Tuesday 24 March 2015

Mesyuarat Agung Tahunan Pertisa pada 28 Mac ini



KEHADIRAN PENGGIAT SENI DIHARAPKAN .... Presiden Pertisa, Narsisius Justin Misin.


Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PERTISA 2015 pada 28 Mac ini di Dewan Kampung Kopungit, Kota Kinabalu jam 2 petang.

Justeru, semua ahli-ahli Pertisa sama ada yang baharu atau lama dan para penggiat seni hiburan tempatan di Sabah yang belum menjadi ahli dijemput untuk hadir ke mesyuarat tersebut.


Presiden Pertisa, Narsisius Justin Misin memberitahu, pada AGM kali ini akan menyaksikan pembubaran Ahli Jawatankuasa (AJK) sesi 2013-2015 dan seterusnya diadakan pemilihan AJK baharu untuk meneruskan perjuangan Pertisa.

“Mana-mana ahli tidak kira dari mana pun diharap dapat hadir kali ini kerana di sinilah kita dapat menyuarakan pendapat mereka mengenai hala tuju dan perkembangan Pertisa serta peranannya kepada kita semua,” katanya.

“Semua penggiat seni sama ada seni tradisional dan moden diharap dapat menyertai kita semua kali ini,” katanya merujuk kumpulan penggiat seni seperti pemuzik, penyanyi, penulis lirik, penari, pelakon, pembikin filem, pelawak, para buskers, pengurus produksi, pengusaha produk seni tempatan, pengusaha studio rakaman, dan lain-lain yang berkaitan.

“Jika anda salah seorang daripada semua di atas, anda dialu-alukan untuk bersama-sama kami di dalam AGM ini dan seterusnya menjadi ahli Pertisa,” katanya.

Narsisius menambah, sekiranya terdapat kemusykilan mereka mengenai peranan dan tanggungjawab Pertisa terhadap artis dan perkembangan seni khususnya di Sabah, pada AGM kali inilah masa yang sesuai untuk mendapatkan maklumat terpenting berkenaan.

“Pada asasnya setiap persatuan seperti Pertisa atau mana-mana persatuan seni lain yang terdapat di Sabah berperanan sebagai organisasi terpenting membela dan memperjuangkan nasib ahlinya yang terdiri daripada para penggiat seni tanah air,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar pertemuan kali aini menjadi detik bermakna dan mencipta persepakatan baharu dalam persatuan ini nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment