Wednesday 26 June 2013

SINDIKET TIPU RM1.3J TUMPAS






DIRAMPAS..... Firdaus (tengah) dan Timbalannya DSP Yap Fui Lee (kiri) serta Pegawai Penyiasat Inspektor Nazrul Hisyam menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pajabat Polis Kontinjen Sarawak, Kuching semalam.

By : JEREMY LANSON

KUCHING: Seramai 17 individu terdiri daripada sembilan warga Nigeria dan lapan wanita tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan ‘Romance Scam’ melibatkan kerugian mencecah RM1.3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mohd Firdaus Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 21 dan 54 tahun itu ditahan atas dakwaan menipu seorang wanita sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, mangsa, 34, yang juga merupakan ahli perniagaan terdahulu berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui sebuah laman sosial, namun diperdayakan dengan janji-janji manis termasuk pulangan perniagaan bernilai jutaan ringgit.

“Namun, perkara tersebut telah disedari oleh mangsa yang kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian, itu pun setelah dia memasukkan wang sebanyak RM1.3 juta ke dalam beberapa akaun selepas diarahkan oleh suspek.

“Berikutan laporan itu, dua wanita tempatan telah ditahan pada 25 April lepas yang kemudian membawa kepada penahanan sembilan individu warga Nigeria di Kuala Lumpur dengan bantuan daripada JSJK Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pajabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.

Firdaus berkata, polis yang menyiasat lanjut kes itu berjaya menahan enam lagi wanita tempatan termasuk seorang penebar roti canai, manakala lima lagi suspek masih dijejaki.

Menurutnya lagi, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, komputer, kad bank dan beberapa dokumen berkaitan daripada suspek.

Bercakap mengenai kes itu, Firdaus memberitahu, mangsa terdahulu akan dipikat dengan janji-janji manis sehingga mangsa benar-benar percaya kepada setiap perkara yang diberitahu oleh suspek.

“Selepas beberapa bulan berkenalan, suspek seterusnya akan mula mempengaruhi mangsa dengan menawarkan pelbagai perkara termasuk pulangan perniagaan yang mencecah nilai jutaan ringgit.

“Sehingga satu tahap, suspek meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam beberapa akaun sebagai pelaburan atau sebagainya dan perkara tersebut berlarutan sehingga disedari oleh mangsa,” katanya.

Firdaus memberitahu, kes tersebut dipercayai didalangi oleh individu warga Nigeria yang akan menggunakan akaun wanita-wanita tempatan untuk proses pemindahan wang, sekali gus menjadi ‘Keldai Akaun.

“Mereka (wanita tempatan) adalah ‘Keldai Akaun’ dan boleh dituduh bersubahat kerana membenarkan suspek menggunakan akaun mereka bagi proses pemindahan wang tersebut walaupun mungkin mereka tidak mengetahui perkara itu,” jelasnya.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabit kesalahan. (UB)

No comments:

Post a Comment