Saturday 13 July 2013

BAZAR RAMADAN DAPAT SAMBUTAN AMAT MENGGALAKKAN




OLEH: SHAIMON S JUMADI

BULAN Ramadhan Al-Mubarak  bukan saja untuk Umat Islam mengerjakan  ibadah puasa sebulan untuk menghindari segala perbuatan mungkar  bahkan bulan Ramadhan juga merupakan bulan rezeki kepada para peniaga khususnya buat para penjaja sepanjang 30 hari.


                                                    bazaar Ramadan dapat sambutan  yang amat menggalakan saban hari 


Wujudnya Bazar Ramadhan pada saban tahun yang diusahakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) selama sebulan ia menjurus kepada memberi ruang dan peluang kepada para  masyarakat yang menceburi dalam dunia perniagaan terutama sekali mereka yang menjual pelbagai jenis juadah makanan bukan saja kepada orang yang berpuasa bahkan kepada para pelancong luar sempat menikmati makanan masakan Malaysia.

Salah seorang peniaga yang  menjual makanan ala Jawa seperti Gado-Gado, Bakso dan Pecel yang sempat diwawancara   yang dikenali  Ahmad Mustafa  menyatakan tindakan dan usaha murni yang dikendalikan oleh pihak kerajaan khususnya MPS mewujudkan Bazar Ramadhan tersebut pada setiap tahun. Tambahnya lagi, ia merupakan langkah yang baik dan harus disokong oleh segenap masyarakat setempat di daerah ini.

“Kerana kewujudan Bazar tersebut ia dapat membantu kepada masyarakat yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah untuk mencari rezeki selama sebulan untuk  membantu keluarga bagi membeli barang-barang keperluan khusus untuk menyambut hari lebaran nanti.” Ujarnya.

Katanya sewa yang telah dikenakan oleh pihak MPS  setiap satu lot gerai harganya tidaklah beberapa mahal. Kadar yang dikenakan mengikut tapak antara RM2,000, RM1,200 dan RM200.00 untuk 30 hari  dan pendapatan sehari diperolehi dikatakan agak lumayan.

“Kami sebagai penjaja telah dikenakan beberapa syarat yang agak ketat oleh pihak yang berkenaan terutama sekali untuk memulakan membuka gerai tepat jam 1.00 tengahari  sehingga jam 6.30 petang kebersihan di sekitar lot-lot gerai haruslah sentiasa bersih  selepas saja jualan selesai semua penjaja terbabit diminta membersihkan lot-lot masing sebelum meninggalkan tempat tersebut,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, sambutan daripada masyarakat memang amat menggalakkan kebanyakkannya yang menjadi pelanggan tetap untuk membeli juadah untuk berbuka puasa ialah para kakitangan kerajaan dan juga pekerja pejabat yang mungkin tidak sempat menyediakan juadah dirumah.

Sementara Pegawai Unit Penguatkuasa MPS yang  yang enggan disebut namanya yang  sempat ditemui antara lain menjelaskan sebanyak 223 lot gerai yang diuntukkan  di sekitar Bazar Ramadhan. Kesemua lot ini terbahagi kepada dua kategori  yang kedudukannya  di bahagian barisan hadapan dan  dikenakan cabutan tender sementara lot-lot gerai lainnya dibahagian belakang  disewakan seperti biasa di tahun–tahun lepas.

“Kami harap semua penjaja  di bazar Ramadhan ini agar sentiasa mematuhi arahan-arahan dan syarat-syarat tertentu yang telah dikeluarkan oleh pihak MPS. Begitu juga orang-orang yang berkunjung ke bazaar ini dinasihatkan supaya  jangan membuang sampah dimerata–rata tempat, tetapi buanglah di dalam tong-tong sampah yang telah disediakan itu."  tegasnya.

No comments:

Post a Comment