Monday 16 February 2015

Nurul Izzah juga ada rekod berbohong




Khairy tidak percaya dakwaan Ahli Parlimen Lembah Pantai bahawa Najib pernah tawar jawatan timbalan perdana menteri kepada Anwar.


KUALA LUMPUR: “Saya tidak percaya apa yang didakwa oleh Izzah kerana ia langsung tidak memberi apa-apa faedah kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian”.


Demikian reaksi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semasa mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatan timbalan perdana menteri (TPM) selepas PRU13 lalu.

“Saya lihat dakwaan itu amat sukar untuk diterima. Jika benar Perdana Menteri ada menawarkan jawatan TPM selepas PRU 13, itu dua tahun lepas.

“Kenapa baru sekarang dia (Izzah) baru mahu memainkan isu tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media.

Sebelum itu beliau menyampaikan ucapan pada Majlis MTEM MARA Business Luncheon mengenai ” Membangun Usahawan Muda Kompetitif Dalam AEC”.

Tambahnya, Najib tidak perlu memberi jawatan tersebut kepada pihak pembangkang.

“Buat apa nak beri jawatan TPM kepada orang yang kalah.Mustahil Najib akan bermain dengan percaturan sedemikian,” tegasnya.

Beliau juga menyarankan pihak yang ingin kepastian mengenai perkara tersebut menanyakan sendiri kepada Najib.

Khairy juga menjelaskan Izzah juga mempunyai rekod berbohong kerana sehari sebelum PRU 13 di kerusi yang disandangnya di Lembah Pantai beliau ada membuat satu tuduhan tidak benar terhadap lawannya bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteran Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Namun Izzah mengakui beliau salah dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi.

“Dia (Izzah) perlu bertanggungjawab dengan kenyataan yang dikeluarkan,” kata Khairy.


Nurul Izzah, dalam ceramahnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang mendakwa Najib menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Anwar selepas pembangkang meraih 52 peratus undi popular dalam PRU13, namun Ketua Umum PKR menolak tawaran itu. (FMT)

No comments:

Post a Comment