Thursday 26 March 2015

Adun Sugut Tinjau Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Daerah Beluran

Oleh: Shaimon S Jumadi



BINCANG…..James bincang dengan SAFA ketika membuat tinjauan




BELURAN: Sebuah premis perniagaan di kawasan Anjung Muara pekan ini akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Daerah Beluran agar jawatankuasanya termasuk belia-belia dapat berkumpul untuk kemajuan sukan itu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk James Ratib berkata dengan menempatkan SAFA daerah ini ke bangunan berkenaan akan menjadi mercu tanda kepada pihak persatuan serta juga pekan ke arah memaju sekali gus mempertingkatkan mutu permainan pemain-pemain sedia ada.

Katanya, tahun ini saja seramai enam orang pemain dari daerah Beluran dipanggil untuk mewakili pasukan negeri dan tentu sekali warga Beluran berbangga dengan perkembangan tersebut.

"Saya sudah pun berbincang dengan pihak Sedcovest agar sebuah premis perniagaan di kawasan anjung muara diserahkan kepada SAFA Beluran untuk mereka handle bagi membolehkan persatuan dan juga para belia dapat berbincang serta bertukar-tukar fikiran demi kemajuan sukan bola sepak di daerah ini.

"Ini penting memandangkan perkembangan sukan bola sepak di daerah ini semakin pesat membangun, bila mana ramai anak-anak mudanya yang berpotensi besar untuk pergi lebih jauh berikutan bakat yang ada.

"Saya yakin dan percaya, dengan menempatkan SAFA Beluran ke bangunan yang disumbangkan pihak Sedcovest itu, ianya akan menjadi mercu tanda kepada Beluran dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baru," jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd dan Presiden SAFA Beluran berkata demikian ketika berucap pada satu majlis penyerahan kunci premis perniagaan di Anjung Muara Pekan Beluran daripada Sedcovest kepada Majlis Daerah Beluran (MDB) dekat sini, baru-baru lepas.

Untuk rekod, SAFA BELURAN telah ditubuhkan pada bulan Febuari 2013 yang mana dalam tahun ini pihak persatuan melantik James selaku Presiden SAFA Beluran manakala Pegawai Daerah sebagai Timbalan Presiden.

Setiausaha Agung disandang Penolong Pegawai Daerah iaitu Roger Appolonius sementara barisan jurulatih diberikan kepada jurulatih-jurulatih yang berpengalaman seperti Ketua Jurulatih SAFA BELURAN, Condrad H. Mojungkim yang pernah bermain untuk negeri Sabah selama enam tahun.

Penolong jurulatih pula adalah Jain Sisan yang mana beliau banyak membantu dalam memberikan latihan kecergasan kepada pemain dan dibantu oleh dua orang pembantu jurulatih iaitu Iskandar Senong dan Buangkan @ Kent.

Pada tahun 2013, SAFA Beluran telah menyertai satu Kejohanan Piala Ketua Menteri dan menjadi antara lapan pasukan terbaik di peringkat negeri.

Pada tahun berikutnya iaitu 2014, SAFA Beluran menyertai satu lagi kejohanan iaitu Piala DYS. SAFA Beluran bersaing hingga ke separuh akhir dan sekali gus membawa pulang hadiah tempat ketiga bersama SAFA Sipitang.

SAFA Beluran juga dinobatkan sebagai pasukan terbaik kejohanan dan seorang pemain mendapat anugerah penjaring terbanyak kejohanan.

SAFA Beluran melahirkan pemain-pemain yang berbakat besar dalam tahun 2013 yang mana tiga orang pemainnya telah terpilih untuk bermain bersama pasukan negeri iaitu Md. Fazrul Iman Malan sebagai penjaga gol dan Md. Sharul Cangkui sebagai pemain pertahanan yang bersaing dalam Liga Perdana Malaysia manakala Rizwan Raymond sebagai penyerang Sabah yang beraksi dalam Liga Simpanan 2013-2014.

Tahun 2014 pula menyaksikan dua pemain SAFA BELURAN bermain dalam kejohanan yang besar iaitu Malik Jukup bermain bersama Tuaran dalam saingan Piala Mamee dan Fazzrey bermain dalam saingan Piala Belia Kebangsaan.

Pada tahun ini, seramai lima orang pemain SAFA Beluran bermain untuk skuad negeri Sabah yang bersaing dalam Liga Simpanan Malaysia 2015 seperti Fazrul; Rizwan; Md. Khusnol; Zulhanizam dan Fazzrey manakala seorang lagi pemain bermain untuk Bawah 19 Sabah dan bersaing dalam Liga Belia Malaysia iaitu Malik.

Harapan SAFA Beluran agar pihak-pihak yang berkenaan dapat memberikan sokongan penuh bagi pembangunan sukan bola sepak di daerah ini seperti menyediakan padang yang berkualiti, memberikan peruntukan peralatan sukan yang lengkap dan membina sebuah gymnasium memandangkan ia amat berguna terutamanya dalam sukan tersebut.

No comments:

Post a Comment