Friday 16 August 2013

GHULABDIN AKAN TERUS AKTIF DALAM PERKHIDMATAN MASYARAKAT



Oleh : Krew Sabahkini.net


KENANGAN......Gambar menunjukkan Haji Ghulabdin Enjih (Tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama para tetamu termasuklah Mantan Ahli Parlimen Tuaran;Datuk Monggoh Orow (duduk kedua dari kiri).



Seorang Pemimpin Politik;Haji Ghulabdin Enjih menyatakan kesediaannya bergiat terus dalam kegiatan kemasyarakatan sebagai meneruskan perkhidmatanya kepada rakyat memandangkan beliau masih lagi aktif dalam pelbagai Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) meskipun dalam percubaan pertamanya kalinya sebagai Calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lalu beliau tewas di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.


Haji Ghulabdin yang merasakan dirinya lebih dekat kepada rakyat selepas Pilihan Raya lalu,berkata beliau akan terus memberikan sumbangan perkhidmatan serta sedayaupaya memainkan peranan untuk mengetengakan permasalahan semua lapisan rakyat pelbagai kaum khususnya masyarakat di luarbandar.



"Memandangkan saya telah sekian lama terlibat dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan,tidak penting samaada saya memegang jawatan dalam kerajaan ataupun sebagai pemimpin pembangkang,saya akan terus aktif dari segi pengelibatan dalam persatuan dan menyuarakan pelbagai keperluan yang diharapkan oleh masyarakat khususnya generasi muda.


"Seperti yang diketahui saya masih menjadi pengerusi dan pemimpin dalam pelbagai persatuan dan badan sukarela,jadi saya akan terus memberikan sumbangan dan memaminkan peranan untuk persatuan dan masyarakat",katanya yang telah terlibat dalam kegiatan sukarela sejak 30 tahun yang lalu.


Haji Ghulabdin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Serbaguna Berhad (KOSAN) berkata demikian ketika ditemui mengadakan kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke kediaman saudara mara dan rakan seperjuangan di Sekitar Kawasan DUN Sulaman di sini.


Antara yang dikunjungi beliau ialah kediaman Pemimpin Pergerakan Generasi Muda di Kampung Shabandar Tuaran,Ramli Hasrih  dan Ibu Ramli seorang Pesakit Kulit;Puan Emah Ahmad yang tinggal di Kampung Bolong Baru,Tuaran.


Haji Ghulabdin yang telah berkecimpung sejak 30 tahun lalu dalam politik telah dipilih disaat akhir sebagai Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Sulaman dalam Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.


Sambil berterima kasih kepada semua pihak terutama semua pengundi di Kawasan DUN Sulaman yang telah memberikan undi kepadanya ,Haji Ghulabdin berkata secara jujur beliau menghargai penghormatan yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan PKR yang memilih beliau sebagai calon mewakili parti itu meskipun terlalu baharu menyertainya pada ketika menjelangnya pilihan raya lepas.


"Namun keputusan rakyat harus dihormati dan saya percaya yang menang pada kli ini akan terus menikmatinya dan yang tewas seperti saya tidak selamanya menerima nasib itu,tetapi semua ketentuan dipundak Allah SWT dan saya percaya akhirnya rakyat akan memilih satu perubahan pada masa kan datang"kata Haji Ghulabdin yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRK St John Tuaran.


"Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini,saya akan meneruskan ziarah dengan mengambil tahu pelbagai pandangan daripada teman-teman seperjuangan serta rakyat pelbagai kaum di Sulaman dan jika rakyat pelbagai  masih memerlukan perkhidmatan sewajarnya,maka saya berusaha untuk melakukan yang terbaik demi membantu  memanjangkan permasalahan mereka kepada kerajaan," tegas Haji Ghulabdin yang tidak menyatakan keinginan untuk bersara dari politik.

No comments:

Post a Comment