Sunday 1 February 2015

KGKS TIDAK MENYOKONG CADANGAN MEROTAN ANAK SEBAGAI KESALAHAN JENAYAH


Oleh: Darrel Mat Salong


HUSSIN BASIR- Presiden KGKS


KESATUAN Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mengambil pendirian tegas tidak akan menyokong cadangan menetapkan tindakan merotan anak sebagai kesalahan jenayah dalam Akta kanak-kanak 2001 yang bakal digubal kelak.

Presidennya, Hussin Basir berkata bahawa, KGKS memandang serius perkara tersebut dan berharap agar ianya dapat dikaji secara menyeluruh terutama dari aspek budaya dan agama masyarakat negara ini sebelum ianya dibentangkan di Parlimen kelak.


Harus diingat bahawa merotan bagi tujuan mendidik adalah 'amat berbeza' dengan perbuatan mendera seperti yang ditafsir dalam CRC. Malah, statistik penderaan kanak-kanak tidak pun berkurangan, malah bertambah buruk di negara-negara yang melarang perbuatan merotan anak, tegasnya.

Tambahnya, kesalahan jenayah melibatkan 2 elemen iaitu Actus Reus (perlakuan) dan Mens Rea (niat jenayah). Niat jenayah hanya wujud andai ia berlaku secara konsisten dan tidak bersebab. Merotan anak bagi tujuan mengasuh jelas terkeluar dari pengertian itu.

Menteri berkenaan mungkin terkhilaf dalam perkara ini, namun masih belum terlambat untuk memperbetulkannya. Merotan anak-anak adalah diharuskan oleh agama bagi tujuan mendidik, seperti yang disebut dalam Hadis Nabi, tegas Hussin.

Cadangan ini jika dilaksanakan bakal melahirkan 'generasi besar kepala', tidak menghormati ibubapa, seterusnya membesar dengan akhlak buruk seperti yang kini berlaku di negara yang mengamalkan peraturan larangan merotan anak.

Hussin yang kini menghadiri satu seminar pendidikan di Putrajaya ketika menghubungi pemberita pada Rabu berkata, cadangan itu jika dilaksanakan bakal melahirkan 'generasi besar kepala', tidak menghormati ibubapa, seterusnya membesar dengan akhlak buruk seperti yang kini berlaku di negara yang mengamalkan peraturan larangan merotan anak.

Sambil merujuk kes pasangan Malaysia di Sweden, Hussin berkata, larangan merotan anak seperti terkandung dalan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) ditentang hebat oleh pengamal undang-undang, bekas hakim, aktivis masyarakat dan ibubapa di negara itu.

Malahan tegasnya, ia turut dikecam oleh pihak-pihak yang rasional dari Nordic Committee for Human Rights, World Peace Foundation (Sweden) serta The Stockholm Institute of Public and International Law.

Adalah jelas bahawa ada pihak dalam kalangan mereka juga tidak sependapat berkenaan perkara itu, mengapa pula Malaysia mahu mencontohi undang-undang yang jelas berlawanan dengan amalan agama majoriti rakyat negara ini yang merotan anak bagi tujuan mendidik dan mendisiplin melalui kaedah tertentu, jelasnya lagi. 


No comments:

Post a Comment