Saturday 17 August 2013

SALAH ERTI TERHADAP FATWA MAMPU PICU EKSTREMISME AGAMA



Oleh : Mohd Izzuddin Ramli

                               gambar hiasan.....

Salah satu perkara yang mendasar diajarkan oleh mana-mana agama di dunia ini ialah ia sangat menganjurkan kasih sayang antara sesama manusia - baik Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya. Dalam agama Buddha misalnya, ia sangat membungai kedamaian bagi seluruh umat manusia. Sedangkan Islam, menjadi agama yang memberi rahmat dalam seluruh aspek kehidupan. Kasih sayang, kedamaian, rahmat ini pula diikat dengan sifat toleransi yang turut diajarkan supaya keberadaan manusia sentiasa sejahtera.


Toleransi dalam Islam contohnya dapat dilihat melalui ketegasan Islam dalam meletakkan dirinya pada kedudukan yang tidak antagonis dengan hak asasi manusia. Islam sangat mengangkat martabat dan kemuliaan insan tidak mengira bangsa ataupun agama. Syariah Islam sendiri melindungi lima perkara iaitu agama, hidup dan kehidupan makhluk, akal fikiran dan akal budi, kehormatan diri setiap insan, serta harta benda. Dalam soal pentadbiran dan pengurusan umat misalnya, Islam meletakkan setiap manusia sebagai khalifah - pemimpin yang diamanahkan untuk mentadbir dunia.


Tidak dapat dinafikan bahawa Islam memandu kehidupan manusia dalam semua aspek. Dalam merungkai sebarang permasalahan dan menguruskan pendapat misalnya, Islam turut menyediakan aturan yang amat jelas menghormati kedudukan manusia sebagai khalifah. Sebarang percangahan pendapat, Islam menyediakan kaedah seperti musyawarah dan syura yang umumnya mengandung elemen demokrasi sebagaimana dipraktikkan hari ini.


Dalam menjatuhkan hukuman atau melaksanakan undang-undang ke atas manusia, ada prosedur yang juga tidak terlepas daripada mendepankan kemuliaan manusia. Bermula dari pembuktian terhadap seseorang yang didakwa bersalah, sehinggalah kepada penjatuhan hukuman, Islam menitikberatkan keadilan dan penghormatan.


Namun, ketika menyoroti kehidupan umat beragama dalam dunia hari ini kegagalan untuk memahami intipati sebenar agama ini akhirnya menyebabkan wujudnya pelbagai bentuk kepincangan dalam masyarakat. Kesalahan tidaklah terletak dibahu agama, tetapi pada bahu umat Islam itu sendiri - umat yang beragama.


Isu Fatwa-Memfatwa


Dalam persoalan fatwa-memfatwa yang di Malaysia pada hari ini masih lagi menjadi bahan pertikaian misalnya, masih ramai daripada umat Islam yang belum memiliki pemahaman yang baik terhadapnya. Oleh hal yang demikian, perlu adanya pelbagai usaha untuk membawa umat Islam untuk keluar daripada kebuntuan ini.


Fatwa secara etimologinya adalah kata yang berasal daripada bahasa Arab yang secara literalnya membawa maksud "pendapat". Dalam sistem perundangan Islam, ia tidak lebih daripada sebuah pandangan atau nasihat untuk membimbing seseorang muslim dalam menjalani kehidupan menurut Islam. Fatwa pada kebiasaannya dipertanggungjawabkan kepada mufti atau ulama kerana mereka inilah yang dikira berwibawa dalam menjawab persoalan yang berkait dengan agama.


Berbeza dengan pendapat biasa, fatwa bagaimanapun memikul beban yang lebih berat kerana sesuatu fatwa yang dikeluarkan tidak melalui cerapan akal biasa tetapi perlu melalui syarat dan kaedah yang tersendiri. Di dalam Islam, secara umum terdapat empat sumber yang dijadikan rujukan oleh seseorang ulama dalam mengeluarkan fatwa. Pertama adalah melalui sumber al-Quran, kedua adalah daripada sunnah, ketiga kesepakatan daripada ulama dan terakhir ialah ijtihad.


Sebagaimana yang ditegaskan oleh ramai cendekiawan, sesuatu fatwa juga tidak semestinya wajib diikuti orang Islam. Ini kerana, selagi sesuatu fatwa tidak dibawa untuk melalui prosedur perundangan maka ia tidak boleh dikuatkuasa kerana masih berada pada peringkat pendapat sahaja.


Bagaimanapun, masalah timbul apabila kebanyakan daripada kita menganggap bahawa fatwa itu sebagai sebuah jawapan akhir pada sesuatu persoalan dan wajib pula untuk diikuti. Tidak hanya pada fatwa sebenarnya, apa sahaja yang berkaitan dengan agama dan dikeluarkan oleh agamawan baik yang segera atau lebih berautoritatif, boleh sahaja dituruti secara membuta tuli. Maka tidak pelik jika kita katakan bahawa setiap daripada kata-kata yang dikeluarkan oleh Azhar Idrus dalam ceramah popularnya juga dianggap sebagai benar dan tidak boleh lagi dipertikaikan bagi sesetangah orang. Apa yang dilakukan ialah, menerima sahaja tanpa berani berusaha merujuk sumber lain lagi.


Walaupun kata fatwa dapat diterjemahkan kepada "pendapat", namun dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia ia seolah-olah memiliki pengertian yang boleh difahami secara berbeza. Pendapat misalnya dapat difahami sebagai buah fikiran atau perkiraan tentang sesuatu hal dan ia masih boleh didebatkan atau dipertikaikan. Tetapi, berlainan dengan fatwa ia seakan-akan dianggap sebagai sebuah pandangan yang secara automatik menjadi sebuah hukum - apatah lagi sesuatu fatwa itu hanya boleh dikeluarkan oleh ulama mungkin kata fatwa itu berasal daripada bahasa arab, maka ia dianggap memiliki kesucian atau kesakralannya yang tersendiri - jika dilanggar, akan mendapat dosa.


Kekerasan Dalam Membela Agama


Kegagalan memahami erti sebenar fatwa akhirnya akan menyebabkan seseorang boleh bertindak di luar batas undang-undang dan cenderung untuk melahirkan pelampau agama. Hal ini berikutan fatwa pada titik ini sudah dianggap sebagai sebuah kewajipan dan kata-kata mutlak oleh ulama atau mufti.


Pelampau agama secara umum dapat diertikan sebagai individu atau kumpulan yang menganut mana-mana ideologi khususnya agama yang dianggap sebagai terkeluar daripada sikap arus perdana masyarakat atau pun melanggar piawai moral biasa. Pada kebiasaannya akan cenderung untuk memilih jalan kekerasan bagi mencapai sesuatu objektif.


Kekerasan atau sikap yang melampau dalam bertindak tidak payah untuk dibuktikan pada hari ini. Lihat sahaja kes yang berlaku kepada novelis British, Salman Rushdie yang didakwa menghina Islam dalam novelnya, The Satanic Verses turut berhadapan dengan fatwa haram dan ancaman bunuh. Sekalipun hanya sebuah pendapat untuk memeranginya, berlaku kes pembunuhan ke atas penterjemah novelnya ke dalam bahasa Jepun, Hitoshi Igarashi, penterjemah bahasa Turki, Aziz Nesin dan penerbit novelnya di Norway, William Nygaard.


Ancaman bunuh juga tidak sedikit diterima oleh Jerry Falwell, seorang menteri kristian Amerika selepas Mohsen Mojtahed Shabestari mengeluarkan fatwa mengajak supaya Falwell dihukum mati ekoran kenyataan kontrovesinya yang menganggap bahawa Nabi Muhammad sebagai pengganas. Begitu juga dengan Taslima Nasreen seorang penulis berketurunan Banggali turut menerima nasib sama. Fundamentalis Bangladesh mengeluarkan fatwa untuk memeranginya kerana lantang dalam menyuarakan nasib kaum wanita dalam Islam.


Penggulingan rejim dan pembunuhan diktator Libya, Muammar Ghaddafi meskipun diawali oleh pelbagai kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta kegagalannya dalam mentadbir negara sebenarnya turut juga simbah dengan pelbagai fatwa yang menggesa supaya beliau dibunuh. Antaranya fatwa oleh seorang ulama terkemuka, al-Qardawi yang mengeluarkan fatwa menggesa orang ramai untuk membunuh Gaddafi jika mereka mampu berbuat demikian.


Di Indonesia, Ulil Abshar Abdalla, seorang pemikir Islam yang juga berafiliasi rapat dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) turut tidak terlepas daripada menerima tentangan hebat daripada kumpulan agama. Pada tahun 2002, sekumpulan ulama Islam Indonesia yang bernaung dibawah Forum Ulama Umat Islam mengeluarkan fatwa bunuh terhadap beliau berikutan penulisan sebuah artikel bertajuk "Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam" yang diterbitkan di akhbar Kompas. Ekoran daripada itu, Pada tahun 2011 sepucuk yang bersamanya sebuah bom buku yang dialamatkan kepada Ulil di Komunitas Utan Kayu meletup.


Penyerangan yang dilakukan masyarakat Desa Gempolan, Kabupaten Tulungagung, Indonesia Mei lalu terhadap masjid kelompok minoriti Ahmadiah turut sama berpendapat fatwa sesat yang dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI). Hasilnya tidak lebih daripada memberi kepuasan kepada kelompok pelaku yang berjaya melepaskan kemarahan.  Apa yang merugikan ialah berlakunya kerosakan banyak harta benda awam serta merenggang lagi permuafakatan antara masyarakat.


Tidak sedikit juga daripada kes yang pernah berlaku di negara ini dapat dijadikan contoh. Fatwa haram menyokong parti politik seperti DAP dan PAS oleh beberapa ulama dan pertubuhan agama awal tahun ini akhirnya turut melahirkan pelbagai bentuk tindakan ekstrim oleh penyokong yang menelan bulat-bulat fatwa berkenaan. Lihat sahaja sekian banyak tindakan politik yang ekstrim seperti perosakan ke atas harta benda parti, pergaduhan antara fanatik parti dan sebagainya mengambil tempat dalam politik negara ini. Fatwa pengharaman fahaman syiah di Malaysia yang hangat dibicarakan hari ini juga setidak-tidaknya menampakkan bibit kekerasan - bermula dengan penyuaraan pendapat yang keras, dan tidak mustahil membawa kepada tindakan yang bernada sama.


Insiden sebagaimana yang terakam ini akhirnya hanya akan mencemarkan kesucian Islam dan merugikan umat Islam sendiri. Kes kekerasan berlarutan oleh pihak pelampau atas nama agama ini setidak-tidaknya memaksa masyarakat untuk bersikap tidak toleran dengan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya. Sehingga banyak klaim yang menyatakan Islam adalah agama tanpa toleransi, agama kekerasan dan pelbagai klaim negatif lain lagi.


Sikap Pasif Dan Kebergantungan


Masalah ini sebenarnya dapat dikatakan adalah bermuara pada sikap tidak kritikal, suka menerima apa sahaja tanpa berani mempersoal serta sikap umat Melayu-Islam di Malaysia yang ternyata lebih takut kepada tindakan undang-undang oleh kerajaan lebih daripada takut kepada tuhannya sendiri.


Ketika fatwa atau pendapat diteguk tanpa ditapis terlebih dahulu, maka kemampuan berfikir secara logik dan rasional disitu hilang. Kita tidak boleh menjelaskan secara objektif bagaimana menyentuh haiwan seperti anjing itu haram, apa logiknya menyokong DAP haram atau bagaimana mazhab syiah dalam konteks Malaysia itu haram. Lumrah mengambil tindakan semberono tanpa berfikir akhirnya hanya akan melampiaskan subjektiviti diri sendiri sahaja dan tidak akan memberi penyelesaian kepada kemaslahatan masyarakat.


Apa yang menyedihkan, hal ini tidak hanya berlaku kepada umat kebanyakan, malahan turut membelenggu para pemimpin dan juga pemuka-pemuka agama kita. Ulama yang ada kebayakannya turut mempunyai sikap yang sama. Dalam memikirkan nasib kemunduran dunia dan umat Islam khususnya, kebanyakannya akan melompat kepada jawapan mudah iaitu dengan menyalahkan dunia barat, menyalahkan Yahudi, salahkan Cina.


Prof Tariq Ramadhan seorang ahli akademik dan tokoh pembaharuan Islam terkemuka dalam sebuah syarahannya di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu turut mendengungkan hal yang sama. Keresahannya terhadap umat Islam pada hari ini ialah kerana sikap tidak kritikal dan malas sehinggakan hampir semua perkara yang berkait dengan masa depan Islam dilepas dan disandarkan semata-mata kepada orang lain - kepada ulama. Umat Islam jelasnya perlu mengubah cara berfikir bahawa autoriti untuk bercakap tentang Islam tidak lagi perlu diletakkan kepada para ulama sahaja, tetapi juga kepada setiap daripada umat Islam.


Sikap dogmatik, ketaksuban yang melampau haruslah diganti dengan sikap umat yang lebih independen dan menanam kesederhanaan dalam beragama. Dengan cara ini, setidak-tidaknya akan menyucikan kembali nama Islam sekaligus memberikan wajah positif kepadanya - bahawa Islam adalah agama yang cintakan kedamaian dan relevan untuk semua. - prisma.com.my, 16 Ogos, 2013. (The Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment