Wednesday 5 June 2013

SATU PENYIASAT UNTUK 19 AGENSI?







Oleh  : BOO SU-LYN

PUTRAJAYA : Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah mengakui kesukaran dengan hanya mempunyai seorang pegawai penyiasat untuk menyiasat aduan salah laku terhadap 19 agensi penguatkuasaan, di kala bantahan awam meningkat berhubung kematian dalam tahanan polis. Mereka juga mempunyai bajet tahunan hanya RM7 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar mengatakan suruhanjaya tersebut mempunyai 23 pekerja termasuk pegawai penyiasat, kerani, pemandu, penyiasat undang-undang, pegawai pentadbir dan pengarah operasi.

“Kami mempunyai tenaga kerja yang sangat terhad,” kata Nor Afizah Hanum kepada The Malaysian Insider dalam temuramah eksklusif di pejabatnya di sini semalam.

“Kami mempunyai enam jawatan pegawai penyiasat yang kami dapat dari SPRM. Mereka telah menarik balik lima pada 16 Mei,” tambah beliau merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di tengah-tengah bantahan ke atas kematian dalam tahanan polis baru-baru ini, terdapat desakan yang semakin meningkat daripada pembangkang dan Majlis Peguam supaya kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis semenjak 2006.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong.

Bercakap kepada The Malaysian Insider semalam, Nor Afizah Hanum mengatakan pegawai penyiasat tunggal yang tinggal di EAIC juga datang dari SPRM dan mempunyai 11 tahun pengalaman sebagai penyiasat.

SPRM sebagai perbandingan mendapat bajet tahunan sebanyak RM276 juta tahun ini dan akan menerima 150 jawatan setiap tahun untuk meningkatkan tenaga kerja daripada 2,500 kakitangan 5,000, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris The Star September lalu.




EAIC yang ditubuhkan pada April 2011 menyiasat aduan salah laku terhadap pasukan polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Rela, Agensi Dadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Kesihatan (Penguatkuasaan), Kementerian Pelancongan (Penguatkuasaan dan unit perlesenan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (Penguatkuasaan) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (Penguatkuasaan).

Nur Afizah Hanum mengatakan, EAIC memerlukan bajet tahunan sekurang-kurangnya RM25 juta, termasuk sekurang-kurangnya 10 pegawai penyiasat dan 10 pegawai penyelidik.

“Kita berharap untuk berkembang sehingga mempunyai 78 pekerja… kita mempunyai keperluan untuk pegawai-pegawai penyelidikan untuk bekerja dalam satu pasukan petugas untuk mengkaji peraturan dan prosedur dan melakukan lawatan ke lokap, penjara, “katanya.

Nor Afizah Hanum menambah EAIC telah menerima 469 aduan sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011, dengan 353 aduan terhadap polis. Dua puluh satu aduan telah dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, 10 terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan sembilan terhadap Jabatan Kastam.

Beliau berkata EAIC, bagaimanapun, masih belum menerima aduan kematian dalam tahanan, tembakan polis, atau serangan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.

“Kami masih belum menerima aduan yang terdapat elemen jenayah,” kata Nor Afizah Hanum.

Beliau menambah aduan daripada ketiadaan tindakan polis terhadap kes, pihak berkuasa imigresen tidak mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin, seorang anggota polis mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang lain, atau JPN mendedahkan butir-butir peribadi kepada pihak lain tanpa persetujuan.

Bekas hakim Mahkamah Sesyen mengatakan penyiasatan telah dijalankan untuk 124 daripada 469 aduan, dengan satu kes menyebabkan cadangan tindakan tatatertib terhadap polis.

Dalam kes itu, aduan telah dibuat terhadap seorang pegawai polis pada pertengahan tahun lepas kerana menutup kes selepas tiga hari.

“Kami mencadangkan agar beliau diturunkan pangkat,” katanya, dan menambah beliau tidak pasti sama ada pihak polis telah melaksanakan cadangan EAIC ini.

Menurut kumpulan hak asasi Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan lagi kes setakat ini berlaku pada tahun ini.

Kes terbaru kematian dalam tahanan adalah P. Karuna Nithi, 42 yang ditemui mati di lokap balai polis Tampin Sabtu lepas, 11 hari selepas N. Dharmendran, 32 yang dipukul sehingga mati pada 21 Mei semasa berada dalam reman polis di ibu pejabat kontigen polis di Kuala Lumpur.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memberitahu Parlimen Oktober lalu 298 orang ditembak mati oleh polis diantara 2007 dan Ogos 2012, termasuk 151 rakyat Indonesia dan 134 rakyat Malaysia di mana secara puratanya seorang mati ditembak dalam setiap minggu.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”. (TMI)

7 comments:

  1. Selepas menjalankan siasatan terhadap setiap aduan, kes itu disalur kepada badan-badan tertentu mengikut kes seperti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan Pihak Berkuasa Tata Tertib agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

    ReplyDelete
  2. Suruhanjaya itu ditubuhkan pada 1 April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) bagi menerima aduan dan menyiasat salah laku pegawai penguatkuasa atau agensi penguatkuasaan.

    ReplyDelete
  3. Antara agensi di bawah seliaan suruhanjaya itu termasuk PDRM, Jabatan Imigresen, KDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Rela, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan, Jabatan Tenaga Kerja dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

    ReplyDelete
  4. Penubuhan suruhanjaya itu bertujuan mempertingkatkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan, mengurangkan serta membanteras salah laku pegawai penguatkuasa dan memupuk keyakinan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan Persekutuan.

    ReplyDelete
  5. Suruhanjaya berkenaan adalah satu platform yang disediakan kepada semua pihak termasuk individu membuat laporan sekiranya menghadapi masalah dengan anggota penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan amanah.

    ReplyDelete
  6. Laporkan kepada kami dengan maklumat yang lengkap dan kita akan siasat tanpa mengira siapa pun dan siasatan dijalankan dengan telus selain maklumat pengadu tidak akan didedahkan. Suruhanjaya ini bukan untuk menghukum sesiapa tetapi untuk memastikan integriti dapat ditegakkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti, Datuk Helilah Mohd Yusof.

    ReplyDelete
  7. kurangkan salah laku kuasa di kalangan agensi penguatkuasa

    ReplyDelete