Wednesday 25 March 2015

Kastam akan jawab semua 106 soalan



Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) akan menjawab kesemua 106 soalan berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dari NGO yang menentang pelaksanaan cukai tersebut.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jawapan itu akan dimuatkan di laman web JKDM untuk rujukan semua pihak.

Tegasnya, jabatannya akan menjawab kesemua soalan tersebut walau dianggap remeh.

“Kita akan menjawab soalan-soalan itu.

“Dalam masa terdekat, kita akan kumpulkan jawapan dan masukkan jawapan dalam laman web Jabatan Kastam,” kata Khazali.

Dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya, Khazali berkata sesetengah soalan tersebut dianggap remeh kerana sudahpun dijelaskan sebelum ini.

“Saya tak tahu kenapa dia tanya. Salah satu contoh soalan ialah 'apabila gst dilaksanakan, adakah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terus juga dilaksanakan?'

“Kita dah banyak kali menjelaskan bahawa GST akan mengantikan cukai SST yang dilaksanakan,” jelasnya.

Namun, Khazali berkata walaupun soalan itu nampaknya mudah, mungkin sesetengah pihak masih memerlukan penjelasan.

“Jadi, ada kebaikan juga jika Jabatan Kastam mengambil semua soalan itu dan masukkan jawapan dalam laman web.

“Ia boleh dijadikan sebagai maklumat untuk semua orang dan bukan hanya untuk kumpulan itu saja,” katanya.

Kehadiran 100 orang aktivis ke Kompleks Kastam Kelana Jaya untuk mendapatkan jawapan kepada soalan tersebut Isnin lalu disambut dengan tindakan keras pasukan polis.

Seramai 80 orang aktivis ditahan dalam kejadian itu. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment