Friday 12 July 2013

PENYATUAN BANGSA + SEMANGAT PATRIOTISME = PEMBANGUNAN PBBS

 

Oleh : Jaafar Abdul Wahid

Setiap anggota Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) termasuk masyarakat Bisaya  secara keseluruhannya di negeri ini, perlu memiliki semangat patriotisme dalam membangunkan bangsanya melalui persatuan tersebut.

 Presidennya Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, semangat ini perlu diterapkan kerana ianya merupakan eleman penting bagi membangunkan masyarakat Bisaya   sebagai satu tanggungjawab memperkukuhkan perpaduan, menjalin kerjasama serta perkongsian pintar dari sudut pemikiran dan tindakan merencana serta melaksanakan pelbagai program persatuan demi kebaikan ahli dan masyarakat Bisaya secara keseluruhanya.

Sehubungan dengan itu menurut Lajim yang juga Wakil Rakyat kawasan Klias ideologi politik yang berbeza seharusnya tidak menjadi halangan bagi  setiap pemimpin dan ahli persatuan itu untuk duduk semeja mencetuskan idea dan pandangan bagi melonjakkan lagi PBBS ke tahap yang lebih cemerlang dari pencapaian sebelum ini.

'Kita perlu menghindari pandangan politik sempit, walaupun pemimpin serta ahli mempunyai ideologi yang berbeza beza tapi seharusnya ianya tidak menjadi halangan bagi kita bersama membangunkan persatuan', katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden perasmian mesyuarat agung PBBS ke 22 baru-baru ini di Dewan Perpustakaan Daerah Beaufort.

Hadir sama Naib Naib Presiden PBBS Haji Roslan Muharam,Saridah Datuk Seri Panglima Mohd Dun,Haji Asmat Japar dan Setiausaha Agung PBBS Awang Anak Abd.Sani.

Tambahnya walaupun perjuangan persatuan tersebut telah mencapai  kejayaan yang boleh dibanggakan  dalam pelbagai  bidang namun kejayaan tersebut seharusnya tidak terbatas begitu sahaja sebaiknya ianya perlu dipertingkatkan selari dengan cabaran semasa.

'Kita sayang kepada bangsa kita, kekuatan bangsa ita adalah kekuatan diri kita sendiri, jika bangsa kita lemah dan tidak dihormati akan pupuslah keangungan bangsa kita, justeru semangat perpaduan merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara agar tidak ada pihak yang cuba memecah belahkan kesatuan tersebut', tegas Lajim.

Menurutnya perjuangan PBBS perlu menyusur zaman dalam melahirkan bangsa yang matang dalam bidang politik,pendidikan, agama dan ekonomi  agar selari dengan kemajuan bangsa bangsa lain.
Beberapa resolosi turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut antaranya perwakilan telah mengambil ketetapan serta persetujuan bersama dimana  Jawatan Presiden PBBS tidak akan dipertandingan dalam mesyuarat agung persatuan itu penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment