Thursday 1 August 2013

PUTERI UMNO M'SIA MAHU TINDAKAN TERHADAP PEMBUAT VIDEO '1 HARI DI HARI RAYA'





Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengecam tindakan individu yang menghasilkan video '1 Hari Di Hari Raya' yang kemudiannya dimuat naik ke laman Youtube, dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam negara ini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata lebih menyedihkan lagi pembuat video itu merupakan seorang yang beragama Islam.



Beliau berkata Puteri UMNO berpendapat individu berkenaan bukan sahaja perlu dikenakan tindakan undang-undang disebabkan penghasilan video dengan niat melakukan provokasi terhadap umat Islam di Malaysia tetapi juga perlu diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Malaysia.

"Ini kerana tindakan beliau memperlihatkan beliau mempunyai masalah dengan pegangan akidah sebagai umat Islam atau mungkin kurang pemahaman mengenai hukum.

"Kita mungkin boleh menjatuhi hukuman denda, penjara atau lain-lain hukuman, kita juga mungkin boleh mengecam beliau, memarahi beliau atas apa yang telah beliau lakukan.

"Tetapi perkara yang lebih penting adalah usaha kita untuk membantu beliau memperbetulkan pegangan akidah agar perkara ini tidak menular ke dalam masyarakat," kata Rosnah.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata anggota Puteri UMNO tidak mahu individu itu dikenakan tindakan undang-undang semata-mata "kemudian apabila selesai menjalani hukuman beliau mengulangi perbuatan sama".

Maznah Yusoff, 38, yang juga dikenali sebagai Chetz ditahan di cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Rabu, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Chetz dipercayai memuat naik video Hari Raya bersama tiga ekor anjing di YouTube, tiga tahun lepas.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Video itu juga menunjukkan individu itu yang memakai baju hitam mengambil wuduk sebelum menghidangkan kuih raya kepada anjingnya dan menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)".

Di NIBONG TEBAL, Pulau Pinang, Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO bahagian itu dan Angkatan Belia Masjid Sungai Bakap membuat laporan polis berhubung video yang sama.

Wakil kumpulan berkenaan yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian, Mohd Nor Hiesam Ismail berkata perbuatan wanita itu jelas menunjukkan tindakan biadap, kurang ajar dan tidak sensitif terhadap umat Islam terutama di bulan Ramadan ini.

Beliau berkata perbuatan yang dipaparkan dalam video itu jika tidak dibendung boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan agama.

"Kami bimbang jika isu seperti (yang dipaparkan) itu terus diperbesarkan umat Islam akan bangkit memberontak dan ini berbahaya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal.

Mohd Nor Hiesam berkata pihaknya berharap kerajaan tidak berkompromi dengan mereka yang jelas mempersenda agama Islam kerana ia menimbulkan kesan buruk terhadap masyarakat.

"Saya harap perbuatan itu ditangani supaya perbalahan tidak berlaku dalam masyarakat terutama oleh orang Islam," katanya. (BERNAMA)

1 comment:

  1. Kenakan juga tindakan yg swajarnya thadap admin FB pages 'Semenanjung Malaysia anti Sabah & Sarawak'...

    ReplyDelete