Saturday 13 July 2013

POLIS SIASAT KES LELAKI TERKENA TEMBAKAN DI MUKA




 Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes seorang lelaki tempatan yang cedera di bahagian muka akibat terkena tembakan dipercayai dilakukan oleh tiga rakannya di Kampung Sungai Palawon Penangah, Isnin lepas.

Sebelum kejadian pada 6 Julai lepas itu, mangsa berumur 33 tahun bersama tiga lagi rakannya telah pergi ke Kampung Sungai Palawon, Penangah di Tongod menaiki kereta kepunyaan salah seorang rakan mangsa dengan tujuan membuka kawasan tanah pertanian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Jupiry telah terkena tembakan di bahagian muka dipercayai dilakukan oleh tiga rakannya itu.
Mangsa telah dibawa balik ke rumahnya di Kampung Sook sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Keningau untuk rawatan lanjut.

Pihak polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu telah menahan ketiga-tiga rakan mangsa untuk siasatan lanjut.

Doktor yang merawat mangsa mendapati ada peluru dalam otak mangsa dan mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Polis jalankan siasatan kes mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata. (THEBORNEOPOST)

No comments:

Post a Comment