Sunday 11 January 2015

ADUN GUM-GUM LAWAT MANGSA BANJIR SUNGEI MEMANJANG


OLEH: SHAIMON S JUMADI


Zakaria ketika melawat tempat-tempat yang dilanda banjir kilat di kawasan DUN Gum Gum


GUM-GUM : Pihak berkuasa termasuk Jabatan Saliran dan Perparitan Negeri diminta mengambil tindakan untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa tempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum.


“Kerja-kerja menaik taraf penyelenggaraan sistem saliran dan perparitan perlu dilaksanakan untuk memastikan masalah banjir kilat di beberapa kampung di Gum Gum ini dapat diatasi,” Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata demikian selepas melawat Kampung Sungai Memanjang dan Kampung Jaya Bakti yang dilanda banjir kilat hari Isnin lepas.



Menurut Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, sejak beberapa tahun lepas dua kampung berkenaan dan beberapa lagi kawasan termasuk Kampung Gum Gum sering dilanda banjir kilat selepas hujan turun berterusan.

Justeru itu, Zakaria meminta jabatan-jabatan serta agensi Kerajaan berkenaan agar  mengambil tindakan segera bagi mengatasi permasalahan ini.

Zakaria turut mengarah pegawai-pegawai beliau di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM)  serta ketua-ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Gum Gum sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan bersiap sedia supaya tindakan sewajar boleh diambil apabila berlakunya banjir di kampung mereka.

Beliau menasihati para penduduk berwaspada untuk menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.  

Zakaria juga meminta mereka kerap mendengar laporan kaji cuaca terkini melalui media dan bersedia untuk berpindah jikalau diarah oleh pihak berkuasa apabila berlaku banjir di tempat-tempat mereka.

Beliau bersama PPM Kamal M. Said, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Rosly Aziz dan beberapa lagi kakitangan UPPM, telah melawat Kampung Sungai Memanjang dan Kampung Jaya Bakti yang dilanda banjir kilat Ahad lalu.


Walaupun air banjir sudah mula surut selepas hujan berhenti  turun masih terdapat beberapa tempat  di kedua-dua perkampungan itu termasuk jalan utama ditenggelami air dibawah paras lutut tetapi boleh dilalui kenderaan.

No comments:

Post a Comment