Monday 10 June 2013

SKANDAL SME BANK, MEKANIK LESAP RM100,000




IPOH : Seorang mekanik di Taman Kledang, di sini mendakwa kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sebuah syarikat swasta yang menawarkan skim pembiayaan berjumlah jutaan ringgit untuk perniagaannya.

S Ragu, 36, berkata syarikat itu yang mendakwa sebagai anak syarikat SME Bank, memberi jaminan bengkelnya boleh mendapatkan pinjaman sehingga RM5 juta dengan syarat beliau mengikut syarat ditetapkan mereka.

Bayar deposit RM5,000

Katanya, syarikat itu menetapkan pembayaran deposit RM5,000 terlebih dulu serta membawa kira-kira lima projek bernilai puluhan ribu ringgit setiap satu bagi membolehkannya mendapatkan pinjaman berkenaan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, saya setuju membayar deposit dalam bentuk cek selepas pegawai syarikat itu memberi jaminan wang saya akan dikembalikan jika tidak menggunakan wang skim berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini, semalam.

Ragu berkata, dia menerima surat tawaran skim berkenaan daripada syarikat terbabit pada 13 Disember 2011 tetapi tidak menerima sebarang wang pembiayaan seperti dijanjikan hingga kini.

Beri pelbagai alasan
“Saya pergi ke syarikat itu untuk mendapatkan penjelasan tetapi pelbagai alasan diberikan oleh pegawai terbabit untuk tidak memberikan kemudahan skim itu, manakala wang saya pula tidak dikembalikan,” katanya.

Katanya, selepas lebih setahun tidak mendapat maklum balas mengenai perkara itu, dia yang berasa tertipu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam pada 29 Mei lalu.

Beliau berharap polis menyiasat status sebenar syarikat itu serta kesahihan skim pembiayaan yang ditawarkan syarikat itu.

No comments:

Post a Comment