ong Kian Ming berkata ianya disebabkan rasa tidak percaya terhadap SPR. Lebih tinggi dalam kalangan pemimpin PR berbanding BN.

Pengendali pilihan raya itu dituduh memihak kepada BN oleh pembangkang dan membantu parti dengan 13 parti komponen itu kekal berkuasa dalam Pilihan Raya 2013 pada 5 Mei lalu.

"Kita sudah lihat contoh PSC untuk pembaharuan pilihan raya tidak menunjukkan banyak tindakan berkesan diambil ... salah satu puncanya kerana ia diketuai BN," katanya merujuk kepada jawatankuasa yang dipengerusikan pemimpin komponen BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula membandingkan situasi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di kebanyakan negara-negara Komanwel, yang menjadi lumrah pemimpin pembangkang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.

Di negara yang mempunyai jawatankuasa berkenaan, PAC biasanya bertanggungjawab memantau perbelanjaan kerajaan bagi memastikan keteluasan akauntabiliti.

Pemimpin PAS itu berkata, kepentingan seperti itu boleh dilihat dalam cadangan pembaharuan sistem "first past the post" yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh bagaimanapun menegaskan pembaharuan pilihan raya perlu dilaksanakan supaya SPR lebih adil, telus, dan bebas sebelum PR mengetuai PSC itu dapat dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kuantan itu turut beranggapan langkah diambil Najib adalah cara mengalih perhatian rakyat terhadap dakwaan penipuan pilihan rata yang dibangkitkan PR.

Sejak pengumuman keputusan Pilihan Raya 2013, PR telah menganjurkan Himpunan "Black 505" di seluruh negara menolak keputusan pilihan raya.

Penganjurnya, Datuk Johari Abdul turut berkata himpunan berkenaan akan terus dijalankan walaupun Yang Di-Pertuan Agong telah menitahkan agar setiap rakyat menerima keputusan pilihan raya. (TMI)

8 comments:

  1. Pengiktirafan Australia terhadap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) merupakan tamparan hebat kepada pihak yang tidak menerima keputusan pilihan raya tersebut.

    ReplyDelete
  2. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pengiktirafan tersebut juga secara tidak langsung membuktikan SPR telah berjaya melaksanakan proses demokrasi itu dengan telus dan adil.


    ReplyDelete
  3. Tegas beliau, sebagai sebuah negara Komanwel yang disegani, sudah pasti kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan kakitangan mereka di negara ini.

    "Sepatutnya, rakyat juga perlu membuka mata mereka tentang pelbagai dakwaan jahat yang dilemparkan kepada SPR selama ini adalah tidak benar.

    ReplyDelete
  4. Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr yang menyifatkan PRU-13 pada 5 Mei lalu mempunyai kredibiliti dan boleh dipercayai.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad juga berpendapat bahawa tindakan pembangkang yang terus menyerang kredibiliti SPR dilihat sebagai perbuatan terdesak.

    ReplyDelete
  5. "Jika negara asing boleh melihat betapa proses pilihan raya di negara ini telus dan adil, saya yakin pihak yang tidak berpuas hati adalah kerana gagal mencapai agenda politik peribadi masing-masing," ujarnya.

    ReplyDelete
  6. Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, beliau melihat keputusan itu sebagai sangat baik dan bijak.

    Katanya, langkah itu juga membuktikan keikhlasan kerajaan untuk terus menyuburkan proses demokrasi negara di bawah agenda transformasi politik negara.

    ReplyDelete
  7. "Dengan pembabitan pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa itu, sudah pasti segala teguran dan maklumat dapat disampaikan dengan lebih baik.

    "Namun jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarah SPR seperti yang termaktub dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan iaitu kami adalah sebuah badan yang bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.

    ReplyDelete
  8. pembankang kena terima keputusan PRU 13. tunggulah PRU 14 lagi

    ReplyDelete