Friday 7 June 2013

SUSUR KELUAR JAMBATAN KEDUA RUNTUH







GEORGE TOWN : Penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini runtuh pada kira-kira 7.15 malam Khamis.

Jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berkata runtuhan itu bagaimanapun tidak melibatkan struktur pembinaan utama jambatan.

Beliau berkata runtuhan cuma berlaku di bahagian tanjakan konkrit dan pada besi penyambung Pakej 3A, iaitu penyambung jalan susur keluar dari jambatan ke lebuh raya sebelah pulau.

Projek itu, katanya, diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd dan syarikat berkenaan memiliki rekod baik dalam kerja pembinaan jambatan sebelum kejadian.

"Runtuhan berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung. Punca runtuhan masih disiasat dan JKSB akan memberi kenyataan rasmi berhubung kejadian itu esok," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata operasi menyelamat sedang dijalankan, dan pihaknya menerima maklumat terdapat kenderaan persendirian yang dihempap runtuhan palang besi itu.

Beliau berkata sejumlah 65 anggota bomba dari Balai Bayan Baru, Balai Jalan Perak dan Balai Balik Pulau dikejar ke tempat kejadian bagi memastikan terdapat mangsa yang terperangkap atau sebaliknya.

"Setakat ini, kita menggunakan tiga kren pihak syarikat pembinaan untuk membantu mengalihkan runtuhan konkrit dan besi itu," katanya.

Sementara itu, seorang saksi Zilali Mohamad, 30, berkata beliau melihat sebuah motosikal dan kereta Proton Waja melalui jalan berkenaan sebelum terdengar bunyi gegaran dan tanjakan terbabit jatuh menghempap kedua-dua kenderaan.

"Saya tak pasti sama ada orang terselamat atau tidak, dan kejadian berlaku secara tiba-tiba," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment