Tuesday 3 March 2015

KGKS ALU-ALUKAN TINDAKAN PERDANA MENTERI BERHUBUNG KEDAIFAN SEBUAH SEKOLAH DI TUARAN


Oleh: Darrel Mat Salong



TANPA DINDING DAN SERBA DAIF.....sekolah di Tuaran, Sabah


TENOM: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mengalu-alukan tindakan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil perhatian serius berhubung dakwaan kononnya wujud sekolah yang beroperasi tanpa infrastruktur lengkap di salah sebuah sekolah di Tuaran jelas menunjukkan keprihatinannya terhadap masalah kedaifan prasarana sekolah di Sabah.


Selain itu, Ketua Setiausaha Negara (KSU) Tan Sri Dr Ali Hamsa diarah menerusi Twitternya untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu disamping mengambil beberapa tindakan positif untuk membantu perkara itu, kata Presidennya Hussin Basir.



HUSSIN BASIR- Presiden KGKS


Hussin berkata demikian ketika memberitahu pemberita pada Sabtu sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini berhubung terdapatnya dakwaan sekolah daif dimana keadaan kelasnya tiada dinding dan berkhemah dikatakan berlaku di Tuaran.

Beberapa hari lalu, terdapat laporan mengatakan sebuah sekolah dipercayai berada di Tuaran Sabah, dikatakan sekolah itu beroperasi tanpa infrastruktur yang lengkap iaitu keadaan kelasnya tidak berdinding dan berkhemah telah menjadi buah mulut masyarakat disitu, bahkan di seluruh negeri ini.

Beliau menambah, adalah diharapkan agar beberapa sekolah daif di negeri ini termasuk beberapa sekolah yang mengalami kebakaran pada masa yang lalu agar dapat diberi perhatian serius oleh kerajaan supaya tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera.

“Sesungguhnya KGKS amat mengharapkan kerajaan agar perhatian khusus dan keutamaan diberikan ke atas mana-mana sekolah daif di Sabah supaya program pendidikan yang telah dirancang sebelum ini tidak terganggu malah ianya akan terus berjalan lancar.

“KGKS juga mempunyai keinginan tinggi agar sekolah-sekolah di Sabah setidak-tidaknya dapat setanding dengan sekolah-sekolah di Semenanjung bagi mencapai matlamat bersama di dalam misi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM),” tegasnya.

Sehubungan itu, dengan adanya persekitaran dan prasarana yang baik di setiap sekolah, maka sudah pastilah ianya dapat membantu setiap pelajar maju dan mencapai kecemerlangan dalam misinya untuk menerokai ilmu pembelajaran dengan jayanya. 

No comments:

Post a Comment