Friday 16 August 2013

'MUSTAPHA BERTANGGUNGJAWAB UBAH DEMOGRAFI SABAH'



by : Nigel


     
RCI SABAH Bekas Ketua Menteri Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun adalah seorang orang yang memulakan idea mengubah demografi pengundi Sabah dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang diterajui PBS, demikian suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang diberitahu hari ini.




Mat Swadi Awi memberi keterangan di Kompleks Mahkamah Kota
Kinabalu petang ini bahawa Mustapha (kiri) telah menugaskannya untuk mengagihkan pengundi baru di kawasan di mana Usno lemah bagi mengukuhkan parti itu.


"Tugas saya ialah untuk meningkatkan bilangan undi orang Islam di kawasan-kawasan di mana Usno lemah.


"Tidak semua mereka adalah pendatang, ada pengundi tentera, polis atau guru-guru dari Semenanjung Malaysia," kata Swadi yang ketika itu bekerja di Bank Pembangunan Malaysia Berhad di Sabah.


Usno memerintah Sabah dari tahun 1967 sehingga 1975 sebelum disingkirkan oleh parti serpihannya, Berjaya, yang berkuasa sehingga tahun 1985.


Bagaimanapun, PBS, yang dilihat sebagai sebuah parti bukan majoriti Islam, memerintah pada tahun 1985, yang mengecewakan kedua-dua Berjaya dan Usno.


"Mustapha mengadu bahawa Berjaya dan Usno telah berpecah (di kalangan pengundi Islam), jadi bagi meningkatkan undi untuk Usno adalah dengan 'menasionalisasikan' pendatang," kata Swadi.


Swadi berkata pada tahun 1987, Mustapha memberitahunya rancangannya itu dan telah memaklumkannya kepada menteri dalam negeri ketika itu, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub (kiri), yang kemudiannya mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.


Bagaimanapun, Swadi mengakui bahawa ini hanyalah berdasarkan kepada apa yang dikatakan oleh Mustapha dan dia tidak mempunyai bukti bahawa Megat Junid sebenarnya telah mendapat kelulusan daripada Mahathir.


Sepanjang operasi sehingga 1990, Swadi berkata, beliau sentiasa berhubungan dengan Mustapha dan Megat Junid.


Swadi menjelaskan bahawa beliau berpangkalan di sebuah hotel di Kuala Lumpur di mana beliau menerima kira-kira 20,000 salinan kad pengenalan biru.


"Saya memasukkan maklumat ini ke dalam pangkalan data dan dianalisis di mana kawasan mereka hendak diagihkan.


"Selepas itu, saya akan menyerahkan maklumat ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)(untuk mereka didaftar sebagai pengundi di kawasan pilihan raya berkenaan)," katanya.


Ditanya oleh pegawai pengendali, Jamil Aripin sama ada dia mempunyai bukti bahawa kad pengenalan biru sememangnya pendatang haram, Swadi menegaskan dia boleh mengenali mereka melalui nombor kad pengenalan berkenaan.


Bagaimanapun, Swadi berkata, beliau menarik diri daripada projek tersebut apabila dia mendapati ia telah meningkat kepada mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada orang yang berbeza.


"Satu hari, saya dipanggil oleh Setiuasaha SPR ketika itu, Datuk Abdul Rashid (Abdul Rahman), beliau menunjukkan kepada saya satu nombor kad pengenalan (pada komputer) dan apabila dia mengkliknya, terdapat 20 nama yang keluar.



"Dia klik yang lain dan terdapat 10 nama ... dia meminta saya menjelaskan yang mana satu yang tulen," katanya.


Menurut Swadi, beliau terkejut dan tidak dapat menjawab dan berkata, "jika ini yang berlaku, saya akan menghentikannya".


Swadi kemudian memaklumkan kepada Mustapha bahawa beliau tidak mahu terbabit dengan projek itu pada tahun 1990.


Swadi sebelumnya mendakwa dirinya sebagai orang yang di belakang 'Projek IC'.


Bagaimanapun, Jamil memperbetulkan Swadi, dengan berkata Projek IC khusus merujuk kepada pemberian kad pengenalan biru secara haram kepada warga asing.

Swadi kemudian bersetuju bahawa beliau tidak terlibat dalam pemberian kad pengenalan biru tetapi hanya mengagihkan pengundi baru ke kawasan terpilih untuk Usno.


Usno kemudian bergabung dengan Berjaya pada tahun 1990 untuk membentuk Umno Sabah, sebelum merampas kuasa daripada PBS yang telah lemah pada tahun 1994 akibat lompat parti. (Malaysiakini)



No comments:

Post a Comment