Friday 27 February 2015

CNY DI SABAH



GONG XI FA CAI .... Francis, para ahli KTS dan para tetamu jemputan mengabadikan kenangan di hadapan bangunan KTS.


TAMPARULI: Mana-mana perayaan yang disambut pelbagai kaum dan fahaman agama wajar dijadikan peluang kepada masyarakat setempat untuk saling berkumpul, bermesra dan bertukar-tukar pendapat.


Pengerusi Kelab Tamparuli Sabah, Francis Soon berkata, usaha masyarakat khususnya kaum Cina mengadakan rumah terbuka setiap kali tiba perayaan Tahun Baru Cina merupakan salah satu langkah murni bagi menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Saya percaya, mana-mana pertubuhan mahupun individu yang mengadakan rumah terbuka jika tiba musim perayaan mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mengajak rakan-rakan dari kaum atau agama lain untuk merasai sendiri suasana kemeriahan sambutan berkenaan bersama kami," kata Francis.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan majlis Tahun Baru Cina 2015 KTS di Bangunan KTS, sini pada Ahad.

Menurut Francis, keunikan yang ada pada negara ini adalah kepelbagaian budaya, amalan, bangsa dan agamanya, justeru itu tidak hairanlah maka terdapat banyak perayaan yang dibuat dengan menampakkan amalan kunjung-mengunjung sepanjang tempoh perayaan berkenaan.

“Para pemimpin juga sering menekankan bahawa sebagai rakyat berbilang kaum di Malaysia, masyarakat harus mengekalkan dan memperkukuhkan perpaduan melalui kunjungan semasa sambutan sesuatu perayaan, oleh itu jelaslah bahawa amalan ini baik untuk diteruskan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penganjuran rumah terbuka yang diadakan saban tahun oleh kelab berkenaan adalah sinonim dengan budaya kunjung-mengunjung dalam masyarakat majmuk di negara ini demi mengeratkan hubungan sesama kaum.

Katanya, KTS tidak setakat meraikan Tahun Baru Cina sahaja tetapi juga meraikan perayaan lain yang disambut oleh ahlinya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan fahaman agama.

Suasana meriah sambutan berkenaan dihadiri oleh para ahlinya dan masyarakat dari sekitar Tamparuli selain beberapa tetamu jemputan khas dan beberapa agensi lain seperti penghuni-penghuni Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Persatuan Orang-orang Buta dari daerah itu.

Pada program itu turut diadakan acara Cabutan Tiket Bertuah, Tarian Singa, Penyampaian Angpau kepada anak-anak ahli KTS, dan penyampaian hamper kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tamparuli.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Celestinus Lawanding, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Tamparuli, Marcella Patrick.


GALERI ACARA : 



BERKAT .... Francis dan para tetamu jemputan menerima kehadiran Tarian Singa sempena sambutan itu.




TUNDUK HORMAT .... Kehadiran Francis disambut dengan Tarian Singa.





TERIMA ANGPAU .... Francis (dua kanan) mengagihkan Angpau kepada para anak-anak ahli KTS.

No comments:

Post a Comment