Thursday 27 June 2013

SETELAH 3 MINGGU, CEO DIPINDAHKAN






Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

SELEPAS tiga minggu menyatakan kekurangan yang dihadapi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan itu, Nor Afizah Hanum Mokhtar (gambar) dipindahkan semula ke Pejabat Peguam Negara.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, beliau telah diberikan surat arahan perpindahan ke Pejabat Peguam Negara pada 24 Jun (Isnin) lepas, dan dijangka memulakan tugasnya pada 1 Julai.

"Sebab dipindahkan bagaimanapun tidak diketahui," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Nor Afizah sebelum ini dalam satu temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider telah mendedahkan kekurangan dalam suruhanjaya berkenaan yang mengawal selia kes salah laku 19 agensi penguatkuasaan termasuk pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Dalam temuramah itu, beliau mengakui menghadapi kesukaran dengan hanya dibekalkan seorang pegawai penyiasat untuk menyiasat aduan salah laku terhadap kesemua agensi penguatkuasaan, sedangkan kemarahan umum terhadap suruhanjaya berkenaan semakin meningkat ekoran jumlah kes kematian dalam tahanan yang meningkat saban hari.

Beliau juga turut berkata suruhanjaya yang diterajuinya itu hanya dibekalkan bajet tahunan setakat RM7 juta bagi menampung keperluan 23 pekerja termasuk pegawai penyiasat, kerani, pemandu, penyiasat undang-undang, pegawai pentadbir dan pengarah operasi.

"Kami mempunyai tenaga kerja yang sangat terhad," katanya kepada The Malaysian Insider dalam temuramah sebelum ini.

Beliau turut berkata, lima daripada enam pegawai penyiasat yang dipinjamkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah ditarik balik pada 16 Mei lalu.

Pakatan Rakyat (PR) juga sebelum ini mendakwa, Mohd Nadzri Ibrahim adalah merupakan bekas pegawai SPRM Selangor yang terlibat dalam kes kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Malah, SPRM juga telah menyarankan agar Mohd Nadzri digugurkan ekoran dakwaan berkenaan, dan agensi anti rasuah itu enggan dikaitkan dengan mana-mana kontroversi sama ada yang melibatkan SPRM ataupun EAIC.

Di tengah-tengah bantahan ke atas kematian dalam tahanan polis baru-baru ini, terdapat desakan yang semakin meningkat daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Majlis Peguam supaya kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Pengganti beliau bagaimanapun masih belum dikenalpasti," tambah sumber lagi.

Sumber bagaimanapun menjelaskan, perpindahan Nor Afizah tidak melibatkan rungutan-rungutan yang dikatakannya kepada media.

"Perpindahan tiada kena mengena dengan rungutan dia buat di media ... kerajaan juga sangat membantu apabila selepas itu menyatakan akan ada penambahbaikan untuk suruhanjaya," katanya.

Nor Afizah dalam temuramah sebelum ini turut berkata, EAIC yang ditubuhkan pada April 2011 memerlukan sekurang-kurangnya RM25 juta, termasuk sekurang-kurangnya 10 pegawai penyiasat dan 10 pegawai penyelidik.

Sebagai perbandingan, SPRM diberikan bajet tahunan sebanyak RM276 juta tahun dan akan menerima tambahan 150 jawatan setiap tahun untuk meningkatkan tenaga kerja daripada 2,500 kakitangan 5,000.

Antara 19 agensi di bawah seliaan EAIC adalah; Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Agensi Antidadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Tenaga Kerja, dan Kementerian Kesihatan (Penguatkuasaan).

Selain itu, Kementerian Pelancongan (Unit Penguatkuasaan Bahagian Lesen), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (Penguatkuasaan) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (Penguatkuasaan) turut termasuk di bawah seliaan mereka.

"Kita berharap untuk berkembang sehingga mempunyai 78 pekerja … kita mempunyai keperluan untuk pegawai-pegawai penyelidikan untuk bekerja dalam satu pasukan petugas untuk mengkaji peraturan dan prosedur dan melakukan lawatan ke lokap, penjara," katanya dalam temuramah tersebut.

EAIC jelasnya telah menerima 469 aduan sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan, dengan 353 aduan terhadap polis, manakala 21 aduan telah dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, dan 10 terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta sembilan terhadap Jabatan Kastam. (TMI)

No comments:

Post a Comment