Saturday 14 February 2015

Gabungan Pemantau Petronas Sabah Bantah Penyambungan Kontrak Tan Sri Shamsul


 by the Gabungan Pemantau Petronas Sabah (GPPS).



KOTA KINABALU: Gabungan Pemantau Petronas Sabah (GPPS) ingin merujuk kepada laporan akhbar The Star bertarikh 5hb Februari 2015 yang bertajuk “Shamsul gets 7-month Extension: Successor for Top Job at Petronas to be Announced Soon”. 


GPPS melihat penyambungan kontrak Tan Sri Shamsul Azhar Abbas sebagai tindakan yang tidak akan memberi sebarang manfaat khususnya kepada rakyat dan pemain industri minyak dan gas Sabah.  Dasar mengutamakan khidmat kontaktor luar negara yang dipelopori Shamsul telah melukakan hati ramai usahawan minyak dan gas Sabah. 

Apapun alasan Shamsul, tindakan sebegini bukan sahaja merugikan bahkan boleh dianggap bercanggah dengan matlamat penubuhan Petronas itu sendiri.

Kebimbangan ini sudah tentulah berasas, khususnya apabila harga pasaran minyak mentah dunia telah jatuh sehingga USD40 setong pada hari ini.  Kejatuhan ini telah menyaksikan syarikat-syarikat minyak dunia bertindak memotong bajet seperti mengurangkan bilangan pekerja, membekukan pengambilan pekerja baru dan perbelanjaan pembangunan. 

Laporan tentang pemberhentian ribuan pekerja syarikat-syarikat besar seperti Schlumberger dan Haliburton contohnya sudah tentu memberi kesan yang besar kerana syarikat ini juga beroperasi di Sabah.  Syarikat-syarikat asing lain yang dilantik atau mengadakan usahasama dengan Petronas mungkin akan mengambil keputusan serupa. 

Pada masa yang sama, tindakan Petronas dibawah pentadbiran Shamsul yang begitu suka melantik kontraktor asing juga telah mempengaruhi prestasi ekonomi negeri Sabah itu sendiri. Kesan ini sebenarnya sudah mula terasa apabila sektor ekonomi sokongan kepada perusahaan minyak dan gas seperti hartanah, perhotelan dan peruncitan mula mengalami penguncupan perniagaan yang ketara.

GPPS berpendapat Shamsul tidak layak untuk terus mengemudi Petronas khususnya diwaktu industri ini sedang berhadapan krisis besar, apatah lagi apabila Petronas pada hari ini dilihat sudah terlalu terikat dengan komitmennya kepada pelabur dan pedagang asing. 

Penamatan kontrak beliau yang berakhir pada 10 Februari ini tidak wajar disambung walaupun sehari lagi, kerana tanpa Shamsul Petronas masih mempunyai ramai pegawai-pegawai eksekutif yang jauh lebih berpengalaman dan berbakat dalam mengurus khazanah utama negara ini. 

Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, peneraju Petronas perlu lebih patriotik peribadinya, mampu mengambil tauladan daripada kesilapan-kesilapan merugikan serta mengambil tindakan-tindakan yang dapat mengembalikan zaman kegemilangan Petronas.  

Petronas yang diasaskan anak tempatan pada tahun 1974 sudah seharusnya merdeka daripada bergantung harap kepada entiti asing yang hanya mahukan keuntungan.  Golongan ini bukan sahaja akan menyalurkan keuntungan perniagaan ke negara asal mereka, bahkan syarikat-syarikat inilah yang paling awal ‘angkat kaki’ sekiranya pasaran sudah tidak menyebelahi mereka.

Lebih menyedihkan apabila Petronas di era Shamsul tidak pernah mengambil peduli permintaaan atau rintihan penduduk Sabah yang mahu merasa keuntungan daripada hasil yang disedut daripada bumi Sabah, sedangkan hakikatnya Sabahlah diantara negeri yang paling banyak menyumbang kepada Petronas. 

Pendirian kami agar diberikan kerusi tetap Lembaga Pengarah Petronas kepada warga Sabah atau untuk memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif Petronas sebenarnya bukanlah keterlaluan.  Begitu juga dengan tuntutan untuk memperuntukkan 30% daripada setiap RM1.00 hasil petroleum yang diraih di Sabah kepada kontraktor petroleum milik warga Sabah setidak-tidaknya dapat diguna untuk memperkasakan lagi keupayaan mereka didalam sektor minyak dan gas.


Era Tan Sri Shamsul Azahar Abas sudah berakhir dan tidak perlu disambung lagi.  Kami dengan ini menyeru Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dengan sokongan Ketua Menteri Sabah untuk membuat keputusan berani dan tegas agar menamatkan sahaja kontrak Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, dan melantik Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas baru yang lebih pragmatik, patriotik dan progresif.

No comments:

Post a Comment