Tuesday 13 January 2015

Mahkamah tentera: Mejar Zaidi salah



Mahkamah tentera hari ini memutuskan Mejar Zaidi Ahmad bersalah terhadap tuduhan memberi kenyataan media tanpa izin Majlis Angkatan Tentera dan menyiarkan kawat tumpangan rasmi tentera.

Ahli-ahli mahkamah bagaimanapun belum memutuskan bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan kerana proses mitigasi hukuman sedang berlangsung.

Pihak pendakwa menerusi Kapten Ross Anuar Aripin memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang berat.

Menurutnya, hukuman itu perlu untuk menjadi pengajaran kepada pihak lain.

"Selain itu, perilaku si pesalah memporak-perandakan diri beliau sendiri.

"Kami memohon agar hukuman bukan sahaja memberi pengajaran kepada pesalah, tetapi juga orang luar terutama anggota angkatan tentera agar tidak melakukan kesalahan ini.

"Kesalahan yang dilakukan pesalah adalah kesalahan yang serius kepada pihak TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia)," hujah Ross Anuar.

Pesara cerita budi baik Zaidi

Zaidi kemudian memanggil seorang saksi, Ahamd Yusof Ishak dalam hujah mitigasinya.

Ahmad Yusof adalah seorang pesara tentera darat yang pernah dibantu Zaidi dalam satu kemalangan sewaktu bertugas sebagai pengaman di Bosnia.

Menurut Yusof, pada 2 Mei 1995 beliau terlibat dalam kemalangan sehingga trak yang dipandunya terbalik.

Zaidi yang pada waktu itu baru selesai berkursus di Itali berada dalam konvoi yang sama dan mengusahakan agar beliau diangkut ke hospital dengan menggunakan helikopter PBB.

Tanpa bantuan Zaidi, beliau terpaksa menaiki ambulans selama 6 jam untuk ke hospital.

Menurutnya lagi, beliau yang kurang fasih berbahasa Inggeris turut dibantu Zaidi yang bercakap bagi pihaknya.

Dengan bantuan Zaidi, tangan kiri beliau tidak perlu dipotong sebaliknya, urat tangan kiri beliau diganti dengan urat dari pahanya.

"Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada Mejar Zaidi atas kecekapan dan inisiatif beliau dalam mengendalikan perkara tersebut.

"Saya merasa amat terhutang budi kepada beliau dan dengan ini saya merayu agar hukuman yang dikenakan kepada beliau dikurangkan," katanya.

Mahkamah dijadual bersambung semula pada jam 2 petang. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment