Wednesday 25 March 2015

Peniaga Bumiputra Yang Menjual Lot-Lot Akan Diambil Tindakan Tegas, James Ratib


Oleh: Shaimon S Jumadi


SIMBOLIK...James menyerahkan kunci premis perniagaan di Anjung Muara Pekan Beluran kepada Suhaili (tengah) sambil disaksikan Amir dan tetamu-tetamu jemputan lain pada majlis tersebut


BELURAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.39 Sugut, Datuk James Ratib, berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lot perniagaan sekiranya didapati tidak memanfaatkan peluang yang mereka perolehi itu.

Dengan itu, masyarakat peniaga terutamanya golongan bumiputera perlu memanfaatkan peluang berniaga yang seratus-peratus diberikan kepada mereka dan bukannya menyewa dan menjual lot kepada orang lain.


Menurut beliau, pembinaan tapak Anjung Muara Pekan Beluran yang sudah pun tersergam indah adalah merupakan sumbangan pihak kerajaan melalui Sedcovest Holdings bagi membolehkan peniaga bumiputera menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, peluang ini hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya mengambil kira potensi tapak yang akan menjadi sebuah 'Esplanade' sekali gus menjadikannya sebagai satu lagi mercu tanda kepada daerah Beluran nanti sekali gus merancakkan lagi sektor ekonominya.

Katanya, peniaga bumiputera yang memberikan lot kepada orang luar adalah satu tindakan merugikan kerana mereka perlu tahu untuk memajukan Beluran bukannya mudah kerana beliau terpaksa bekerja keras dengan merancang rapi setiap pembangunan yang dirangka.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengarah pihak berwajib agar membatalkan lot berniaga di kawasan Anjung Muara ini andai didapati ada peniaga bumiputera yang menyewa atau menjual lot mereka kepada orang lain.

"Sepatutnya peluang ini dimanfaatkan kerana kewujudan Anjung Muara adalah hasil usaha dan inisiatif semua pihak yang mahu membangunkan Beluran daripada terus digelar sebagai pekan mati.

"Suatu ketika dahulu, pekan ini terkenal dengan sistem pengangkutan kapal dan bot yang berlabuh di Muara itu. Jadi, sekarang ini kita kena bangunkan daerah Beluran yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong asing.

"Seperti Anjung Muara ini, ia akan menjadi tarikan terbaru kepada pelancongan di Beluran kerana lokasinya yang sangat strategik untuk tempat bersantai sekali gus menarik kedatangan para pelancong.

"Jagalah kebersihan persekitaran Anjung Muara ini yang bukan sahaja menempatkan lot-lot premis untuk berjualan tetapi tersergam indah sebuah replika udang dan ikan sungai yang menggambarkan keunikan di Beluran," jelasnya.

James menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Premis Perniagaan Anjung Muara daripada Sedcovest kepada Majlis Daerah Beluran (MDB) di Dataran Anjung Muara Pekan Beluran, di sini, baru-baru lepas.

Hadir sama Pegawai Daerah Beluran, Suhaili Riman; Pegawai Ekskutif MDB, Welfrade; Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Amir Karim; Ketua Daerah Beluran, Rashid Dundulang dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sugut, Jalil Atang serta ketua-ketua jabatan negeri termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, James selaku Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd akan mempastikan mereka yang benar-benar berniaga akan diberikan peluang untuk menjalankan perniagaan di lot-lot premis Anjung Muara yang disumbangkan oleh pihak Sedcovest itu.

Jelasnya, selain menarik kedatangan pelancong untuk datang ke Beluran tetapi juga Anjung Muara ini akan membantu peniaga bumiputera untuk menambah pendapatan seterusnya meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

"Untuk membangun daerah ini memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya daripada masyarakat peniaga bumiputera. Kita berikan peluang ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman mereka yang penting dia orang Beluran.

"Saya tidak mahu berlaku ada peniaga yang menyewa atau menjual lot kepada orang lain. Andai ini berlaku, tindakan membatal akan dibuat serta-merta.

“Membangun kawasan ini tidaklah begitu mudah jadi berikan kerjasama memandangkan Anjung Muara Pekan Beluran akan menjadi tarikan terbaru sebagai sebuah Esplanade seperti diutarakan oleh Tuan Suhaili iaitu Pegawai Daerah Beluran tadi," ujarnya berseloroh.  

Sehubungan dengan itu, Ketua Umno Bahagian Beluran ini meminta pihak Majlis Daerah Beluran (MDB) menguatkuasakan kebersihan di sekeliling Anjung Muara berkenaan bagi memastikan kebersihannya sentiasa terjaga.

Ini katanya, anjung muara yang menempatkan bangunan premis kedai ini akan menjadi mercu tanda sekali gus merealisasikan perancangan untuk menjadikan Beluran sebagai pekan yang 'Maju, Indah dan Selamat'.

No comments:

Post a Comment