Tuesday 31 March 2015

Pencapaian cemerlang pelajar PT3 2014 bukti usaha gigih guru di Stella Maris



CEMERLANG .... Para penerima anugerah cemerlang bersama ibu bapa mereka mengabadikan kenangan bersama Pengetua Cemerlang SM Stella Maris.

KOTA KINABALU: Pencapaian cemerlang yang diperolehi oleh tiga pelajar dalam peperiksaan PT3 yang baharu diperkenalkan pada tahun 2014 membuktikan usaha gigih guru-guru di Sekolah Menengah Stella Maris, dekat sini.


Pengetua Cemerlang SM Stella Maris, Getrude Jock, berkata, selain kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pencapaian membanggakan dalam PT3 itu merupakan satu lagi bukti kejayaan yang dicipta sekolah berkenaan, hasil usaha gigih semua pihak termasuk guru-guru sekolah tersebut demi memastikan murid-muridnya berjaya dalam akademik.

“Saya percaya berkat kegigihan dan kerjasama antara Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan usaha para pelajar sendirilah yang menjadi pendorong kejayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid SM Stella Maris di dewan sekolah itu baru-baru ini.

Katanya, pihak PPD Kota Kinabalu sendiri telah mencabar SM Stella Maris agar mendapat Band 3 pada tahun lalu, oleh kerana itulah pihak sekolah perlu meningkatkan usaha untuk menyahut cabaran tersebut sehingga berjaya.

Getrude menjelaskan, tiga murid PT3 2014 yang mendapat keputusan cemerlang ialah Erika Eking (8A1B), Siti Nur Aminah Ahmad Daknam (7A3B), dan Peniellle Lydia Herman (7A2B).

Manakala dalam peperiksaan SPM 2014 pula, murid-murid sekolah tersebut yang berjaya mendapat pencapaian terbaik ialah Sara Mae Micheal Rajah (8A1B), Annabelle Shin Mei Kong (8A1B), Grace Ye Yen Chin (8A1B), Annabelle Gisong, Audrey Primus dan Nurul Sahira (masing-masing mendapat 7A).

Atas kejayaan tersebut juga, beliau mendorong pihak ibu bapa agar sentiasa membuka minda dan tidak putus-putus menggilap potensi anak-anak kesayangan mereka untuk menjadi insan cemerlang.

Pengetua Cemerlang itu mengakui bahawa beliau masih baharu sebagai peneraju kepimpinan di sekolah tersebut yang sememangnya memerlukan penambah baikan dari semasa ke semasa, justeru, beliau memohon agar para ibu bapa dan guru dapat bersabar dalam memulakan ‘perjuangan baharu’ dengan kerjasama yang jitu dan berpandangan ke hadapan.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Dipertua (YDP) PIBG SM Stella Maris, Zahara Ismail.

Menurut Zahara, Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid ini merupakan cerminan pencapaian individu murid dan pencapaian sekolah di bawah pengetua cemerlangnya serta hasil daripada usaha gigih pelajarnya yang dibimbing oleh guru-guru yang berdedikasi.

Beliau menghargai usaha serta kerjasama ditunjukkan pihak guru dan sekolah diketuai Penolong Kanan (Pentadbiran), Theresa Soon, bersama-sama dengan ibu bapa serta murid yang telah menyusun atur dengan baik perjalanan Majlis  Anugerah Cemerlang tersebut.

No comments:

Post a Comment