Thursday 29 August 2013

IRWAN FAHMI HARUS DISINGKIR DARI PERKARA-JEFFRY ROSMAN



Oleh: Shaimon S Jumadi




PRESIDEN Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah (PPRS) Datuk Mohd Jeffry Rosman menyelar atas tindakan  Ketua Wira PERKASA Irwan Fahmi Ideris yang mengeluarkan kenyataan dan mendesak Perdana Menteri Malaysia Dato  Seri Mohd Hj Najib Tun Hj Abdul Razak supaya meletak jawatan kerana  ia bukan saja disifatkan sebagai  seorang yang kurang ajar tetapi terlalu biadap.


Apa jawatan dan siapa dia berani mendesak Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan? Dia baru sahaja memegang jawatan sebagai Ketua Wira PERKASA sudah berlagak temberang malah pandai-pandai pula menyuruh Najib meletakkan jawatan.

Datuk Jeffry berkata demikian kepada Ketua Biro/Wartawan Kanan Sabahkini.Net  pagi tadi ketika diminta mengulas satu kenyataan Timbalan Presiden PERKASA  Datuk Abd Rahman Abu Bakan yang tersiar di The Malaysian Insider bertajuk ‘PERKASA  PANGGIL KETUA PEMUDA KERANA DESAK NAJIB LETAK JAWATAN'


“Saya amat menyokong terhadap kenyataan Datuk Abd Rahman itu yang akan memecat Irwan daripada jawatan yang disandangnya itu kerana dengan tindakannya yang kurang ajar dan biadap itu ia boleh mencetuskan kemarahan bukan saja  di kalangan ahli-ahli PERKASA sendiri  bahkan kepada rakyat jelata di seluruh pelusuk negara,” ujarnya.



Tambah Jeffry lagi,  sebagai badan NGO sepatutnya tidak memihak mana-mana dan harus memberikan tumpuan sepenuhnya  terhadap perjuangan PERKASA dan bukannya mencampur adukan dengan politik sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan yang tidak boleh diterima akal dan kebudak-budakan tanpa memikirkan implikasinya.


“Saya cadangkan jangan berlengah-lengah lagi, pihak  Barisan pimpinan  PERKASA harus mengambil tindakan  drastik terhadap    peri laku  Irwan itu kerana perbuatannya telah melanggar tatatertib   dan etika dasar prinsip perjuangan asal PERKASA. Perkara ini jangan dibiarkan, orang sebegini  perlu disingkir dan dihalau dari menjadi ahli PERKASA kerana tindak tanduknya  seperti gunting dalam lipatan dan duri dalam daging," tegasnya.

No comments:

Post a Comment