Thursday 8 January 2015

KAWASAN RENDAH MUDAH DILANDA BANJIR, BERWASPADA




OLEH: SAIMON S JUMADI





SANDAKAN:  Penduduk yang menetap di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi kemungkinan banjir.


“Cuaca mendung dan hujan yang turun tidak henti-henti telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di negeri ini. Jika ia berlarutan, kemungkinan banjir akan melanda  kawasan-kawasan yang lain,” Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata kepada media di sini kelmarin.

Maka saya menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berdekatan sungai agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini, tambah Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum.

“Para penduduk harus bersedia dengan apa-apa kemungkinan terutama apabila hujan turun berterusan dan ditambah faktor air pasang kebiasaannya menjurus kepada fenomena banjir.  Mereka perlu ambil perhatian kepada perkara ini dan apa yang terbaik adalah untuk semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga,” kata Zakaria.

Zakaria meminta penduduk kerap mendengar laporan kaji cuaca terkini melalui radio serta akhbar-akhbar dan bersedia untuk berpindah jikalau diarah oleh pihak berkuasa apabila berlaku banjir di tempat-tempat mereka.

Menurut Pusat Kawalan  Operasi Bencana Negeri Sabah  jumlah mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan di tiga daerah dua hari lepas meningkat kepada 910 orang berbanding dengan 615 orang hari Jumaat.

Kawasan-kawasan yang terlibat ialah Kota Belud (810 orang), Kota Marudu (82) dan Pitas (18).

No comments:

Post a Comment