Thursday 12 March 2015

HARGAI PASUKAN KESELAMATAN MENJAGA NEGARA, ZAKARIA


OLEH: SHAIMON S JUMADI



GUM-GUM : Pergorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara khususnya di Pantai Timur Sabah dihargai rakyat Malaysia di negeri ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum-Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata beliau yakin dengan penubuhan ESSCOM ekoran kejadian pencerobohan di Tanduo pada tahun 2013 akan dapat mempertingkatkan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah dalam usaha menangani ancaman luar seperti apa yang telah berlaku di Tanduo daripada berulang lagi.

Insiden yang menyebabkan lapan anggota pasukan keselamatan negara kita terkorban itu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, kata beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Negeri dan Perumahan.

“Rakyat sentiasa berdiri teguh bersama-sama pasukan keselamatan negara dan  amat menghargai jasa pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Malaysia menjaga keselamatan dan keamanan di negeri Sabah,” tambah Zakaria ketika diminta mengulas berhubung kepulangan anggota pasukan Polis Marin Konstabel Zakia Bin Alip ke tanahair pada hari Sabtu selepas dibebaskan oleh kumpulan pengganas Selatan Filipina.

Zakaria merakamkan rasa penuh syukur dengan kepulangan Zakiah ke tanahair setelah ditahan oleh kumpulan pengganas Selatan Filipina sejak bulan Julai tahun lalu dan juga  memuji  usaha berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri merangkap pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan ESSCOM Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, pihak ESSCOM, pasukan keselamatan dan semua pihak yang telah terlibat dalam pembebasan beliau (Zakiah).

Dalam kejadian serang hendap di Pulau Mabul, Semporna pada lebih kurang jam 11.10 malam, 12 Julai tahun lepas, Zakiah telah diculik manakala seorang rakan beliau Koperal Ab Rajah Bin Jamuan terkorban selepas sekumpulan pengganas dari Filipina melepaskan tembakan secara rambang ke atas kedai makan dan pejabat reception resort.

Pada ketika itu anggota pasukan Polis Marin ESSZONE ini sedang makan di tempat kejadian di tempat sama serang hendap berlaku.


Sebuah botronda Polis Marin RH 40 yang berada dijeti yang berhampiran dengan tempat kejadian juga menjadi sasaran. Dua anggota polis marin yang berada di botronda tersebut sempat mengambil perlindungan.

No comments:

Post a Comment