Monday 2 February 2015

Penghasut, tunggu tindakan saya – IGP


Oleh : Adam Abu Bakar


Perbuatan menghasut atau memainkan sebarang isu yang melanggar peruntukan perlembagaan adalah penderhakaan


PUTRAJAYA: Pegawai polis di Sabah dan Sarawak diarahkan supaya tidak bertolak ansur dalam apa jua perbuatan yang melanggar peruntukan perlembagaan, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Beliau memberi amaran tersebut khusus untuk mana-mana pihak yang berhasrat mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia.

Khalid berkata, perbuatan seumpama itu bukan saja merupakan satu tindakan yang melanggar peruntukan perlembagaan malah, boleh dianggap sebagai satu penderhakaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membiarkan perkara ini berlaku,” tambahnya kepada pemberita selepas pelancaran Skuad Bola Sepak PDRM 2015 di Hotel Marriott Putrajaya.

“Saya beri peringatan kepada mereka yang cuba memainkan isu ini (Sabah dan Sarawak), menghasut rakyat supaya menyokong mereka untuk keluarkan Sabah dan Sarawak, tunggulah tindakan dari saya,” katanya lagi.

Semalam, PDRM Sabah menahan sembilan individu di Tuaran kerana dipercayai mengedar risalah menghasut orang ramai mengeluarkan Sabah dari Malaysia. Polis telah mengambil keterangan suspek-suspek berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, selain keterangan suspek, polis turut merekodkan percakapan 14 orang saksi.


Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis. (Free Malaysia Today)

No comments:

Post a Comment