Monday 30 March 2015

Kadar Tariff Elektrik Tidak Bergantung Kepada Satu Harga Bahan, Kata Linda


Oleh: Azmi Azman



SANDAKAN : Penetapan kadar tarif elektrik tidak hanya bergantung kepada harga satu bahan bakar di pasaran semata-mata ,malah turut  dipengaruhi oleh dua faktor lain iaitu campuran bahan bakar yang digunakan dengan izin dan kos-kos yang terlibat dalam penjanaan elektrik.


Kerajaan sedia maklum bahawa harga minyak mentah dunia telah berlaku penurunan bermula pertengahan bulan Jun 2014. Namun begitu, penurunan ini tidak memberi kesan yang ketara kepada tarif elektrik kerana bahan bakar minyak hanya menyumbang 1% daripada keseluruhan campuran bahan bakar.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin semasa persidangan Dewan Rakyat berhubung usaha-usaha untuk mengurangkan tarif elektrik akibat daripada penurunan harga minyak mentah dan gas asli cecair.

Dalam hal ini, campuran bahan bakar dan kos penjanaan telah digunapakai dalam menetapkan kadar tarif elektrik di Semenanjung Malaysia berdasarkan pendekatan Kawal Selia Berdasarkan Insentif (IBR) dengan izin.

Dibawah pendekatan IBR, terdapat mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dengan izin; sebarang pengurangan atau peningkatan kos bahan api dan lain-lain kos penjanaan bekalan elektrik akan dilepaskan kepada pengguna melalui semakan setiap 6 bulan.

Mekanisme ICPT masih belum diimplementasikan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Namun demikian, selaras dengan penurunan harga minyak mentah dunia, terdapat penjimatan dalam perbelanjaan bagi bahan api.

Untuk mengurangkan beban rakyat, pihak Kerajaan telah bersetuju agar purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

Pengurangan bil elektrik menerusi semakan ICPT di Semenanjung Malaysia dan pengurangan purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, telah membuktikan ketelusan kerajaan dalam memastikan bekalan elektrik dapat dinikmati oleh rakyat berdasarkan kos sebenar.


Komitmen ini membuktikan kerajaan amat prihatin untuk meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.

No comments:

Post a Comment