Friday 27 March 2015

DAP Sabah Alu-Alukan Tindakan Pas Labuan Beku Kerjasama



HUDUD PAS....DAP sedar bahawa HUDUD PAS hanyalah polemik politik cetusan BN yang tidak boleh mengatasi KETERTINGGIAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.



DAP Sabah hari ini mengalu-alukan dan berlapang dada dengan tindakan PAS Labuan yang membekukan segala kerjasama parti itu dengan DAP Labuan. 

Sebagai Pengerusi DAP Sabah, saya berasa gembira dengan keputusan yang diambil PAS Labuan. Saya menganggap, keputusan PAS Labuan ini merupakan keputusan yang tepat pada saatnya.


Kita sedar, polemik hudud yang hangat diperkatakan sekarang merupakan senjata politik yang sering digunakan UMNO. 

Kali ini, UMNO berjaya mengheret PAS terjebak dalam perangkapnya. Rakyat Malaysia sendiri tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan ianya jelas menyatakan bahawa mana-mana undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal. 

Adakah PAS tidak tahu ini?

Malah, menurut laporan portal The Malaysian Insider melalui sumbernya, Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu sendiri telah menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. 

Penolakan ini bermakna wakil kerajaan pusat tidak boleh lagi membawa usul meminda akta itu di Parlimen. Sebab itulah saya katakan bahawa UMNO telah berjaya memerangkap PAS dalam isu ini untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Suka juga saya memetik kenyataan Noraini Othman, seorang professor bersara dalam bidang sosiologi yang kini aktif dalam pertubuhan Islam progresif yang turut berkongsi pandangan bahawa apa yang UMNO dan PAS lakukan berhubung isu hudud saat ini adalah kerana politik dan kuasa bukannya kerana Islam.

Dalam pada itu, bagi DAP Sabah, tindakan PAS Labuan ini memberi kelegaan kepada parti dan rakan-rakan pakatan negeri ini. 

Hal Ini kerana pertama, kerjasama DAP dan PAS di Sabah menimbulkan kebimbangan terutamanya dalam kalangan masyarakat Bumiputera orang asal negeri ini terutama melibatkan hal berkaitan agama. 

DAP Sabah mendokong semangat Batu Sumpah Keningau yang mendokong kebebasan beragama dan tidak dapat menerima sebarang bentuk ideologi yang mampu memecah belahkan prinsip ini seperti apa yang cuba dilakukan PAS dalam isu hudud.

Keduanya, sememangnya sejak dari awal, DAP Sabah berasa kesal dengan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat sering bertindak sendirian dalam memutuskan hal berhubung isu hudud ini tanpa merujuk atau berbincang dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain terlebih dahulu.

Tindakan sendirian PAS bukan perkara baru. Bagi Pakatan Rakyat di Sabah, PAS telah melangkaui rakan-rakan pakatan yang lain apabila membuat keputusan sendiri memilih kawasan untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke 13. 

Saya masih ingat dalam suatu majlis sebelum PRU-13 di Merotai Sabah. 

PAS telah mengumumkan untuk bertanding di DUN Merotai, Tanjung Aru dan Parlimen Labuan. Apa yang mengejutkan saya dan pimpinan DAP yang lain, PAS tidak pernah pun berbincang mengenai hal itu. Namun, atas semangat setiakawan Pakatan Rakyat dan demi kepentingan rakyat dan negara, kami di Sabah terus bekerjasama selepas PRU-13 sehinggalah berlakunya pengkhianatan PAS terhadap konsensus Pakatan Rakyat dalam isu hudud Kelantan ini.

Tindakan ini satu ironi, kini PAS sekali lagi bertindak bersendirian mengetepikan semangat setiakawan dan demokratik. Bagi saya, jika Presiden PAS sekarang terus mengemudi PAS, nampaknya harapan Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin kabur.

Apapun, DAP Sabah tidak mempunyai masalah dengan keputusan PAS Labuan malah kami amat mengalu-alukan tindakan mereka. Lebih baik kita memutuskan hubungan jika PAS sudah ‘bercinta’ dengan yang lain.  

Saya percaya, untuk memenangi hati rakyat, untuk membela nasib rakyat adalah melalui urustadbir yang baik. Tanpa urustadbir yang baik, segalanya akan tampak tempang.


YB Jimmy Wong Sze Phin
Ahli Parlimen Kota Kinabalu


No comments:

Post a Comment