Friday 20 February 2015

MOHD FADZLEE : AL QURAN LANDASAN KEHIDUPAN MANUSIA




PENGHARGAAN…Haji Mohd Fadzlee menerima cendera kenangan dari Pengerusi Penganjur Bungsu Pungut selepas merasmikan majlis tersebut



MENUMBOK: Pemahaman umat Islam yang jelas terhadap inti pati ajaran al-Quran adalah amat penting kerana ia merupakan petunjuk terunggul yang harus dijadikan panduan sepanjang masa.


Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Haji Mohd Fadzlee Abdullah berkata, kerana itulah umat Islam bukan sahaja digalakkan membaca kita suci ini namun mereka perlu memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya.

“Walaupun diakui sebagai sumber rujukan terunggul, masih ramai umat Islam yang tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan seharian mereka dan banyak juga yang tidak memahami segala apa yang telah dibaca” katanya ketika berucap mewakili Ketua Umno Bahagian Datuk Isnin Haji Aliasnih merasmikan Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Zon Kampung Melikai, Manggis dan Jungkon di Dewan Masyarakat Kampung Melikai dekat sini baru baru ini. 



AMANAT…Haji Mohd Fadzlee ketika berucap mewakili Isnin merasmikan majlis Tilawah Al Quran tersebut


Menurut Mohd Fadzlee,  kitab suci  al-Quran tidak sekadar untuk dihafal. 

Kandungan al-Quran wajib difahami, wajib dikaji, wajib diselami; diterokai khazanah ilmu yang tersirat di sebalik yang tersurat hingga ummah menemui mutiara berharga yang terkandung di dasar kitab.

Katanya, daripada 6,238 ayat al-Quran, 228 daripadanya menyentuh perkara-perkara awam berkaitan ekonomi, sains, matematik, undang-undang dan susun atur sosial yang wajib dijadikan rujukan oleh setiap umat Islam agar roh Islam dapat dijelmakan dalam atur urusan dunia.

“Umat Islam dan masyarakat umum  wajib  didampingkan dan difahamkan dengan kandungan al-Quran. Minat mempelajari dan minat mengkaji al-Quran perlu dihidupkan di hati setiap ummah sehingga terbentuknya rasa kasih dan rasa cinta kepada al-Quran dan terbinanya budaya mempelajari al-Quran sepanjang hayat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzlee juga turut meminta Jawatankuasa Masjid  dan Surau di daerah itu turut mengadakan kelas-kelas pengajian Al-Quran kepada umat Islam setempat di samping ibubapa perlu menggalakkan anak-anak mereka  belajar membaca Al Quran.

"Oleh demikian, marilah kita sama-sama mengeratkan kerjasama yang sedia terjalin untuk mendekatkan diri, anak-anak dan masyarakat kita dengan al-Quran melalui pelbagai program serta aktiviti yang boleh kita rancang bersama dengan menghidupkan semula budaya al-Quran," katanya.

No comments:

Post a Comment