Thursday 1 August 2013

PERKAUMAN: SIAPA MUSUH KITA?

oleh : MOHD IZZUDDIN RAMLI  



17 MEI — “Perkauman adalah sangat semalam”. Antara ungkapan popular dilaungkan di banyak negara yang masyarakatnya telah melihat isu perkauman sebagai suatu perkara yang sudah ketinggalan. Di Amerika misalnya, tidak ada lagi kisah perhambaan antara orang kulit putih dengan orang kulit hitam, sejarah persengketaan antara puak Yahudi dan kaum Aryan di German suatu ketika dahulu juga kini hanya boleh dikesan melalui rakaman-rakaman sejarah sahaja.

Malah tidak sedikit penyanyi-penyanyi di dunia terus menerus mengalunkan pelbagai lagu yang membawa pesan-pesan anti-perkauman. John Lennon penyanyi berasal dari Amerika suatu ketika dahulu popular dengan lagunya “Imagine”, Michael Jackson dengan lagu “Black and White”, U2 kumpulan rock terkenal dari Ireland menyayikan lagu “Pride”, Johnny Cash penyanyi folk Amerika dengan lagu “White Girl” dan Billy Bragg dengan “All You Fascist”.

Tidak terlepas Bob Dylan ketika menghempaskan kemarahannya terhadap Ku Klux Klan (KKK), sebuah pertubuhan perkauman melampau di Amerika turut memanifestasikannya melalui lagu yang berjudul “The Death of Emmett Till”. Masyarakat di setiap belahan dunia secara umum semakin mengakui bahawa perlawanan manusia lewat perbezaan warna kulit ternyata sudah tidak relevan.

Disaat masyarakat dunia sudah mulai menanggalkan kaca mata perkauman sebagai satu-satunya cara untuk melihat dinamika kehidupan manusia, malang sekali bagi sesetengah daripada kita di negara ini masih lagi terperangkap dan bahkan sengaja menggunakan kerangka pandang sebegini.
Dalam banyak hal, baik dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial, tentang apa yang kita makan, dengan siapa kita berjual-beli atau dengan siapa kita berteman dan bersiar-siar masih sahaja dibatasi dengan jaring-jaring perkauman. Apalagi keadaan dilihat semakin membarah setelah berakhirnya musim pilihanraya. Kenyataan-kenyataan dan ucapan-ucapan yang berbaur perkauman, analisis-analisis yang seakan-akan tidak boleh menemui jawapan jika tidak diukur melalui kerangka kaum terus menerus berlangsung — baik dari ahli politik mahupun orang perorangan. Api-api perkauman kini masih lagi menyala dan terus diperbesar.

Pembinaan negara bangsa bagi kita sepertinya masih perlu melalui sebuah jalan yang masih panjang. Kegagalan kita untuk menemukan satu identiti, nasib, bahasa, semangat dan sejarah yang dikongsi bersama sebagai satu bangsa dipersulit lagi dengan cabaran-cabaran yang timbul saat ini. Kepentingan-kepentingan politik yang mengatasnamakan perkauman tidak lagi berlaku secara sembunyi.

Identifikasi diri kita ketika tidak pantas lagi sebagai bangsa Malaysia, tetapi masih lagi dengan pecahan-pecahan kaum — masa depan Melayu, ekonomi Cina, pendidikan India, periuk nasi lain-lain. Ternyata perkauman adalah “belum lagi semalam” buat sesetengah daripada kita. Lalu apa yang harus kita lakukan untuk menghadapi keadaan ini?

Belajar Dari Jiran Tetangga

Jika Amerika dan negara-negara barat lain terlalu jauh buat kita, maka mari menjenguk tetangga kita Indonesia yang mungkin ada beberapa perkara bermanfaat boleh kita pelajari. Indonesia, sebuah negara terbesar dalam rantau Asia Tenggara. Dengan memiliki jumlah penduduk yang ramai sekitar 240 juta orang, Indonesia juga merangkumi lebih daripada 300 suku kaum.
Antaranya suku Jawa, Cina, Melayu, Madura, Sunda, Batak, Minang, Betawi, Bugis, Banjar dan lain-lain. Terdapat juga suku-suku kecil yang melengkapi sekian banyak suku di negara ini iaitu suku asli atau suku pribumi. Kerencaman suku kaum yang ada ini turut menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara yang mengandung pelbagai jenis identiti sendiri yang sangat unik. Disebalik perbezaan ciri budaya masyarakat yang dirai dan dipelihara ini, tetap sahaja terdapat persamaan identiti yang dikongsi bersama sebagai medium untuk memupuk rasa kekitaan sebagaimana yang terangkum dalam Sumpah Pemuda, “satu nusa, satu bangsa, satu bahasa Indonesia”.

Kejayaan pelbagai etnik di Indonesia untuk berdiri sebagai sebuah bangsa dibawah bendera “Merah Putih” turut dipersatukan melalui perkongsian alur sejarah yang sama. Seperti banyak negara sedang membangun yang lain, Indonesia juga pernah merasai pengalaman dijajah. Belanda memanfaatkan perpecahan yang berlaku keatas kerajaan-kerajaan kecil suatu ketika dahulu dan akhirnya menjadi penguasa di wilayah yang kini merupakan Indonesia selama lebih kurang 350 tahun.

Selama tempoh penjajahan inilah rakyat dari semua kaum hidup dalam penindasan sehingga kemudian bersatu membentuk gerakan pembebasan — gerakan nasionalisme. Penjajahan selama ratusan tahun  mengesankan rakyat Indonesia betapa duduk bersama dibawah satu payung bangsa satu-satunya cara untuk merdeka. Ini dilakukan dengan menyatukan kerajaan-kerajaan kecil nusantara untuk membentuk negara Indonesia.

Proses penyatuan rakyat Indonesia juga berlaku melalui dasar-dasar yang diciptakan oleh pemerintah. Negara Indonesia ketika zaman Orde Lama telah menganut sistem politik multi-parti yang membuka peluang kepada lahirnya bermacam-macam jenis parti politik dengan pelbagai jenis ideologi. Kewujudan ideologi parti yang sangat beragam ini akhirnya mewujudkan potensi disintegrasi antara rakyat kerana pada ketika itu mereka telah mulai mengidentifikasikan diri melalui parti-parti yang berbeza.

Maka presiden Indonesia ketika itu, Soekarno menciptakan “musuh” bersama yang terkenal dengan jargonnya “Go to hell Amerika, Ganyang Malaysia”. Berlakulah ketika itu konfrontasi antara Indonesia dengan Malaysia. Ini dilakukan hanyalah untuk mengalihkan perhatian terhadap masalah dalaman Indonesia. Tujuannya sebenarnya bukan semata-mata untuk menciptakan musuh nyata, tapi sekadar menciptakan solidariti internal dalam kalangan rakyat Indonesia yang pada awalnya terpecah. Terpecah awalnya mengikut garis kaum dan kemudian diperparah melalui identifikasi rakyat kepada ideologi-ideologi parti.

Satu perkara lain yang menarik dengan idea pembentukan sebuah bangsa Indonesia ialah berkait dengan sistem pendidikan yang dipraktikkannya sekian lama. Sistem pendidikan di Indonesia tidak mengamalkan pembahagian sistem persekolahan mengikut kaum. Oleh yang demikian, saat ini kita tidak akan menemui sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, sekolah Jawa, sekolah Madura dan sebagainya. Yang ada hanyalah Sekolah Dasar (SD), Sekolah Menengah Pertama (SMP) dan Sekolah Menengah Atas (SMA) yang berfungsi mengikut lunas-lunas pembentukan bangsa Indonesia.

Setiap suku kaum juga mendapat hak pendidikan secara adil. Pembahagian jenis sekolah jika ada sekalipun hanya mengambil bentuk pembahagian mengikut agama — Katolik, Islam dan lain-lain. Sekalipun pembahagian berlaku mengikut garis agama, tidak bermakna yang Islam tidak boleh ke sekolah Katolik. Tetap sahaja ada percampuran yang terlepas dari batas agama.

Sistem pendidikan sebegini juga tidak bermakna masyarakat dari pelbagai kaum terpaksa menghilangkan atau melupakan sejarah, asal-usul keturunan mereka. Malah, pengetahuan dan pemahaman tentang sejarah hidup masih kuat dipelajari dan diperolehi melalui keluarga dengan kaedah penurunan cerita-cerita. Pada peringkat komuniti pula, terdapat juga usaha-usaha yang dijalankan untuk memelihara sejarah dan warisan nenek moyang. Kaedah pembelajaran untuk mengenal diri sendiri seperti ini dilakukan secara tidak formal oleh anggota masyarakat.

Permainan “Barongsai” atau tarian naga misalnya, tidak hanya dipraktikkan oleh masyarakat Cina sahaja, tetapi turut dipelajari oleh kaum lain secara harmoni. Walaupun begitu, orang tetap memahami bahawa ia sebenarnya berasal usul daripada kaum Cina. Sesuatu yang lebih menarik lagi ialah, perbedaan dan kepelbagaian budaya dan adat yang ada ini secara tidak langsung menjadi suatu alat untuk memperkaya dan mewarnai budaya Indonesia.

Mencari “Musuh Bersama”

Pengalaman sejarah yang dilalui oleh kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia tidaklah mempunyai perbezaan yang besar. Negara ini juga pernah melalui zaman dijajah, adanya gerakan-gerakan nasionalisme yang bereaksi atas penjajahan dan sebagainya. Malah Malaysia juga turut dikatakan sebagai negara yang multi-etnik yang telah wujud bersama sekian lama.

Keberadaan kaum yang bermacam-macam ini seharusnya dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Bersatunya semua kaum atas satu konsep bangsa tanpa melunturkan nilai budaya khusus yang dimiliki akan menghasilkan keupayaan yang lebih besar bagi perkembangan negara. Untuk mencapai matlamat ini, proses pembauran atau asimilasi yang lebih konkrit juga perlu dalam aspek kehidupan. Perkongsian antara kaum tidak hanya berdasarkan kepentingan sesaat, akan tetapi lebih kepada rasa sebangsa, bangsa Malaysia.

Lalu mengapa kita masih berada pada takuk ini? Ini yang menarik kita untuk memperkirakan bahawa strategi politik juga penting untuk memintas permasalahan ini. Strategi politik yang direncana pertama-tamanya harus dahulu difahami sebagai salah satu jalan yang digunakan untuk membangunkan negara dan bangsa untuk menjadi lebih berjaya. Baik pada peringkat individu mahupun parti politik, strategi-strategi politik yang cenderung mampu menggagalkan cita-cita ini harus ditentang pada tempat pertama. Oleh hal yang demikian, penting untuk kita mengenalpasti bahawa langkah-langkah politik yang digunakan seperti membakar api perkauman, rasuah, penipuan dan penyelewengan pilihanraya, penyalahgunaan harta rakyat harus ditentang habis-habisan.

Jika Indonesia dahulunya ada penjajah Belanda sebagai “musuh nyata” yang menjadi faktor pemersatu bangsa, Malaysia juga tidak kurangnya ada kisah penjajahan British yang turut menjadikan kita bersatu untuk menentang. Namun demikian, agak terlalu ketinggalan kalau menjadikan penjajah satu-satunya musuh yang berpotensi untuk menarik kita kembali bersatu.

Maka, sesuai dengan konteks politik hari ini, perlunya kita mencari “musuh-musuh nyata” dan “musuh-musuh bersama” yang sekali lagi boleh menarik kita untuk bersatu antara kaum – baik Melayu, Cina, India mahupun lain-lain kaum. Strategi politik kotor yang dibawa oleh parti politik sebagaimana yang dinyatakan sebelumnya boleh menjadi “musuh bersama” kita. Perangi politik perkauman, perangi rasuah, perangi penipuan pilihanraya dan perangi segala politik kotor. Jika ini mampu dilakukan, maka tidak akan ada tsunami Cina, tsunami Melayu atau tsunami India, tapi tsunami rakyat Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. (Penulis merupakan Pelajar Master dari USM Pulau Pinang)

No comments:

Post a Comment