Monday 12 August 2013

200 RUMAH TERBAKAR, 1,000 PENDUDUK TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG



SEDIH...Samsudin dalam keadaan sedih mengenai tragedi kebakaran yang menimpa para penduduk berkenaan sambil diperhatikan oleh Linda Tsen yang turut berada di lokasi

Oleh: Shaimon S Jumadi

Kira-kira 1,000 keluarga yang membabitkan 200 buah rumah tinggal sehelai sepinggang kerana terlibat dalam tragedi kebakaran besar di Kampung Cendera Batu Sapi, Sandakan dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian tersebut seorang wanita warga emas rentung kerana tidak dapat diselamatkan di sebabkan keadaan api terlalu cepat dan menjilat satu persatu rumah berdekatan.
Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu, berkata mangsa dikenali sebagai Isnah Kuayah, 73 dan seorang lelaki turut terkena renjatan elektrik dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, seorang anggota Bomba mengalami kecederaan selepas tergelincir ketika membuat operasi memadamkan api dan sedang diberi rawatan di hospital itu.

Ordine berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.18 tengah hari dan menghantar 15 anggota bersama tujuh jentera ke lokasi kejadian serta dibantu 15 anggota bomba sukarela dari Karamunting selain anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Beliau berkata ketika bomba sampai, kebakaran sudah merebak dan hanya dapat dikawal kira-kira 30 minit selepas itu.

Katanya mayat mangsa ditemui di bawah rangka rumah yang terbakar, manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya yang dimaklumkan mengenai insiden tersebut bergegas pergi untuk menemui mangsa-mangsa terbabit di kampong berkenaan.

Sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi Linda dan ADUN Sekong Samsudin yang diberi mandat oleh rakyat mereka berdua akan membantu kepada mangsa terbabit melalui peruntukan masing-masing dan selebihnya masalah ini dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).


“Kami amat simpati dengan tragedi ini terutama sekali mereka yang bakal menyambut hari lebaran yang penuh dengan kegembiraan tiba-tiba diganti pula dengan kesedihan dan semuanya ini ada hekmahnya dan diharap bersbar sambil mengucapkan takziah kepada keluara yang ditimpa musibah tersebut” kata Samsudin turut sedih.

No comments:

Post a Comment