Thursday 12 March 2015

Ringgit 'tidak tunjuk nilai sebenar', kata Zeti


Ringgit, yang mencecah 3.70 berbanding dolar AS pagi semalam, "tidak menunjukkan nilai sebenar" dan tidak mencerminkan asas-asas semasa Malaysia yang masih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
  
Beliau berkata Malaysia mempunyai asas ekonomi yang menyokong mata wang yang lebih kukuh.
  
"Kita mempunyai penilaian dalaman kita sendiri bagi di bawah nilai dan terlebih nilai.
  
"Pada peringkat ini kita hanya akan mengatakan bahawa kadar semasa 'tidak menunjukkan nilai sebenar'. Beberapa pengeksport kita mungkin tidak gembira dengan apa yang saya katakan ini kerana mereka mendapat manfaat daripada mata wang yang susut nilai," katanya.
  
Zeti berkata demikian pada taklimat media sempena pengumuman Laporan Tahunan 2014 bank pusat itu semalam.

Memandangkan negara merupakan antara ekonomi yang berkembang kukuh di rantau ini, beliau yakin Malaysia mempunyai asas penting yang akan menyokong mata wang
lebih kukuh.

"Kita mempunyai tahap pengangguran yang rendah, kurang daripada tiga peratus, kadar menyimpan yang tinggi dan sektor perbankan yang kukuh, lebihan dalam akaun semasa kita dan tahap rizab yang tinggi dan semua asas-asas penting ini yang akan menyokong mata wang lebih kukuh," kata Zeti.

Mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah AS pada Jun yang akan mencetuskan aliran keluar dana dari Malaysia, Zeti berkata aliran keluar biasanya berlaku sebelumnya.

"Apabila berlaku, ia (keadaan) sebenarnya stabil," kata Zeti.

Beliau berkata BNM mengharapkan dasar AS kembali normal.

"Ketidakpastian yang menyebabkan keadaan turun naik," katanya.

Terdahulu, Zeti berkata prestasi ringgit pada 2014 telah mengikuti dua corak ketara.

"Antara Februari dan Ogos 2014, ringgit secara amnya dalam trend mengukuh disebabkan oleh aliran masuk portfolio yang mampan.
 
"Bagaimanapun mulai September, ringgit bersama-sama dengan kebanyakan mata wang serantau, berdepan tekanan susut nilai setelah pelabur menjual pegangan aset kewangan di rantau ini berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan perubahan dalam dasar kewangan AS dan tanda-tanda kelemahan dalam momentum pertumbuhan global," katanya.

Secara keseluruhannya, bagi tahun ini, ringgit menyusut nilai sebanyak 6.1 peratus kepada RM3.4950 berbanding dolar AS, katanya.

Zeti berkata mereka yang terjejas oleh perubahan tukaran mata wang, sama ada individu atau perniagaan, harus mampu untuk mengurus pendedahan tukaran asing sekarang ini.
  
"Peraturan telah diliberalisasikan. Sekarang orang boleh mempunyai akaun mata wang asing dan melibatkan diri dalam lindung nilai, yang tidak terhad kepada jumlah tertentu atau tempoh masa tertentu," katanya.
   
Ringgit pulih dengan ketara daripada penurunan sebelum itu dengan mengakhiri sesi dagangan Kuala Lumpur lebih tinggi berbanding dolar AS.

Pada pukul 5 petang semalam, mata wang tempatan berakhir pada 3.6955/6985 berbanding dolar AS daripada 3.7020/7050 kelmarin.

- Bernama

No comments:

Post a Comment