Tuesday 24 March 2015

DAP SABAH CABAR BN NEGERI NYATA PENDIRIAN TERHADAP HUDUD KELANTAN



DAP Sabah hari ini memutuskan untuk membekukan sebarang kerjasama dengan PAS Sabah berikutan tindakan PAS mengkhianati dan membelakangi perjanjian kesefahaman bersama Pakatan Rakyat apabila PAS Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015. 

DAP Sabah melihat senario di Kelantan ini sebagai satu kegagalan terbesar PAS berpegang pada janji dalam kerjasamanya dengan Pakatan Rakyat. PAS juga memperlihatkan kegagalan parti itu terjerumus dalam mainan politik kotor UMNO. Keadaan ini turut menjejaskan kerjasama DAP dan PAS di Sabah.
Selari dengan pendirian parti, DAP Sabah tegas membantah pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana ia undang-undang Islam, tetapi kerana hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 
Merujuk Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan, ia menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara yang menjadi sumber kepada semua undang- undang. Manakala, Perkara 75 pula menyatakan bahawa mana-mana undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal.
Apabila Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah dengan mendapat restu dan sokongan wakil-wakil UMNO negeri itu, ia telah memberi satu tamparan hebat kepada rakyat Sabah yang dikuasi BN dengan memenangi 48 dari 60 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihanraya ke 13 lalu. 
Dengan meluluskan undang-undang hudud yang mendapat restu Umno, PAS telah menjadikan hudud bukan lagi satu isu di Kelantan, ia kini merupakan satu isu besar di Malaysia melibatkan keharmonian dan keluhuran perlembagaan.
Jika wakil-wakil BN Kelantan yang dikuasai UMNO menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, persoalannya, apakah pendirian wakil-wakil BN Sabah khususnya dari UMNO terhadap perlaksanaan hudud? 
Apa yang menimbulkan kekhuatiran dan tanda-tanya selanjutnya ialah, adakah jaminan Kerajaan Malaysia yang termeterai pada Batu Sumpah Keningau yang antara lain memberikan jaminan terhadap kebebasan beragama dalam Sabah akan dikhianati sekali lagi? 
Umum mengetahui bahawa Sabah memiliki kepelbagaian budaya dan kepercayaan. Sabah memiliki lebih 30 etnik yang hidup dalam harmoni. 
Mana-mana perlaksanaan undang-undang yang berlandaskan agama bukan sahaja tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan demografi Malaysia khasnya Sabah. Ia juga akan memecah-belahkan lagi masyarakat malah bakal menyebabkan Malaysia mengalami krisis perlembagaan.
Justeru, DAP Sabah mencabar Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Ketua Menteri Sabah dan parti-parti komponen BN yang lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Perti Liberal Demokratik (LDP), UPKO, UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah yang diketuai Tan Sri Joseph Kurup, MCA, Gerakan negeri Sabah dan yang lain menyatakan pendirian mereka di Parlimen sama ada menyokong atau membantah perlaksanaan undang-undang hudud ini.

Atas semangat Sabah dan Borneo, DAP Sabah juga mencabar agar parti-parti komponen BN negeri ini bertegas dan memutuskan kerjasama mereka dengan kerajaan Barisan Nasional kerana dilihat terlalu lemah dan tidak mampu mempertahankan semangat Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment